PANDUAN
MUSAFIR DAN SOLAH DI DALAM PERJALANAN
Setiap orang yang ingin melakukan perjalanan
atau bermusafir dengan tujuan yang baik dan dituntut oleh Islam seperti
bermusafir kerana menuntut ilmu, melaksanakan sesuatu urusan keagamaan seperti
mengerjakan Ibadat Haji, menziarahi keluarga, kenalan atau mencari rezeki yang
halal untuk memenuhi keperluan keluarganya, mereka tergolong di kalangan
orang-orang yang menempuh perjalanan yang diredhai Allah, atau dikira beribadat
kepada Allah S.W.T . Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
" Barangsiapa yang bermusafir kerana
menuntut ilmu pengetahuan, maka ia adalah dalam perjalanan Allah, sehinggalah
ia kembali ".
PANDUAN BERMUSAFIR
NIAT
Hendaklah niat bermusafir dengan tujuan
melaksanakan sesuatu hal yang baik semoga sentiasa diberkati oleh Allah. Nabi
Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud:
" Tidak seorang pun yang keluar dari
rumahnya kecuali ada dua panji-panji, salah satu di antaranya berada di tangan
malaikat sedang yang lainnya di tangan syaitan. Maka jika keluarnya itu untuk
sesuatu urusan yang disukai Allah S.W.T, ia akan diringi oleh malaikat dengan
panji-panjinya. Demikianlah ia akan selalu berada di bawah panji-panji malaikat
sampai ia kembali ke rumahnya. Sebaliknya jika keluarnya itu untuk sesuatu hal
yang dimurkai Allah, maka orang itu akan diiringi oleh syaitan dengan
panji-panjinya. Dan demikianlah ia akan selalu di bawah panji- panji syaitan
sampai ia pulang kembali ke rumahnya ".
( Riwayat Ahmad dan Tabrani )
( Riwayat Ahmad dan Tabrani )
SEMBAHYANG SUNAT MUSAFIR
Sunat melakukan sembahyang sunat musafir
sebelum berangkat. Cara-cara sembahyang sunat musafir.
1. Lafaz niat ketika takbiratul ihram ialah
seperti berikut :
" Sahaja aku sembahyang sunat musafir dua
rakaat kerana Allah "
2. Pada rakaat yg pertama selepas membaca Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun
3. Pada rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca
surah Al-Ikhlas.
4. Selepas salam berdoalah meminta agar Allah memberikan keselamatan, kemudahan serta memberkati perjalanan yang hendak dilakukan
SUNAT-SUNAT MUSAFIR
1. Sunat memulakan musafir pada hari Khamis..
Diriwayatkan oleh Bukhari:
" Bahawa Rasulullah S.A.W jika ia
bermusafir, jarang ia berangkat bukan pada hari Khamis "
2. Sunat membawa teman ketika bermusafir. dari
Ibnu Umar r.a:
"Bahawa Rasulullah S.A.W melarang bersendiri,
ertinya bila seseorang itu menginap atau bermusafir seorang diri ". (
Riwayat Ahmad )
Baginda juga selalu membawa barang-barang
berikut semasa bermusafir iaitu sebotol minyak, sikat rambut, celak, gunting,
kayu sugi dan cermin.
3. Sunat meminta kaum keluarga atau sahabat
yang ditinggalkan memohon supaya bertawakkal kepada Allah supaya mendoakan
keselamatan kita dalam perjalanan dan musafir.
4. Sunat berdoa ketika keluar berangkat dari
rumah.
" Dengan nama Allah, aku bertawakkal
kepada Allah dan tiada daya maupun tenaga kecuali dengan izin Allah "
5. Jika bermusafir dengan menaiki kenderaan
maka sunat pula berdoa :
" Segala puji bagi Allah, maha Suci Allah
yang telah menjinakkan
( memudahkan ) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami ".
( memudahkan ) bagi kami kenderaan ini, padahal sebelumnya kami takkan mampu menguasainya dan sungguh kami nanti akan pulang kembali kepada Tuhan kami ".
SOLAT DALAM PERJALANAN
Jika jarak musafir atau tempat yang dituju itu
lebih dari dua marhalah ( 56 batu atau 91 kilometer ) maka Allah memberikan
kemudahan kepada kita untuk menjamak dan menqasarkan sembahyang fardhu.
SEMBAHYANG JAMAK
Sembahyang jamak ialah mengumpulkan dua
sembahyang fardhu dalam satu waktu samada jamak Taqdim atau jamak Taakhir.
Seseorang yang ingin sembahyang jamak ( Taqdim atau Taakhir ) hendaklah keluar
dari rumahnya sebelum masuk waktu zohor ( jika ia berhajat untuk menjamak
sembahyang Zohor dan Asar ) atau keluar sebelum masuk waktu Maghrib ( jika ia
berhajat untuk menjamak sembahyang Maghrib dan Isyak dari qariahnya.
JAMAK TAQDIM
Jamak Taqdim ertinya mengumpul atau
menghimpunkan sembahyang yang kedua di dalam waktu pertama seperti sembahyang
Fardhu Asar dalam waktu Zohor dan sembahyang Isyak dalam waktu Maghrib.
Syarat-syarat sembahyang jamak Taqdim:
1. Didahulukan sembahyang yang pertama iaitu
Zohor, kemudian baru ditunaikan yang kedua iaitu Asar. Begitu juga Maghrib
didahulukan, kemudian baru Isyak. Walaubagaimanapun jika diterbalikkan,sah
sembahyang jamak tersebut.
2. Berniat untuk sembahyang jamak dalam
sembahyang yang pertama ( bermula dari takbiratul ihram atau di tengah-tengah
sembahyang selagi belum memberi salam ). Yang afdhalnya dalam Takbiratul Ihram.
3. Mualat iaitu berturut-turut antara dua
sembahyang yang dikumpulkan. Jangan diselangi dengan masa yang panjang.
Selangmasa yang dibenarkan ialah tidak melebihi kadar masa dua rakaat
sembahyang sunat yang ringkas.
4. Masa berkekalan dalam masa musafir hingga
Takbiratul Ihram sembahyang yang kedua ( tiada disyaratkan sampai tamat
sembahyang yang kedua itu ).
5. Berkeyakinan adanya waktu solat yang pertama
( Zohor atau Maghrib ) berkekalan hingga didirikan solat yang kedua ( Asar atau
Isyak ).
JAMAK TAAKHIR
Jamak Taakhir ertinya mengumpul sembahyang yang
pertama di dalam waktu yang kedua. Seperti Sembahyang Zohor dilaksanakan di
dalam waktu Asar dan sembahyang Maghrib di dalam waktu Isyak
Syarat-syarat sembahyang jamak Taakhir:
1. Hendaklah berniat Jamak Taakhir dalam waktu
yang pertama ( Zohor atau Maghrib ) seperti hendak Taakhirkan sembahyang fardhu
Zohor ke waktu Asar atau Taakhirkan sembahyang Maghrib ke waktu Isyak iaitu
ketika bermulanya masuk waktu Zohor atau Maghrib hinggalah berakhirnya waktu
berkenaan.
2. Masih dalam musafir hingga selesai kedua-dua
sembahyang.
NOTA :
1. Jarak antara sembahyang dalam jamak Taakhir
tidak semestinya berturut-turut, iaitu boleh diselangi dengan masa yang
panjang.
2. Tidak boleh jamak ( Taqdim atau Taakhir )
sembahyang fardhu Asar dengan Maghrib atau sebaliknya. Fardhu Isyak dengan
Fardhu Subuh atau sebaliknya. Juga tidak boleh jamak sembahyang fardhu Subuh
dengan fardhu Zohor atau sebaliknya. Yang dijamakkan ialah zohor dengan Asar
dan Maghrib dengan Isyak sahaja.
SEMBAHYANG QASAR
Sembahyang Qasar ialah memendekkan sembahyang
empat rakaat menjadi dua rakaat.
Syarat-syarat sembahyang Qasar
1. Perjalanan atau musafir yang diharuskan oleh
syarak atau bukan kerana membuat maksiat.
2. Perjalanan atau musafir yang lebih dua
marhala ( 56 batu/ 91 kilometer)
3. Niat sembahyang Qasar semasa Takbiratul
Ihram
4. Solat yang terdiri dripada 4 rakaat ( Zohor,
Asar, dan Isyak )
5. Berkekalan musafir ( masih daalam musafir )
sehingga selesai atau sempurna sembahyang.
6. Tidak boleh mengikut orang atau jemaah yang
sembahyang secara tamam ( sembahyang yang sempurna empat rakaat )
LAIN-LAIN PERKARA MENGENAI SEMBAHYANG JAMAK DAN QASAR
1. Sembahyang jamak dan qasar di satu-satu tempat ( dalam musafir ) boleh dikerjakan selama tiga hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar daripada tempat itu.
2. Jika berniat hendak berhenti di satu-satu
tempat ( dalam musafir ) selama empat hari atau lebih, maka putuslah musafir
sebaik sahaja sampai ke tempat tersebut dan tidak boleh lagi sembahyang jamak
dan qasar. Begitu juga kalau berhenti itu kerana hajat yang tidak boleh lagi
selesai dalam masa empat hari itu maka putus juga musafirnya. Tetapi kalau
berhenti itu kerana hajat yang boleh selesai dalam masa tiga hari ( atau hendak
berhenti kurang dari tiga hari ) maka boleh qasar dan jamak selama tiga hari
itu, selain daripada hari masuk dan hari keluar.
3. Seseorang berniat hendak berhenti terus dari
satu tempat, maka berakhirlah musafir apabila sampai ke tempat tersebut. Ia
tidak boleh lagi sembahyang jamak dan qasar kerana ia telah bermukim di situ.
4. Jika ia berhenti di satu tempat ( dalam
musafir ) kerana ada urusan yang dijangka selesai dalam masa dua atau tiga hari
tetapi urusan itu tidak juga selesai dari sehari ke sehari maka ia boleh terus
sembahyang jamak dan qasar sehingga 18 hari.
5. Seseorang bermusafir dalam keadaan tidak
tahu tempoh berhenti atau tiada tempat tertentu yang dituju tidak boleh
sembahyang jamak dan qasar.
6. Seseorang sedang sembahyang qasar dalam
kenderaan misalnya, tiba- tiba sampai ke tempat yang dituju yang tidak
dibolehkan jamak dan qasar atau sampai ke tempat asal ( tempat menetap ) maka
wajib disudahkan sembahyang fardhu itu secara tamam ( penuh empat rakaat ).
7. Jika bermusafir tetapi tidak tahu hukum dan
syarat-syarat mengenai sembahyang jamak dan qasar, maka ia wajib sembahyang
tamam ( sempurna ) sepanjang musafir.
8. Jika seseorang keluar dari rumah sebelum
fajar hari Jumaat, ia diharuskan mengerjaakan sembahyang Jumaat. Tetapi jika ia
keluar selepas fajar pada hari Jumaat, ia wajib sembahyang Jumaat di mana
tempat ia mendengar azan semasa ia bermusafir.
CARA MENGERJAKAN SEMBAHYANG DI DALAM KAPAL
TERBANG
Di dalam penerbangan penumpang tidak dibenarkan
mengambil air sembahyang kerana akan menyebabkan air yang banyak tertumpah ke
lantai yang akan membahayakan penerbangan. Di masa-masa tertentu, penumpang
juga hendaklah mematuhi arahan supaya duduk dan memasang tali pinggang keledar
di kerusi masing-masing bagi menjaga keselamatan semasa penerbangan.
Berdasarkan sebab-sebab di atas para ulama berpendapat cara-cara sembahyang di
dalam kapal terbang bolehlah dibuat seperti berikut :
1. Sembahyang dilakukan bagi menghormati waktu iaitu dengan isyarat sahaja di mana kita seolah-olah berada dalam keadaan tidak dapat bergerak seperti mana orang yang terikat pada pokok. ( Tidak perlu ada air sembahyang, tidak perlu menghadap Kiblat dan tidak perlu mengikut syarat-syarat sah lain yang diperlukan ).
2. Apabila turun di Lapangan Terbang dan waktu
masih ada, wajiblah sembahyang berkenaan diulang semula dan jika sudah habis
waktu, wajiblah sembahyang berkenaan diqadatkan.
LAFAZ NIAT
Lafaz Niat Sembahyang Qasar serta Jamak
1. Lafaz niat sembahyang qasar/ jamak Zohor
dengan Asar Taqdim
" Sahaja aku sembahyang fardhu Zohor dua
rakaat dihimpunkan kepadanya Asar tunai kerana Allah Taala ".
Selepas itu terus sembahyang Asar
" Sahaja aku sembahyang fardhu Asar dua
rakaat qasar kerana Allah
Taala ".
Taala ".
2. Lafaz niat sembahyang qasar/ jamak Zohor dengan Asar Taakhir
" Sahaja aku sembahyang fardhu Zohor dua
rakaat qasar dihimpunkan kepada Asar kerana Allah Taala "
Selepas itu terus sembahyang Asar
" Sahaja aku sembahyang fardhu Asar dua rakaat qasar tunai kerana Allah Taala ".
3. Lafaz niat sembahyang qasar/ jamak Maghrib dengan Isyak Taqdim
" Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib
tiga rakaat dihimpunkan kepadanya Isyak tunai kerana Allah Taala ".
Selepas itu terus sembahyang Isyak
" Sahaja aku sembahyang fardhu Isyak dua
rakaat qasar kerana Allah Taala ".
4. Lafaz niat sembahyang qasar/ jamak Maghrib
dengan Isyak Taakhir
" Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib
tiga rakaat dihimpunkan kepada Isyak kerana Allah Taala ".
Selepas itu terus sembahyang Isyak
" Sahaja aku sembahyang fardhu Isyak dua
rakaat qasar tunai kerana Allah Taala ".
Disusunjalur oleh:
Ust. Hassan Abdul Latiff 23/03/2005
No comments:
Post a Comment