Kebaikan
Besar Dan Istimewa Jika Mendalami Ilmu-Ilmu Islam
Kebaikan Besar Dan Istimewa Jika
Mendalami Ilmu-Ilmu Islam
عَنْ
مُعَاوِيَةَ، قَالَ: سَمِعْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم، يَقُولُ مَنْ يُرِدِ
اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَإِنَّمَا أَنَا قَاسِمٌ وَاللهُ
يُعْطِي، وَلَنْ تَزَالَ هذِهِ الأُمَّةُ قَائِمَةً عَلَى أَمْرِ اللهِ، لا
يَضُرُّهُمْ مَن خَالَفَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللهِ
Daripada
Mu’awiyah katanya, saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang
Allah s.w.t menghendaki kebaikan besar lagi banyak untuknya maka pasti Dia
memberikan kepadanya kefahaman yang mendalam dalam agama, sesungguhnya daku
hanya membahagikan, Allah jualah yang memberi. Umat ini akan terus berada tetap
dengan agama Allah, orang-orang yang menentang mereka tidak akan mengugat
mereka sehinggalah datang urusan Allah, ya’ni berlaku kiamat. (al-Bukhari, no:
71, Muslim, no: 1037)
Perkataan
khayr bermaksud kebaikan tetapi apabila didatangkan dengan nakirah
tanpa ada partikel alif dan lam yang menunjukkan ma’rifat ya’ni
sesuatu yang tertentu maka ia memberi erti sesuatu yang besar, banyak dan
istimewa. Oleh itu, ia sesuai diterjemahkan dengan mempunyai sifat bukan secara
mutlak.
Fiqh
bermaksud kefahaman yang mendalam tentang agama Islam yang merangkumi kesemua
cabangnya, aqidah, peraturan hidup, akhlak. Ia bukan terbatas kepada satu
cabang ilmu yang dikenali sebagai fiqh yang merujuk kepada sah dan batal amal
ibadat sahaja. Ini kerana dalam pemakaian ulama silam perkataan fiqh merujuk
kepada agama itu sendiri yang menjadi tanggungjawab dan kewajipan manusia untuk
menunaikannya dan menyempurnakannya dalam konteks sebagai hamba Allah s.w.t.
dan khalifah yang ditugaskan untuk memakmurkan alam ini. Istilah ilmu fiqh
tentang tatacara ibadat dan mu’malat hanya terkenal setelah mana tersusunnya
displin-displin ilmu secara berasingan melalui perkembangan pembukuan dan
dokumentasi ilmu. Sebelum itu, istilah ilmu aqidah lebih dikenali sebagai Fiqh
Akbar, kefahaman yang teragung seperti mana yang menjadi tajuk kitab Imam Abu
Hanifah dalam bidang tawhid.
Hadis
ini merupakan dalil yang menunjukkan kepada besarnya kedudukan mendalami ilmu
agama dan ianya tidak diberikan melainkan kepada orang yang Allah s.w.t.
mahukan kebaikan yang besar untuknya. Tafaqquh dalam agama ialah mempelajari
dan menguasai prinsip-prinsip agama yang merangkumi aqidah , shari’ah dan
akhlak, mengetahui halal dan haram dan perkara-perkara yang mendekatkan diri
kepada Allah s.w.t. Orang alim itu mengetahui urusan agamanya sehingga dia
mengetahui kebenaran lalu mengamalkanya dan memperjuangkannya serta
menda’wahkan kepada orang lain.
Kefahaman
yang mendalam tentang agama yang memberikan kebaikan kepada tuannya ialah ilmu
yang membawa kepada khashyah, takut kepada Allah s.w.t. dalam hati dan
kesannya itu dapat dilihat pada anggota tubuh badan sehingga berkemampuan untuk
melaksanakan tugas inzar, iaitu memberi peringatan untuk umat.
Sebaliknya
orang yang tidak mendalami dalam agama ialah orang yang tidak memperolehi
kebaikan besar dan istimewa yang dijanjikannya. Ini difahami berdasarkan Mafhum
Shart iaitu kebalikan syarat kepada orang yang Allah mahukan kebaikan yang
besar kepada dirinya dan berdasarkan kepada riwayat Abu Ya’la:
ومن لم يتفقه في الدين لم يبال الله به
Sesiapa
yang tidak mendalami agama, Allah s.w.t. tidak mengendahkannya.
Al-Baji
berkata: “Kefahaman yang mendalam tentang agama menunjukkan bahawa Allah s.w.t.
mahukan kebaikan yang besar untuk hamba-Nya dan orang yang Allah mahukan
kebaikan padanya maka diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama. Kebaikan
itu bererti masuk syurga dan selamat dari api neraka. Allah s.w.t. berfirman:
فَمَنْ زُحْزِحَ عَنْ النَّارِ وَأُدْخِلَ
الْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ
Ketika
itu (Pada hari Kiamat) sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke
syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. (Surah Al ‘Imran: 185) (al-Muntaqa
Sharh al-Muwatta`, jil. 9, hal. 279)
Antara
maksud mahukan kebaikan untuknya ialah Allah s.w.t. akan memberi kepada tugas
yang besar yang melaluinya dia akan memperoleh pahala yang banyak seperti mana
dalam firman Allah s.w.t.
وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا
كَافَّةً فَلَوْلا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا
فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ
يَحْذَرُونَ
Dan
tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi
berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di
antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara
mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar
kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka;
mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).
Jika
tidak kerana ulama yang menerima ilmu dan mewarisinya dari generasi sebelum
mereka dan mengajarkan pula kepada orang ramai serta menjelaskan kepada mereka
halal dan haram, maka pasti umat akan binasa dan berada dalam kesesatan. Setiap
zaman terdapat pelbagai cabaran dan golongan yang mahu memesongkan umat Islam
dari aqidah yang haq. Oleh itu, menjadi tugas orang yang mendalam ilmu untuk
mematahkan kekeliruan dan penyesatan mereka. Ia dapat dapat dilaksanakan
melainkan setelah memiliki ilmu yang mendalam dan hujah-hujah yang mantap.
Termasuk
juga dalam ma’na memperolehi kebaikan yang banyak ialah mendapat keampunan
melalui istighfar oleh makhluk-makhluk yang lain.
عن أنس بن
مالك قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : « طالب العلم أو صاحب العلم يستغفر
له كل شيء حتى الحوت في البحر »
Daripada
Anas bin Malik katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: Pelajar atau ahli ilmu
diminta keampunan untuk oleh setiap sesuatu termasuklah ikan di laut. (riwayat
Abu Ya’la yang dinuqilkan oleh Ibn Hajar dalam al-Matalib al-‘Aliyah, no: 3159)
Antara
sifat dan ungkapan tentang ilmu ialah ia merupakan sesuatu yang luas dan dalam
seperti laut. Oleh itu, orang yang berada dalam sesuatu bidang ilmu hendaklah
merenung dirinya adakah apa yang dipelajarinya itu secara mendalam dan meluas
ataupun sebaliknya. Tidak memadai seseorang yang menceburi satu bidang ilmu,
mempelajarinya beberapa tahun kemudian mendakwa dirinya sudah alim. Ilmu dalam
sesuatu yang amat luas tidak mempunyai tepian dan dalam sehingga tidak dapat
menyelam ke dasarnya. Di atas setiap orang yang berilmu ada lagi orang yang
berilmu daripadanya. Jesteru tidak seharus seseorang mendabik dada bahawa dia
seorang yang alim. Alim yang sebenar ialah seseorang yang terus mengkaji bidang
ilmu yang dipelajarinya di samping cuba menerokai bidang baru baginya serta
cuba mencantum segala hasil kajiannya dalam satu perspektif yang baru dan lebih
luas dan mampu meletakkannya di tempat sewajarnya dalam sistem ilmu yang
dipelajarinya. Sesiapa yang kuat asasnya tetapi tidak mengembangkan cabang di
atasnya maka tidak akan terhasil faedahnya seperti mana orang yang menyibukkan
dirinya fiqh tanpa merujuk kepada disiplin hadis. Jika dia tidak mengkaji hadis
yang sahih dan da’if maka dia membina ilmunya bukan di atas asasnya. Antara
hadis dan fiqh hendaklah saling melengkapi sebagaimana perlu mengukuhkan
kefahaman terhadap al-Qur’an dengan memahami Fiqh al-Sunnah.
KONTI RTM PULAU PINANG - Rabu II & III
JAM 5.20 PETANG
No comments:
Post a Comment