Saturday, 16 November 2013


HIMPUNAN KEMUSYKILAN AGAMA



Sembahyang terawih:

Saya ada satu soalan mengenai sembahyang terawih,soalannya ialah setiap kali saya sembahyang terawih,saya tidak sempat membaca Al-Fatihah disebabkan imam terlalu cepat. Adakah sah sembahyang saya itu.



Sembahyang tersebut dikira sah dimana AlFatihah makmum ditanggung oleh imam. Ini hanya dipakai pada sembahyang sunat sahaja, jika sembahyang fardu, AlFatihah adalah menjadi wajib keatas makmum kecuali yang masbu' (ketinggalan). Sila rujuk kitab solat untuk keterangan lanjut.



Sutera

Sutera yang di pakai oleh kebanyakan wanita sekarang ini boleh tak dibawa sembahyang?

Terdapat dua pendapat mengenai sutera, yang pertama mengatakan najis dan yang kedua mengatakan sutera yang dikeluarkan oleh ulat adalah bukan najis. (Seperti tahi ulat kayu) Walaubagaimanapun eloklah dipakai pendapat yang pertama iaitu tak boleh bawa sembahyang.

Adakah berdosa jika seorang lelaki memakai pakaian yang dibuat daripada sutera dan apakah hukumnya jika ia digunakan untuk menunaikan sembahyang. Adakah sah sembahyangnya?

Jika sutera itu asli, haram hukumnya dipakai oleh lelaki dan jika dibawa sembahyang,sembahyangnya tidak sah.



Isteri Degil

Seorang isteri enggan sembahyang. Berbuih mulut suami beliau menyuruhnya sembahyang. Kadangkala mereka bergaduh mengenai hal ini. Isteri beliau hanya kata, "Kubur aku, aku jaga Kubur engkau engkau jaga" !!!Apakah hukum perkahwinan mereka ?

Perkahwinan mereka adalah sah kerana pendapat ulamak tidak menghukum mereka yg meninggalkan sembahyang sebagai murtad. Tetapi isteri tersebut dikira fasik dimana beliau tidak boleh menjadi wali atau saksi. Pihak suami perlu menangani hal ini dengan penuh hikmah dan kesabaran. Cuba elakkan dari membuat ugutan kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. Berikut diberikan beberapa tektik dan teknik yg boleh dicuba :-

  • Ajak sembahyang jemaah bersama keluarga - anak-anak, ayah, mertua dsb.
  • Bawa kemajlis ilmu yang memerlukan sembahyang jemaah.
  • Bawa Tok Alim kerumah untuk mengajar ugama kepada keluarga.
  • Guna orang ketiga, (yang disegani oleh isteri) untuk memberi nasihat.
  • Guna khidmat kaunseling yang kini ada dimana-mana.
  • Tingkatkan ibadat sendiri supaya menjadi contoh kepada isteri.



Duit Raya

Apakah pandangan ustaz mengenai pemberian duit raya yang pada pandangan saya merupakan ikutan dari adat masyarakat cina.

Betul. Dizaman dahulu memang tidak ada. Di negara Arab pun tak ada. Cuma sekarang ini dan disini sajalah. Tetapi ianya boleh digulungkan sebagai amalan yang baik cuma perlu diislamkan. Kalau niat sedekah, maka sedekahlah juga pada waktu-waktu lain, bukan hari raya saja. Bila sedekah jangan pula sebut angpau dan seelok-eloknya pada orang yang betul-betul perlukan sedekah. Kita mungkin kena jaga supaya ianya tidak jadi budaya yang kita tak kan dapat apa-apa diakhirat. Mungkin kita boleh ubah sikit iaitu kita beri sedekah pada bulan Ramadhan bukan pada Hari Raya kerana kelebihan sedekah pada bulan Ramadhan itu lebih besar.



MENZIARAHI JENAZAH DAN MASALAH CERAI

Di sini saya ada 2 soalan berhubung perkara di atas:
Apakah hukumnya jika kita seorang islam menziarahi jenazah orang yang bukan islam?

Harus. Kerana apabila mati tak ada apa lagi, hanya hak Allah s.w.t.. Melawat sekadar menghormati kebaikan yang pernah dilalukan kepada kita. Tapi jangan ikut upacara dan cara agama mereka.

Boleh ustaz terangkan masalah dengan penceraian talak tiga. Adakah ia dilakukan dengan sebutan talak tiga kali secara berturut turut atau dengan melafazkan talak tiga dengan sekali ucapan?

Ini bergantung kepada mazhab yang diikuti. Dalam mazhab Syafie, samada suami menyebut sekali (talak 3) atau satu persatu, atau dengan isyarat yang difahami, maka jatuh tiga talaq. Tetapi ada mazhab lain yang mengira walaupun disebut 3 tetapi yang jatuh hanya satu talaq. Dan jatuhnya 3 talaq hanya apabila terjadi untuk tiga kali kejadian. DiMalaysia, bergantung pula kepada enakmen syariah di sesebuah negeri. Ada perbezaan antara satu negeri dan negeri yang lain. Sila rujuk ke Pejabat Kadhi yang berkenaan utk keterangan lanjut.



Wuduk

Saya ingin mengemukakan satu soalan berkenaan dengan wuduk. Adakah batal air sembahyang kita sekiranya tersentuh kulit dengan orang non-muslim (sama jantina)..

Tidak batal kerana mereka tidak najis. Akidah mereka saja yang dianggap salah. Yang berbeza hanyalah aurat dimana walaupun sama jantina kita perlu memelihara aurat kita dari mereka.



Insuran

Saya ingin bertanya apakah hukum kita membeli insuran nyawa?

Hukum membeli insuran nyawa adalah haram kecuali pengendaliannya secara Islam. Sila rujuk dengan Syarikat Takaful Malaysia untuk keterangan lanjut. Haramnya insuran tersebut menurut ulamak adalah kerana beberapa perkara yang diantaranya:

  • Perjanjian yang majhul ( tidak jetas).
    • Akad yang dilafazkan adalah tidak jelas iaitu tidak disebut harga, tempoh dan sebagainya. Kebanyakan syaratnya abstrak, contoh nya - kalau awak mati, kalau awak patah kaki dsb.
  • Hak peserta.
    • Apakah hak penerima untuk mendapat lebih dari yang disimpan?
    • Secara logiknya tentu ada pihak yang akan teraniaya - peserta yang tidak menuntut misalnya.
  • Unsur Riba
    • Terdapat unsur riba dalam pengurusan Insuran yang berasaskan simpanan.



Sembelihan

Ustaz, apakah boleh dimakan ayam yang disembelih, tetapi terputus tengkoknya ketika disembelih.

Boleh. Rukun sembelih adalah seperti berikut:

  • Penyembelih.
    • Muslim atau ahli kitab (yang betul-betul beramal).
    • Dengan sengaja dan menebut nama Allah.
  • Yang disembelih.
    • Binatang yang halal.
    • Urat pernafasan dan urat tempat lalu makanan wajib putus.
  • Pekakas sembelih.
    • Hendaklah tajam dari alat yang boleh ditajamkan.

Oleh yang demikian putusnya tengkok atau leher ayam tersebut tidak membatalkan syarat atau rukun sembelihan diatas. Walaubagaimanapun perlu dilihat pula dari segi lain iaitu penyembelih itu berdosa jika dia sengaja memutuskan leher ayam tersebut yang boleh dikira melakukan satu kezaliman kepada ayam tersebut.



Nama Anak Angkat

Saya mempunyai seorang anak angkat lelaki yang kini telah berumur 7 tahun. Selepas berumur 2 tahun, saya telah mendaftarkannya sebagai anak angkat saya secara sah disisi undang- undang. Diatas pandangan serta nasihat Jabatan Pendaftaran, saya namakannya Mohd. Asyraf Maula Rosly. Apakah ini dibenarkan dalam Islam.

Implikasi yang akan timbul ialah dari segi Fara'id (pembahagian harta), walaubagaimanapun, tiada masalah dalam hal wali mewali memandangkan anak ini adalah anak lelaki. Mem'bin'kan atau meletakkan nama bapa angkat kepada nama anak angkat tidak dibolehkan dalam Islam kerana ianya secara tidak lansung menafikan hak bapa kandung anak tersebut walaupun pada asasnya bapa angkat tidak berniat begitu.

Kerana kebiasaan dalam budaya masyarakat Islam amnya dan masyarakat melayu khasnya (meletakkan nama bapa dibelakang nama anak), adalah lebih baik ditukarkan kembali kepada nama bapa kandungnya atau nama yang membawa erti Hamba Allah seperti Abdullah, Abdul Rahim, Abdul Rahman dan sebagainya jika nama bapakandungnya tidak diketahui.

Dengan keperihatinan Jabatan Pendaftaran Negara terhadap masalah-masalah seperti ini sekarang ini, penukaran ini boleh dilakukan dengan mudah.



Gangguan Anak ketika Sembahyang

Anak lelaki saya yang umurnya baru nak menjangkau 2 tahun selalu datang dekat saya sewaktu saya sedang bersembahyang. Dia kadang-kadang menyentuh saya dan juga memijak kain sejadah. Adakah ini dibolehkan?

Sembahyang kita akan terbatal sekiranya anak yang bernajis itu kita tanggung ketika sembahyang tersebut, contohnya kita dukung atau anak itu memanjat diatas belakang kita ketika kita sujud. Sentuhan kulit yang bersih dengan kulit kita adalah dimaafkan. Cucu Rasulullah SAW dibiarkan berkain berhampiran baginda ketika baginda sembahyang. Walaubagaimanapun adalah baik jika dipastikan kebersihan anak tersebut sebelum kita sembahyang supaya tiada najis yang boleh mencemarkan tempat sembahyang kita, seperti apabila anak itu memijak sejadah atau memegang kaki kita. Apabila anak-anak itu mula membesar, didiklah mereka adab-adab yang menghormati orang yang sedang bersembahyang termasuk adab-adab menghormati tempat sembahyang termasuk surau dan masjid.



Akiqah
Dua bulan yang lepas, isteri saya melahirkan anak kami yang kedua. Dengan takdir Tuhan, anak tersebut, seorang bayi perempuan, dilahirkan di dalam keadaan yang sudah tidak bernyawa. Adakah saya boleh membuat akikah untuknya? Adakah hukum untuk membuat akikah untuk anak saya itu masih sunat mua'akad iaitu sunat yang sangat-sangat di tuntut?

Antara pendapat ulama':

1. Sunat sekiranya anak yang dilahirkan itu cukup sifatnya tidak kira samada hidup atau mati.
2. Sunat hanya sekiranya anak itu dilahirkan hidup, walaupun beberapa ketika sahaja.

Konsep akikah adalah untuk menzahirkan kesyukuran diatas pemberian Allah iaitu zuriat. Disamping itu, ianya juga sebagai cara untuk mendapatkan syafaat anak yang meninggal dimasa kecil di hari akhirat kelak dimana anak itu apabila dipanggil untuk masuk terus kesyurga (kerana tiada dosa) akan meminta untuk menunggu ibubapanya. Maka ibubapanya akan diampunkan dosa mereka untuk membolehkan mereka segera masuk bersama anak tersebut.

Dari huraian tersebut adalah dirasakan lebih baik jika dilaksanakan akikah untuk anak tersebut jika mampu. Walaupun secara zahirnya dia meninggal, tetapi dia telah kenal ibubapanya ketika dalam alam rahim. Dan InsyaAllah ibubapa inilah yang dinantikan diakhirat nanti untuk bersama melangkah ke syurga.

Allahua'lam.

Apakah hukum menjemput bukan Islam ke majlis kenduri akikah.

Bukan Islam tidak dibolehkan memakan sembelihan akikah. Ini akan mencacatkan ibadat tersebu Ibadat Aqiqah itu tidak sempurna.



Sembahyang Tahiyyatul Masjid

Sebuah surau diberi kebenaran untuk didirikan sembahyang Jumaat - contoh surau Tabung Haji. Apakah boleh kita melakukan sunat tahiyyatul masjid dan berniat iktikaf disana sedangkan status surau itu masih bukan masjid?

Sembahyang sunat tahiyyatulmasjid ialah sembahyang sunat untuk menghormati masjid. Jika dikaji istilah masjid disini bermakna tempat sembahyang berjamaah. Secara mudah, anggaplah surau yang diberikan taraf masjid sementara itu tergolong dalam istilah masjid dan sunat berniat ikhtikaf dan sembahyang tahiyyatul masjid. Tidak menjadi dosa jika bersembahyang sunat tahiyyatul masjid di surau.



Masalah Idah

Saya mempunyai satu soalan yang berkaitan dengan tempoh idah. Bolehkah seseorang yang di dalam tempoh idah pulang ke kampung untuk berhari raya? Adakah ini melanggar larangan ketika di dalam tempoh idah. Seseorang itu balik dengan niat untuk berjumpa dengan emaknya dan bukan untuk bersuka ria di hari raya aidiladha ini .

Iddah ialah 'masa menanti yang diwajibkan keatas perempuan yangdiceraikan (hidup atau mati) oleh suaminya.' Gunanya ialah untuk mengetahui samada rahimnya berisi atau tidak. Dari definasi itu tidak ada sebab mengapa seseorang perempuan yang telah diceraikan oleh suaminya itu tidak boleh pulang kerumah ibunya dihari raya. Yang diharamkan kepada perempuan itu hanyalah untuk berkahwin dalam tempoh iddah itu.



Ziarah Kubur

Mengikut apa yang saya perhatikan, kebanyakkan orang yang menziarahi kubur akan menjiruskan air di atas kubur yang mereka ziarahi. Air yang dijiruskan itu termasuklah air biasa, air cendana dan air bunga-bungaan. Kalau tidak salah saya, ada diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah meletakkan daun di atas kubur seorang Islam tetapi tidaklah menjiruskan air. Adakah perbuatan menjiruskan air ini dibenarkan oleh syarak? Adakalanya bunga-bungaan juga ditaburkan di atas kubur-kubur? Adakah ini juga dibenarkan? Disebabkan saya agak kerap juga menziarahi kubur keluarga, inginlah saya memastikan apa yang diperlakukan tidak menyalahi hukum-hukum yang ditetapkan.

Perkara-perkara yang disebutkan diatas belum pernah dijumpai dalam mana-mana kitab. (InsyaAllah, soalan ini akan dipanjangkan kepada beberapa Ustaz lain). Walaubagaimanapun kita digalakkkan untuk mendoakan simati, seperti membaca doa "Allahumaghfirlahum warhamhum wa afihim wa'fuanhum." Bertahlil dan membaca Al-Quran ketika menziarah kubur terutama kubur ibu bapa sendiri. Paling penting adalah untuk kita mengingati mati itu sendiri dan memuhassabah amalan yang bakal kita bawa kekubur nanti apakah sudah cukup atau tidak.



Zakat Pendapatan

Saya berharap agar ustaz dapat memberi sedikit penjelasan tentang zakat pendapatan dan apakah hukumnya. Saya kira masih ramai orang Islam di negara kita yang masih kurang jelas tentang perkara ini.

Zakat pendapatan diklasifikasikan sebagai sbahagian dari zakat perniagaan iaitu dikenakan zakat sebanyak 2.5% dari pendapatan setelah ditolak sara hidup. Sila buat pertanyaan di Majlis Ugama Negeri yang berhampiran untuk mengetahui nilai nisab pada masa ini. Nas-nas yg menjelaskan kewajiban berzakat misalnya:

  • An-Nur ayat 37-38
  • Al-Baqarah ayat267
  • dan hadith-hadith sohih.



Puasa Ibubapa

Ibubapa saya sudah lama meninggal. Saya merasakan bahawa mereka ada tertinggal di dalam ibadat puasa. Tetapi tidaklah saya tahu dengan tepatnya berapa harikah puasa yang ditinggalkan oleh mereka itu. Apakah yang perlu saya lakukan untuk membayar puasa yang mereka tinggalkan itu? Bagaimanakah cara untuk saya membayar? Adakah dengan puasa juga ataupun dengan membayar fidyah? Diharap mendapat penjelasan dari pihak ustaz.

Puasa ibu bapa yang tertinggal boleh diganti jika diketahui jumlahnya tetapi jika tidak tahu atau tidak diwasiatkan, tidaklah perlu diganti. Adalah lebih baik disedekahkan sedikit harta dan diniatkan untuk Allahyarham. Juga mohonlah keampunan segala dosa-dosa mereka, kerana doa anak yang soleh telah dijanjikan akan sampai sepertimana hadith nabi.



Sembahyang Jumaat dan Jamak

Untuk makluman Ustaz saya sedang menuntut di Jepun .
Soalannya: Disini ada 4 orang muslim.Jadi mengikut mazhab Syafi`i Fardhu Jumaat adalah gugur. Tetapi pelajar dari Indonesia cenderung untuk melakukan fardhu Jumaat.

Menurut mazhab Shafii antara syarat sah sembahyang Jumaat adalah mempunyai jumlah jemaah sebanyak 40 orang. Maka jika tidak cukup maka gugurlah kewajiban Jumaat itu danwajiblah dikerjakan sembahyang zuhur. Walaupun begitu ada mazhab lain yang berpendapat bahawa jumlah jemaah tidak perlu 40 orang. Jika sahabat anda bermazhab lain maka mungkin mereka masih boleh mengerjakan sembahyang Jumaat tersebut.

Adakah sah sembahyang jumaat sebelum masuk waktu zohor?.. & apakah hukumnya jika saya cuma bersembahyang zohor kerana was-was akan sahnya sembahyang jumaat tersebut.

Sembahyang Jumaat tidak sah dilakukan diluar waktu zuhur. Hukum mengerjakan sembahyang zuhur pada hari Jumaat adalah sah sekiranya terdapat halangan untuk mengerjakan sembahyang Jumaat.



Aurat

Adakah dikira seorang lelaki itu mendedahkan auratnya jika dia memakai seluar panjang yang agak ketat untuk bersukan disamping berseluar pendek dibahagian luar.

Aurat bagi lelaki ialah diantara pusat dan lutut. Menutup aurat adalah menghalang penglihatan kepada warna kulit menggunakan sesuatu seperti kain dan sebagainya. Walaubagaimanapun menggunakan pakaian yang ketat masih dikira tidak menutup aurat kerana belum dapat menghalang pandangan syahwat bagi wanita dan juga lelaki.

Cara bertudung yang bagaimanakah yang dituntut oleh Islam kepada kaum perempuan. Adakah cukup sekadar menutup kepala tetapi tidak bahagian dada. Adakah dikategorikan perempuan itu pada zahirnya tidak bertudung kepala sekiranya dia terus mendedahkan anggota badan yang lain (spt : memakai t-shirt, berseluar ketat, pakaian nipis dan ketat)

Aurat bagi perempuan adalah seluruh tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan. Sebagaimana diterangkan diatas, menutupnya hendaklah menghalang penglihatan (zahir dan syahwat) menggunakan bahan seperti kain atau sebagainya. Menutup kepala sahaja tidak memadai kerana masih ada bahagian aurat yang terdedah. Begitu juga mengenakan pakaian yang ketat menampakkan susuk tubuh. Sila rujuk surah AnNur ayat 31.



Haji Ibubapa

Ibubapa saya telah lama meninggal dunia dan belum sempat mengerjakan haji. Ibu saya pernah semasa hayatnya menyatakan hasrat untuk mengerjakan haji. Saya juga pada masa ini belum lagi mengerjakan haji. Yang manakah perlu diutamakan? Mengupah orang mengerjakan haji bagi pihak ibubapa saya ataupun mengumpul wang yang secukupnya untuk saya mengerjakan haji dahulu kemudian barulah sekiranya ada wang mengupah orang mengerjakan haji untuk ibubapa?

Jika duit tersebut adalah dari usaha kita maka wajib mendahulukan untuk diri sendiri.

Baru-baru ini terdapat sedikit perselisihan faham di mana ada orang mengatakan kami anak beranak wajib mengerjakan haji untuk ibubapa dengan menggunakan harta yang telah diwariskan kepada kami. Mengikut ustaz tersebut, harta yang diwariskan itu pada asalnya adalah harta ibubapa maka wajarlah anak-anak mereka menggunakan harta tersebut untuk tujuan mengerjakan haji ibubapa dan bukan haji anak-anak itu sendiri.

Hukum wajib haji diantaranya adalah mampu dari segi kewangan, sihat tubuh badan dan aman perjalanan. Jika ibubapa saudara pernah mampu (sehingga dapat meninggalkan pusaka) ketika hidup dahulu, maka telah jatuh hukum wajib haji keatas mereka. Oleh yang demikian hendaklah diasingkan secukupnya dari harta peninggalannya untuk upah haji mereka, sebelum harta tersebut dibahagi-bahagikan kepada pewaris-pewaris mengikut far'aid.



Hukum Merokok

Isu pengharaman merokok telah mendapat perhatian meluas dari masyarakat Islam Malaysia bukan sahaja kerana hukum pengharaman yang ditetapkan tetapi juga kerana perbezaan pendapat diantara Majlis Ugama Islam negeri-negeri.

Persoalan saya bukanlah dari segi mengapa rokok diharamkan tetapi dari segi yang mana satu nak ikut. Sekiranya sesuatu negeri itu telah mengeluarkan fatwa bahawa merokok itu haram, adakah penduduk di sesuatu negeri itu tertakluk kepada hukum yang telah ditetapkan pada peringkat negeri itu. Sekiranya ini benar, adakah haramnya merokok di negeri itu sama seperti haramnya berjudi, menipu, dan sebagainya? Bagaimana pula sekiranya kita pergi berlancong ke negeri lain yang tidak mengharamkan merokok? Adakah dengan secara automatik hukum merokok itu tidak lagi menjadi haram?

Baru-baru ini Majlis Fakwa Kebangsaan (kalau tak salah saya), telah menyatakan bahawa merokok itu haram. Macammana pulak dengan negeri-negeri yang masih tidak mengharamkan merokok?

Saya amatlah berharap pihak ustaz memberi penjelasan tentang yang mana perlu diikut dan apa yang perlu dilakukan. Buat pengetahuan ustaz, saya tidaklah merokok, tetapi jika jelas haram hukum merokok, maka wajarlah saya menghalang penghuni rumah saya daripada merokok.

Hukum yang berbeza dari satu negeri ke satu negeri lain adalah kerana nas yang digunakan untuk menyokong hujah mereka adalah dari sumber yang berlainan. Sebagai umat Islam dari golongan awam, apabila dalam keadaan was-was, maka hendaklah kita mengambil jalan yang lebih berat, iaitu dalam persoalan ini, baiklah kita ambil hukum merokok itu sebagai haram. Apabila telah mengambil sesuatu pegangan, maka hendaklah dipegang dengan tetap walaudimana sekalipun kita berada.

Hujah yang mengharamkan merokok adalah berdasarkan perkara-perkara berikut:

  • Kesihatan
    • Merokok telah dibuktikan boleh menyebabkan penyakit barah yang boleh membawa maut. Maka jika dilihat kepada firman Allah dalam Surah AlBaqaroh Ayat 195 yang bermaksud "..dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu kedalam kebinasaan..." adalah haram melibatkan diri kita dengan sesuatu yang boleh membinasakan diri sendiri.
  • Membazir
    • Merokok adalah suatu aktiviti yang jelas mendatangkan pembaziran. Sepertimana hujah diatas, terdapat juga ayat yang menegah umat Islam dari membazir. Engkar kepada perintah Al-Quran hukumnya adalah haram.
  • Bantuan kepada ekonomi Yahudi
    • Kebanyakan syarikat pengeluar rokok adalah kepunyaan Yahudi. Membeli rokok secara tidak lansung adalah menolong syarikat mereka.

Segala kemungkaran wajib ditegah dimana cara menegahnya bergantung kepada iman seseorang. Tegahan boleh dibuat dengan kekuatan, percakapan atau yang paling lemah ialah dengan hati.



Sembahyang Musafir

Saya telah berniat melakukan Jamak Takhir (menghimpunkan Sembahyang Zohor ke Asar) dalam perjalanan yang melebihi 2 marhalah. Bagaimanapun, saya telah sampai ke rumah dalam waktu Asar tanpa sempat menunaikan Jamak Takhir semasa dalam perjalanan. Apakah yang perlu dilakukan? Perlukah saya sembahyang Asar and qadho sembahyang Zohor?

Setelah sampai ketempat bermastautin, maka musafir kita tamat. Dengan itu tidak boleh kita bersembahyang Jamak lagi. Maka perlulah kita bersembahyang Asar dan mengqadho sembahyang zuhur yang tertinggal.

Semasa dalam perjalanan jauh, sewaktu masuk waktu Zohor saya telah berniat untuk menjamak sembahyang Zohor dengan Asar di waktu Asar. Bagaimanapun, tidak lama selepas itu, sewaktu waktu Zohor masih ada, sebahagian dari penumpang kenderaan ingin membuat jamak taqdim iaitu menjamak Zohor dengan Asar di waktu Zohor. Bolehkah saya bertukar niat dan bersembahyang bersama mereka?

Tidak menjadi masalah.

Pernah juga saya terpaksa memulakan suatu perjalanan jauh sebelum masuk waktu Subuh. Perjalanan saya mengambil masa yang lama dan adalah sukar bagi saya mengerjakan sembahyang subuh kerana waktu Subuh yang agak pendek dan perjalanan juga agak baru dimulakan. Sembahyang jamak tidak terdapat untuk Sembahyang Subuh, maka saya dalam keadaan sukar berhenti juga untuk sembahyang. Adakah terdapat sebarang kemudahan di dalam Islam untuk musafir di dalam keaadan begini?

Sembahyang Subuh tetap wajib dikerjakan dalam waktunya. Maka jika keadaan diluar kawalan kita, seperti dalam bas dan sebagainya, hendaklah kita bersembahyang dengan kekurangan tersebut, seperti sembahyang duduk dan sebagainya.

Terdapat pelajar disini (soalan dari Jepun) yang melakukan sembahyang Jama` dan Qasar dengan alasan dia disini datang untuk sementara sahaja (4 tahun )dan bukan untuk terus tinggal disini (bermastautin).

Menurut mazhab Shafii, istilah musafir ialah menetap tidak lebih dari tiga hari tiga malam. Selebih dari itu tidak dikira musafir dan tidak boleh mengerjakan sembahyang Qasar dan Jama'. Pengkecualian diberi juga kepada musafir yang tidak tentu tempoh menetapnya mereka disatu-satu tempat tersebut. Contohnya, jika seseorang musafir itu menjangka bahawa beliau akan menetap disuatu tempat itu tidak lebih dari tiga hari, akan tetapi kerana sesuatu sebab yang tidak dapat dielakkan, beliau terpaksa tinggal lebih lama tanpa tahu bila boleh beredar. Maka beliau dibolehkan menjamakkan sembahyangnya sehingga 15 hari.



Terbuka aurat ketika sembahyang

Apakah batal sembahyang sekiranya kain telekung terselak hingga menampakkan jari kaki sedangkan ketika itu saya tinggal seorang diri dan tidak ada sesiapa pun yang melihatnya?

Batal. Kerana menutup aurat adalah antara syarat-syarat sah sembahyang. Sembahyang itu wajib dilakukan semula tanpa perlu membaharui wudhu'.



Lukisan Wajah Nabi

Tetapi ada pihak yang menyatakan, saya tidak harus melukis wajah nabi, terutama Kekasih Allah (Nabi Muhammad , Peace be Upon Him), Khalifah-khalifah, sahabat-sahabat dan ahli keluarga. Jadi apa yang boleh saya gantikan.

Semasa kanak-kanak, saya gemar membaca komik berkisahkan yang sama yang dibeli dari Indonesia. Mereka ada menggantikan Nabi Muhammad (S.A.W) dengan ejaan namanya sahaja (Mim Ha Mim Dal) ditulis didalam satu bulatan seakan-akan cahaya. Apakah pandangan anda tentang perkara ini?

Saya juga ada menziarahi sebuah web-page di mana ada berbagai-bagai lukisan yang mungkin berasal dari Turkey, memaparkan wajah Nabi Muhammad semasa Israk Mikraj, Bersama Jibrail bermacam-macam lagi. Adakah ini di haramkan?

Melukis atau menzahirkan wajah nabi adalah haram hukumnya. Ini adalah menurut pendapat ulamak-ulamak besar dari zaman dahulu hingga sekarang. Jika mahu juga menggambarkan kehadiran Rasulallah pada sesuatu keadaan, maka bolehlah digantikan diri nabi dengan huruf sebagaimana yang saudara terangkan. Begitu juga sekiranya dalam lakunan (TV atau Filem) memerlukan adegan nabi menunggang kuda, maka boleh ditunjukkan kuda yang sedang berlari tanpa penunggang. Jika perlu percakapan nabi pula, boleh dibacakan hadith berkenaan dengan 'cakap ajuk' atau disebutkan "Sabda Nabi SAW:" dan disebut nama perawinya sekali.



Dakyah Syiah

Saya kini belajar diluar negara dan terdedah kepada berbagai rupa manusia di dunia ini. Salah satu dari manusia-manusia ini adalah orang Islam sendiri, tetapi dari kumpulan Syi'ah Iran. Saya pernah terdengar dahulu semasa saya mendengar ktubah Juma'at diMalaysia bahawa ajaran dan dakyah Syi'ah ini sangat bahaya sehingga menggugat akidah sebagai seorang Muslim dari gulungan sunnah wal'jumaah.Tapi ini setelah beberapa tahun lalu. Soalan saya Ustaz:

Jika ingatan saya baik dan benar, betulkah kenyataan saya diatas itu ?.

Benar. Golongan Syi'ah memang berusaha menambah bilangan ahli mereka dan fahaman mereka disahkan keluar dari Ahli Sunah Jamaah

Saya telah diajak berbincang dengan meraka berkenaan dengan hal-hal akidah seorang Islam tetapi saya menolak atas alasan pengetahuan akidah saya tidak mendalam. Dari percampuran dengan mereka nyata kepercayaan mereka tentang Islam telah menyeleweng dan terlalu berasaskan kebendaan dan logik saintifik.

Golongan ini dinamakan Muttazilah iaitu golongan yg mendahulukan akal dari nas. Terdapat pendapat bahawa golongan ini telah lupus dari muka bumi, tetapi dizaman ini, walaupun mereka tidak menamakan diri mereka sebagai golongan Muttazilah, tetapi pemikiran mereka masih berlandaskan pemikiran Muttazilah. Sedang golongan Syi'ah terbentuk dari faktor-faktor sejarah. Mereka terlalu taksub dengan Sayyidina Ali dan ahlul-bait. Jauhkan diri anda dari berbincang berkenaan hal-hal akidah dengan golongan ini kerana dikhuatiri terpengaruh dan terpesung akidah anda.

Adakah keyakinan dan kepercayaan saya selama ini terlampau menyerah bulat-bulat kepada ALLAH SWT tanpa langsung memberi sedikit fikiran yang mengadungi logik. Saya percaya sesuatu didalam Islam,terutamanya ikutan ajaran gulunggan ahli Sun'nah Wal'jumaah memang ada logik nya dan sebab itu sesuatu itu dilakukan. Dan inikah yang di maksudkan olih Khatib tersebut semasa memberi ktubah jumaat pada hari itu ?.

Masalah ibadat sumbernya dari Allah s.w.t. dan Rasul. Sebagai umat Islam kita perlu menerima bulat-bulat syariah yang sahih tanpa mencari logiknya sesuatu ibadat tersebut. Ini adalah kerana terlalu banyak perkara yang tersirat didalam suruhan dan larangan Allah s.w.t. yang mungkin tidak sampai keperingkat logik akal kita, sekurang-kurangnya buat masa ini. Contohnya, dalam masalah larangan memakan babi, tentunye sebelum perubatan moden berjaya menjumpai kuman yang dibawa oleh daging babi yang mana tidak boleh dihapuskan dengan suhu tinggi sepertimana kuman-kuman lain, umat Islam tidak dapat memikirkan logiknya larangan tersebut. Mungkin disuatu masa nanti banyak lagi persoalan-persoalan ibadat lainnya akan terjawab dan dapat diterima logik.

Dalam masalah logik dan tidaknya sesuatu hal tersebut, marilah kita ambil ikhtibar dari peristiwa Nabi Musa AS dengan AlKhidir AS. Ilmu Nabi Musa AS jelas tidak setaraf dengan AlKhidir AS menyebabkan perbuatan AlKhidir AS dianggap tidak logik oleh Musa AS.



Amalan Bapa

Saya masih mempunyai seorang ayah yang usianya hampir-hampir mencecah 50 thn. Masalahnya ustaz, beliau malas untuk melakukan suruhan Allah seperti mengerjakan solat, puasa dan sebagainya. Kebiasaannya beliau tidak memperdulikan nasihat yang diberikan oleh ibu.

Soalan:

Apakah keupayaan seorang anak apabila menghadapi situasi sebegini selain memanjatkan doa ke hadrat Illahi supaya dibukakan pintu hatinya?

Banyak cara yang dapat anda lakukan tanpa menyakitkan hati bapa tersebut. Antaranya ialah dengan kita sendiri menunjukkan contoh yang baik. Misalnya mengajak adik-adik bersembahyang jemaah bersama-sama ibu. Mendengar ceramah (kaset, radio, tv dan sebagainya) dirumah dan lain lain lagi. Perlu diingat pendekatan saikologi adalah lebih berkesan dari pendekatan secara lansung. Doa juga perlu mengiringi segala usaha tersebut agar Allah s.w.t. memberikan hidayah dan taufiq serta membukakan pintu hatinya menerima kembali agama Allah s.w.t..

Adakah wajib bagi saya mendengar kata-katanya jika beliau tidak beriman kepada Allah s.w.t.?

Sebagai anak, anda tidak boleh membantah kata-kata beliau selagi tidak menyalahi hukum ugama. Tidak beriman disini tidak bermakna kafir tetapi hanya sebagai engkar perintah. Namun aqidahnya masih mempercayai keesaan Allah s.w.t.. Contohnya beliau tidak mengatakan bahawa sembahyang itu tidak wajib walaupun beliau tidak mengerjakannya.



Insuran Nyawa - sambungan

Ustaz, saya ada terbaca dalam kemusykilan agama terdahulu berkenaan dengan insuran nyawa.Setelah saya sedar , saya berhajat ingin melabur di syarikat insuran yang menjalankan secara Islam. Masalah saya , saya telah menyimpan selama setahun dengan jumlah lebih kurang $ 1500. Saya tidak dibenarkan mengeluarkan wang berkenaan sekurang-kurangnya selepas 5 tahun menyimpan. Ada pihak yang menganjurkan saya terus menbayar dan kemudian membayar zakat keatasnya. Ustaz, saya minta pandangan ustaz apa yang sebaik-baiknya melalui cara Islam yang patut saya lakukan.

Alhamdulillah, anda sedang berusaha untuk membersihkan diri anda dari segala yang subahah. Adalah difikirkan bahawa anda perlu juga menunggu selepas lima tahun kerana membayar zakat tidak dapat membersihkan wang tersebut. Apakah anda pasti bahawa sekiranya anda meninggal sebelum lima tahun itu waris anda tidak akan mengambil wang insuran tersebut? Saranan yang diberikan itu adalah supaya anda menganggap bahawa jumlah yang anda sumbang kepada syarikat insuran itu adalah simpana maka anda wajib membayar zakat harta (simpanan). Tetapi sebagaimana yang telah diterangkan dahulu, masalahnya adalah kerana tiga perkara tersebut yang sudah tentu tidak dapat dibersihkan dengan membayar zakat. Setelah lima tahun ambillah jumlah yang anda simpan sahaja tanpa mengambil lebihan yang mungkin ada.



Masalah Jam Emas

Uztaz, saya ada menerima hadiah jam tangan dari makcik saya tapi adik saya ada terbaca dalam surat khabar yang mengatakan jam berjenama seperti yang saya terima itu ada disaluti dengan emas. Apakah hukumnya ustaz, walaupun saya tidak berniat menganggapnya sebagai satu barang perhiasan.

Ada pendapat yang mengatakan haramnya dipakai oleh lelaki adalah emas tulin dan bukan saduran atau salutan. Lebih-lebih lagi seperti jam yang mana ianya mempunyai kegunaan yang lain dan bukan semata-mata hiasan.



Dimana Allah s.w.t.

Kita sering mendengar Allah s.w.t. ada dimana-mana tidak bertempat. Apabila seseorang penceramah menyebut Allah s.w.t. mereka sering juga menunjukan jari ke arah langit. Kita juga mendengar kisah Israk& Mikraj dimana Nabi Muhammad s.a.w.. diangkat kelangit ke tujuh untuk menerima sendiri wahyu dari Allah s.w.t. iaitu Solat 5 waktu. Harap dapat tuan jelaskan.

Memang terdapat ayat-ayat yang secara tidak lansung menyatakan bahawa Allah s.w.t. berada di langit, seperti ayat yang mengatakan bahawa rahmat (pertolongan) Allah s.w.t. akan turun dari langit. Begitu juga dalam kisah Israk & Mikraj, dimana Nabi Muhammad s.a.w. menerima fardu sembahyang dari Allah s.w.t. dilangit ketujuh.

Akan tetapi Allah s.w.t. dengan sifat Tidak Serupa DenganYang Baru, maka mengikut aqidah ahli sunnah wa jamaah, adalah terpesong aqidah jika mengatakan Allah s.w.t. berada disatu-satu tempat ataupun dimana-mana. KekuasaanNya menjadikan tiada tempat yang tidak dikuasaiNya, iaitu tiada tempat untuk menyembunyikan diri dari Allah s.w.t.. Maka mungkin kerana ini terdapat guru yang mengatakan bahawa Allah s.w.t. dimana-mana. Marilah sama-sama kita perbetulkan kesilapan tersebut.



Belajar Al-Quran dengan CD-ROM

Apakah pendapat Ustaz mengenai belajar membaca Al-Quran dengan menggunakan perisian komputer (CD-ROM) yang berada di pasaran sekarang. Untuk pengetahuan Ustaz, saya sudah lama khatam Al-Quran ( hampir 9 tahun ) tetapi jarang membacanya.

Belajar Al-Quran mempunyai tiga elemen yang mesti ada untuk menjamin keberkesanannya. Tiga elemen itu ialah guru yang mursyid, mendengar dan memperdengar. Guru perlulah dari yang alim(berpengetahuan) dalam bidang Al-Quran, beliau membaca untuk murid mendengar dan murid membaca untuk memperdengarkan kepada guru untuk diperbetulkan. Dengan menggunakan CD-ROM untuk belajar tajwid khasnya dan Al-Quran amnya, dua elemen yang penting itu hilang. Elemen tersebut ialah guru dan memperdengar. Yang ada ialah mendengar. Tanpa memperdengarkan bacaan kepada bguru yang mursyid, tentunya kita tidak tahu samada sebutan kita itu betul atau tidak baik dari segi makhrajnya maupun dari segi hukumnya. Terdapat imam-imam masjid yang membaca Al-Fatihah setiap hari, tetapi secara tidak disedarinya ada sebutan yang tergelincir. Apatah lagi jika sudah sekian lama kita tidak membaca memperdengarkan kepada guru.



Bercakap dengan perempuan

Saya ada kemuskilan yang inginkan penjelasan daripada ustaz. Kawan saya ada memberi tahu yang bercakap dengan perempuan lebih sepuluh minit adalah berdosa. Adakah ini benar Ustaz?

Islam mempunyai garis panduan tertentu yang mengawal hubungan antara lelaki dan perempuan. Secara amnya garis panduan ini adalah untuk mengelakkan maksiat dan juga untuk mengelakkan fitnah dan sangkaan buruk orang lain. Oleh yang demikian, halangannya bukan dari segi masa tetapi lebih kepada niat , kandungan dan keadaan ketika berlakunya percakapan itu.



Nasi bercampur sembelihan tidak halal

Didalam satu pinggan terdapat daging/ayam yang meragukan cara penyembelihanya.Soalnya adakah boleh kita memakan nasi yang telah bercampur dengan kuah lauk tersebut jika kita mengasingkan lauk itu.
Harap dapat penjelasan dari tuan.Terima kasih.

Sekiranya kita berada dalam keadaan was-was maka tinggalkanlah. Tetapi sekiranya dalam keadaan terpaksa, iaitu tiada alternatif lain, maka asingkanlah yang diragui itu. Keraguan disini adalah diatas keharamannya, dimana makanan tersebut asalnya halal tetapi diragui cara sembelihannya. Jika asalnya haram, seperti babi dan anjing, maka kelonggaran untuk memakannya hanyalah dengan sebab menjaga nyawa dan makan sekadar untuk menjaga nyawa (bukan untuk mengenyangkan.)



Imam jamaah terbatal

Ketika sedang di dalam sembahyang berjemaah, imam telah terbatal sembahyangnya. Apakah tindakan yang perlu dilakukan oleh makmum untuk meneruskan sembahyang. Pernah saya ternampak makmum di belakang imam perlu mengambil alih kedudukan imam dan bagaimana caranya dan bagaimana jika tiada reaksi daripada makmum dibelakang imam, bolehkah makmum yang lain mengambil alih kedudukan imam?.

Apabila Imam terbatal sembahyangnya dalam sembahyang berjemaah, makmum yang betul-betul berada dibelakang imam itu bertanggungjawab menggantikan tempat imam dan meneruskan sembahyang tersebut. Makmum ini juga bertanggungjawab menegur imam dalam menunaikan rukun-rukun sembahyang termasuk bacaan. Jika imam terbatal, beliau hendaklah keluar dari tempatnya dengan tertib, setidak-tidaknya kesebelah kiri tempat imam tersebut sekiranya tidak ada laluan untuk kebelakang. Apabila makmum dibelakang beliau sedar bahawa tempat imam telah kosong, maka makmum ini perlu bergerak kehadapan dengan pergerakan yang tidak lebih dari dua pergerakan. Setelah sampai ketempat imam maka hendaklah disambung dari mana tempat imam terdahulu terhenti. Kekosongan yang ditinggalkan oleh makmum yang menggantikan imam itu hendah diisi oleh makmum yang sebelah atau yang dibelakang dan seterusnya. Sekiranya kita berada jauh dibelakang dan tiada siapa yang mengambil alih tempat imam, maka kita boleh berniat mufarrakah(berpisah) dari imam dan meneruskan sembahyang tersebut secara sendirian.

Rumah dan Kereta Baru

Ustaz, saya banyak terdengar berbagai cara orang lakukan bila berpindah ke rumah baru atau mendapat kereta baru. Ada yang melakukan tepung tawar dan sebagainya. Saya ingin mendapat penjelasan dari ustaz apakah yang sebaik-baiknya yang agama Islam anjurkan apabila kita berpindah ke rumah sewa yang baru. Untuk pengetahauan ustaz rumah sewa saya yang baru ini, sebelum ini diduduki oleh orang berbangsa Cina. Bagaimana pula apabila kita menerima kereta baru.

Perkara yang paling baik dilakukan apabila berpindah kerumah baru ialah membuat majlis doa selamat. Dalam majlis ini selain dari doa selamat, boleh juga dibaca Surah AlBaqarah untuk menghalau jin yang mungkin berada dirumah itu. Adakan sedikit kenduri supaya dapat bertemu dengan jiran baru. Untuk rumah anda, selain dari yang diatas, eloklah disamak bahagian rumah yang difikirkan terkena najis, seperti bahagian dapur dan sebagainya. Dalam soal kereta, memadailah dengan membaca doa selamat. Yang pentingnya setiap perjalanan kita hendaklan dimulai dengan doa.

Sembelihan dan Ahlul Kitab

Saya sedang menuntut di salah sebuah university di USA di mana masyarakat Islam nya adalah minority ( lebih kurang 20 orang). Bagi pelajar pelajar Malaysia kami mendapatkan bekalan daging halal daripada sebuah kedai yang jauh (140 batu) daripada tempat kami. Walaupun ini merupakan sedikit masalah olih sebab kesempitan masa, jarak dan 'availability of supply', kami usahakan juga untuk mendapatkan bekalan kami. Kami menghadapi percanggahan pendapat dengan masyarakat Islam yang lain yang berpendapat bahawa orang orang Kristian dan Yahudi pada waktu ini masih bolih di anggap Ahlul Kitab. Olih sebab ini sembelihan mereka ini halal untuk di makan(berdasar ayat drpd. Suratul Ma'idah). Sepengetahuan saya, definasi Ahlul Kitab ialah penganut ugama Kristian/Yahudi yang masih berpegang teguh dan mengamalkan pengajaran kitab Injil/Taurat yang asli. Pada zaman ini adalah diragui sama ada wujudnya gulongan ini. Saya berharap uztaz dapat memberikan penjelasan.

Memang benar terdapat dua pendapat. Satu yang mengatakan boleh memakan sembelihan orang Yahudi dan Kristian zaman ini dan satu pendapat lagi mengatakan tidak. Pendapat pertama mengatakan boleh dengan syarat penyembelihan itu mengikut cara Islam, iaitu dengan pisau tajam yang memotong urat-urat tertentu. Rasional pendapat ini ialah ketika zaman Rasulullah, orang Kristian dan Yahudi telah pun mengikut kitab yang diselewengkan.

Pendapat kedua mengatakan tidak boleh dengan sebab orang-orang Kristian sekarang tidak lagi mempercayai tuhan dan sembelihan mereka itu pun tidak mengikut cara Kristian atau Yahudi yang mana sama dengan cara Islam. Maka dengan adanya dua pendapat ini, maka saya syorkan sekiranya ada pilihan yang lebih baik (sembelihan orang Islam) maka pilihlah ia walaupun sedikit menyusahkan. Setiap kesusahan ada kesenangan (Alam Nasyrah).

Qadha dan Qadar

Kita disuruh beriman dengan Qadha dan Qadar dan mempercayai apa sahaja perkara yang berlaku adalah dengan takdir Allah . Pertanyaan saya, kita sebagai manusai biasa tidak sunyi dari berbuat dosa dan bagaimana kita boleh kaitkan dengan Qadha dan Qadar agar kita tidak menyalahkan takdir dan dalam masa yang sama kita masih beriman dengan Qadha dan Qadar ?

Qadha dan qadar adalah urusan Allah s.w.t.. Mengaitkan qadha dan qadar dengan sesuatu yang kita lakukan samada baik atau buruk memerlukan kita memahami konsep qadha dan qadar serta keupayaan berusaha yang diberikan Allah s.w.t. kepada manusia. Allah s.w.t. menuntut kita berusaha mendapatkan kebaikan dan kemudian bertawakal kapadaNya. Setelah berusaha itulah baru boleh kita berserah kepada takdir dengan berharap segala usaha kita diberkati Allah s.w.t. dan takdir yang menimpa kita adalah takdir baik. Sekiranya tidak juga tercapai maksud usaha kita itu maka kajilah kembali usaha yang kita lakukan, apakah cukup atau tidak atau ada unsur lain yang menghalang maksud itu secara tidak lansung. Ketika itu biasanya orang berkata, yang baik dari Allah s.w.t. dan yang buruk itu kelemahan kita sebagai makhluk. Cuba berbincang dengan ustaz ditempat saudara untuk penjelasan yang lebih teguh kerana perkara ini melibatkan aqidah..

Pergaulan Lelaki dan Wanita

Soalan 1
Apa pendapat Ustaz tentang seorang perempuan menaiki kereta lelaki yang bukan muhrimnya untuk ke tempat kerja?

Apabila berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram maka orang ketiga adalah syaitan. Dalam Islam kita diunjurkan supaya bersangka baik, namun kita juga perlu menjaga supaya perbuatan kita tidak mendatangkan sangkaan buruk dari orang lain. Perbuatan ini boleh mendatangkan fitnah apabila ada orang lain bersangka buruk terhadap mereka walaupun sebenarnya tiada lansung unsur-unsur tidak baik dalam perbuatan mereka itu. Dari itu eloklah dielakkan.

Soalan 2
Bagaimana pandangan Islam terhadap masalah apabila seorang lelaki dan perempuan itu keluar berdua-duaan, tetapi semasa mereka keluar berduaan itu mereka masih mampu mengawal perasaan dari melakukan perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam. Adakah dibenarkan pergaulan semacam itu sekiranya niat kita ikhlas kerana ingin menjadikan dia sebagai teman hidup

Tidak dibenarkan kecuali bersama mahram yang adil. -sila lihat jawapan kepada soalan 1 diatas -

Adab Mandi

Apa pandangan menurut Islam, apabila seseorang mandi telanjang atau kencing berdiri ?

Perkara-perkara tersebut adalah makruh dan adalah buruk dari segi adab. Seperti kencing berdiri boleh menyebabkan percikan najis mengotori bukan saja tandas tersebut malah lebih buruk lagi mengotori tubuh dan pakaian kita yang akan kita bawa bersolat.

Menangis dalam solat

Uztaz, apakah hukumnya seorang menangis diwaktu sembahyang disebabkan keinsafannya terhadap segala dosa-dosanya yang telah lalu ?

Sekiranya tiada suara yang keluar (yang boleh membatalkan sembahyangnya) maka menangis dalam sembahyang terutamanya sembahyang fardhu, hukumnya makruh. Tetapi jika dilakukan selepas sembahyang (ketika berdoa), maka itu tidak mengapa.

Surat berantai

Soalan 1
Uztaz, saya ada menerima surat berantai yang pada amnya mengajak kita bertakwa kepada Allah s.w.t.. Tetapi di akhir surat itu ada diceritakan berkenaan kisah orang yang mendapat bala kerana tidak menyebarkan sebanyak 20 salinan kepada orang lain. Apa pandangan ustaz ?

Soalan 2
Baru-baru ini saya ada menerima e-mail yang mengandungi surat berantai. Di dalamnya menceritakan tentang wasiat seorang alim dari Madinah. Di akhir surat tersebut di suruh sesiapa yang membacanya supaya disampaikan kepada orang lain sebanyak 20 salinan dalam masa 2 minggu. Sekiranya dilakukan akan dikurniakan oleh Allah s.w.t. sesuatu hajat atau niat. Dan apabila tidak dilakukan akan terjadi sesuatu perkara yang buruk. Apakah hukumnya mempercayai surat ini?

Dahulu ia diedarkan dengan membuat salinan photostat tetapi kini ia diedarkan melalui internet.

Setelah diamati, ada beberapa perkara yang boleh dikupas dari surat itu.

Pertama dari segi isi.
Kebatilannya terbukti apabila surat ini mendakwa Sheik Ahmad bertemu Rasulallah dalam mimpi dan memberi pesanan kepadanya. Seolah-olah belum selesai tablighnya. Kita ketahui bahawa dalam khutbah terakhir ketika haji wida', Rasulullah telah bersabda "Telah sempurna bagimu agamamu" yang membawa maksud bahawa tiada lagi wahyu atau ugama yang akan turun selepas itu. Mahu ikut yang mana? Surat inikah atau AlQuran?
Kedua dari segi arahannya
Sekiranya kita percaya bahawa dengan mengedar 20 keping surat ini akan membawa rezeki atau kebaikan dan sebaliknya sekiranya tidak maka kita kan ditimpa bencana maka secara tidak lansung, kita percaya bahawa ada lagi kuasa selain Allah SWT. Ini akan menjadikan kita syirik. Na'uzubillah. Sheik Ahmad yang dikira kuat iman ini pula sanggup mati dalam kufur. Seseorang yang berilmu, warak., alim dalam soal agama tidak akan mempertaruhkan imannya untuk apa sekalipun. Saya berpendapat surat ini adalah satu dakyah untuk memesongkan aqidah umat Islam. Mari kita kaji pula niat disebalik surat berantai ini secara halus:

Ia mengandungi isi yang menceritakan tentang Sheik Ahmad yang kononnya bertemu Rasulullah dalam mimpinya. Rasulullah kononnya memberi satu statistik yang tujuannya menakutkan pembaca yang memang tiada cara untuk membuktikan kesahihannya. 60,000 orang akan mati tanpa iman, apa maksudnya? Adakah orang yang ke 60,001 akan beriman? Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan. Sekiranya diedar 20 salinan, akan mendapat berkat, dan sekiranya engkar akan mendapat bala. Untuk meyakinkan pembaca, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini adalah palsu. Untuk menambahkan lagi keyakinan pembaca, diturunkan pula beberapa contoh yang menjurus kepada perkara diatas. Tentunya susah untuk menentukan kesahihan cerita tersebut. Cuma setahu saya, Allahyarham Tan Sri Ghazali Jawi tidak dibuang kerja tetapi meletak jawatan kerana mahu aktif dalam politik. Kalau ada yang rapat dengan keluarga Allahyarham atau keluarga Datuk Tajul Rosli, mungkin boleh sahkan hal ini.
Tentunya muslim yang rapuh imannya akan terpengaruh dengan dakyah sebegini. Jika tak dihiraukan maka semacam ada keresahan dalam hati seolah-olah menanti bencana yang dijanjikan. Maka dengan keresahan inilan syaitan dapat menakluk hati kita. Dicekiknya tubuh kita sehingga sakit, maka kita teringat akan surat wasiat tersebut, dan kita edarkan. Syaitan akan melepaskan cekikannya ketika itu kerana dia telah berjaya memesongkan aqidah kita. Maka kita berjalan pula dimuka bumi Allah ini dan menceritakan pengalaman kita tadi, dan ada pula hamba Allah memasukkannya kedalam Internet. Kesimpulannya, janganlah percayakan surat tersebut dan selagi ada umat yang percayakannya maka ianya tetap akan beredar hingga bila-bila, kerana seingat saya, surat ini telah beredar sejak saya disekolah rendah lagi dan mungkin bermula berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Dari penerangan diatas jelaslah mempercayai surat wasiat tersebut adalah haram.
Allahuaklam.

Beberapa masalah Jamak

Soalan 1
Uztaz, Saya dimaklumkan selain Solat Jamak Musafir terdapat satu lagi solat jamak yang dinamakan Solat Jamak Tempatan atau Suriya. Bolehkah uztaz terangkan berkenaan dengan Solat Jamak Tempatan ini ?

Pendapat yang kuat menyatakan bahawa orang yang sakit/uzur juga diharuskan mengerjakan sembahyang jamak. Contohnya orang lumpuh yang perlu diusung untuk berwuduk. Selain dari itu, terdapat juga pendapat yang lemah yang mengharuskan jamak ketika hujan lebat dimana dikhuatiri jika dinanti waktu seterusnya akan mendatangkan mudarat. Misalnya banjir dan sebagainya.

Soalan 2
Kami (pelajar di Jepun) selalu menghadapi masalah untuk menunaikan sembahyang Asar pada musim tertentu kerana biasanya berlaku pertindihan waktu sembahyang Asar dengan waktu kuliah.Masalah ini timbul bila waktu sembahyang Asar habis sebelum kuliah selesai.Untuk menyesaikan masalah ini(dengan menggunakan alasan darurat) pelajar yang beragama Islam di sini menjamakkan sahaja (bukan mengqasarkan) dengan Jama' Takdim kerana kami rasa ini lebih baik daripada mengqadakkan sembahyang. Adakah sembahyang Jama'(bukan Qasar) hanya diharuskan kepada orang yang musafir sahaja dan tidak kepada keadaan orang yang dalam keadaan darurat

Sembahyang Jama' untuk bukan musafir hanya diharuskan kepada orang yang uzur yang tidak mampu untuk berusaha menunaikan solat tamam seperti jawapan kepada soalan diatas. Hanya pendapat yang lemah sahaja mengharuskan jama' kerana darurat. Terdapat juga pendapat yang menyatakan perlu bersembahyang secara isyarat untuk menghormati waktu dan mengqadho'nya apabila dalam keadaan selesa, (pendapat ini berasaskan dari ayat 103 - Surah AnNisa') tetapi panel ustaz berpendapat cara ini hanya jika tiada ruang untuk usaha kita. Oleh kerana saudara sudah dikira bermukim, maka tidak boleh lagi dikerjakan sembahyang jamak. Setiap solat fardu wajib dikerjakan dalam waktu yang ditentukan iaitu tidak jamak dan tidak juga qadho'. Saudara masih boleh berusaha dan perlu mencari cara yang sesuai untuk menunaikan solat tersebut. Misalnya mencari tempat yang sesuai walaupun tidak selesa. Cukup sekadar bentangan sejadah. Tentunya tiada halangan untuk keluar selama lima atau sepuluh minit dari kuliah saudara. InsyaAllah kerana solat ini tadi, lima sepuluh minit yang kita tinggalkan kuliah itu akan diganti dengan ilmu yang lebih berganda-ganda oleh Allah yang Maha Mengetahui.

Soalan 3
Saya sedang berkurus di Vienna selama 4 bulan. Kadang-kadang saya keluar dari Vienna tidak sampai 2 marhalah (90 km) menaiki kenderaan awam.Bolehkah saya mengerjakan sembahyang Jamak&Qasar di rumah(Vienna).

Tidak boleh. Saudara telah dikira bermukim disana dan perjalanan saudara tidak sampai dua marhalah. Sila lihat jawapan untuk soalan diatas.

Harta Pusaka

Jika seorang ibu meninggal dunia dan meninggalkan sedikit harta pencariannya tunai sebanyak RM10,000 dan barang emas bernilai RM8,000. Si mati meninggalkan seorang suami dan 7 orang anak (6 perempuan di mana 4 drpnya telah berumahtangga dan seorang anak lelaki yang juga sudah berumahtangga). Si mati masih belum sempat menunaikan rukun Islam yang ke lima yang mana semasa hanyatnya bercadang untuk berbuat demikian. Untuk pengetahuan ustaz tidak seorang pun di kalangan ahli keluarga yang masih hidup menunaikan fardu haji lagi kerana tidak berkemampuan.

Soalan saya, bagaimanakah caranya untuk menguruskan harta yang ditinggalkan oleh si mati itu mengikut syarak tanpa perlu merujuk kepada pihak berwajib memandangkan harta yang ditinggalkan tidaklah seberapa.

Cara terbaik menguruskan harta Ibu yang meninggal dunia ialah dengan membelanjakannya kejalan Allah. Pertama, pastikan segala hutang Allahyarham telah berbayar. Kemudiannya, upahkan haji untuknya, memandangkan Allahyarham ketika hidupnya mempunyai kemampuan untuk menunaikan haji. Selebihnya belanjakanlah untuk amal jariah dengan diniatkan pahalanya untuk Allahyarham. Binaan seperti masjid, surau, perigi dan sebagainya, akan memberikan pahala yang berpanjangan kepada rohnya selagi ianya dimanfaatkan oleh orang ramai. Adapun dari segi far'aid, saudara perlu perlu menemui seorang yang ahli dalam hal ini memandangkan ianya sukar diterangkan dihalaman ini. Pembahagiannya perlu diagihkan kepada beberapa golongan yang berhak, dimana diantaranya adalah anak-anak dan suaminya.

Pakaian alas solat

Setahu saya jika kita bersolat, pakaian kita tidak boleh menjadi alas kepada anggota-anggota badan spt tangan dan tapak kaki? (jika betul). Bagaimana pula dengan tapak kaki untuk kaum wanita yang sewajibnya melanuhkan telekung solat mereka yang nampaknya menjadi alas keseluruhan tapak kaki ketika bersolat. Sah atau tidak solatnya? Tolong ustaz jelaskan.

Solatnya sah, kecuali sekiranya sujudnya terhalang. ( Dahi terhalang dari mengenai tempat sujud walaupun oleh sehelai rambut).

Solat sunat nikah?

Bilakah waktu yang paling afdal untuk kita laksanakan solat sunat nikah dan bolehkah saya melaksanakan secara jemaah dengan bakal pengantin saya? Selain itu adakah solat lain atau perkara lain yang dituntut oleh Islam terhadap pengatin baru ?

Tidak ada solat sunat khusus untuk nikah. Cuma yang dianjurkan adalah sujud syukur setelah selesai upacara akad niqah tersebut. Untuk itu, kita boleh mengerjakan sunat mutlak dua rakaat diikuti dengan sujud syukur. Perkara lain yang dituntut keatas pengantin baru adalah untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama yang cukup (seperti adab pergaulan suami isteri ) untuk menjadi pedoman dalam berumahtangga.

Solat sunat di Masjid

Seringkali bila saya sampai ke masjid, azan telah habis dilaungkan. Pertanyaan saya sembahyang sunat manakah yang patut saya lakukan samada sunat Tahyatul Masjid atau sunat Kabliyatan ?

Sekiranya waktu sembahyang tersebut mempunyai sunat qabliyah (Isya', Zuhur, Subuh, Asar) maka hendaklah dikerjakan solat sunat qabliyah tersebut, tetapi untuk waktu yang tidak mempunyai sunat qabliyah maka Tahyatul masjid adalah lebih utama.

Solat sunat berjamaah

Bolehkah saya sembahyang sunat (taubat,tahjud,nikah dan lain-lain) secara berjemaah dan jika dibolehkan adakah kita perlu membaca bacaan dalam sembahyang secara senyap atau kuat ?


Boleh. Boleh dibaca dengan suara yang kuat.

Kifarah sumpah/nazar

Salah satu kifarah sumpah atau nazar ialah memberi makan kepada 10 orang fakir miskin. Kemusykilan saya ialah (i) boleh atau tidak kita gantikan harga makanan untuk 10 orang itu kepada bentuk wang, (ii) Andaikata jawapannya boleh, wang itu harus diberi kepada 10 orang fakir miskin atau ada keharusan hukum dibolehkan untuk diberikan kesemua jumlah wang itu kepada seorang fakir miskin sahaja.

Boleh digantikan dengan wang yang senilai dengan harga makanan tersebut. Jika dilihat pada hukumnya, ianya berdasarkan bilangan (10 orang) dan bukan jumlah (10 kali makan). Maka saudara perlu memberikannya kepada 10 orang.

Fara'id harta Pusaka

Bapa saya telah meninggal dunia pada tahun 1984 dan diikuti oleh ibu saya pada tahun 1986. Saya adalah anak yang bongsu dan mempunyai dua abang dan tiga kakak. Sepeninggalan ibu saya pada tahun 1986, kakak-kakak saya dengan kerjasama emak saudara angkat (adik angkat kepada ibu saya) dan seorang sepupu perempuan telah berpakat dan membahagi-bahagikan barang-barang kemas dan wang tunai simpanan ibu saya diantara mereka sehari-dua selepas ibu saya dikebumikan. Perkara ini telah dilakukan oleh mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran saya dan abang-abang saya.(Tentang pengetahuan abang-abang saya, saya masih ragu-ragu lagi tetapi untuk masa ini saya terpaksa mempercayai mereka). Tidak beberapa lama kemudian disatu mesyuarat keluarga saya telah bangkitkan perkara barang-barang kemas dan wang simpanan ibu saya. Satu pertengkaran besar telah meletus dan kakak-kakak saya tidak mengaku mengambil barang-barang dan wang tersebut. Untuk memendikkan cerita saya telah mendapat nasihat daripada seorang Mufti Negeri, Imam Besar Masjid dan Jabatan Ugama yang mana mereka telah memberikan pandangan mereka mengenai Farait dan juga menasihati saya jika setelah berbincang bersama abang-abang dan kakak-kakak saya tidak memberi jalan penyelesaian, saya boleh membawa kes ini ke Mahkamah Syari'ah. Setelah cuba mencari penyelesaian secara berbincang saya telah mengalami kebuntuan dan membuat keputusan untuk membawa kes ke Mahkamah Syari'ah. Secara terakhir sebelum saya bawa kes ini kemahkamah, saya telah memberi peluang kepada semua abang-abang dan kakak-kakak saya untuk memikirkan padahnya jika kes ini dibawa kemahkamah. Tidak beberapa lama kemudian saya telah dipujuk oleh abang-abang saya supaya kes ini tidak dibawa kemahkamah. Alasannya ialah nanti nama baik ibu/bapa saya akan tercemar. Pada mulanya saya berkeras tetapi setelah dipujuk beberapa kali oleh abang-abang saya, saya pun bersetuju untuk tidak membawa kes ini kemahkamah. Tetapi sekarang saya hendak bawa kes ini kemahkamah. Soalan saya ialah: bolehkah lagi saya bawa kes ini kemahkamah setelah kembalinya ke Rahmatullah ibu saya selama sepuluh (10) tahun yang lalu dan adakah 'Statute of Limitation' seperti diamalkan dikes-kes sivil digunakan disini? Apakah pandangan dan pendapat Para Alim Ulamak terhadap kes saya ini? Harap Ustaz dapat menjawapnya.

Dalam Islam saudara berhak membuat tuntutan walaupun berapa tahun sekalipun peristiwa itu telah berlalu.
Walaubagaimanapun, pihak mahkamah akan memerlukan bukti-bukti yang kukuh sebelum membuat apa-apa keputusan.

Antaranya adalah:

  Bukti harta yang telah dibahagikan itu ujud, dan dengan jumlahnya sekali. Misalnya jika barang kemas, apa jenisnya, gelang ke, rantai ke atau sebagainya, dan nilainya. Sekiranya wang simpanan, perlu diketahui jumlahnya.

  Bukti bahawa harta tersebut adalah hak mutlak simati, bukan gadaian dan pinjaman, hutang dan sebagainya.

  Bukti agihan telah dibuat dengan tidak sah iaitu tidak disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa.
Dari keterangan itu maka eloklah difikirkan masak-masak samada berbaloi atau tidak perkara ini dibawa kemahkamah. Segala kos yang tidak sedikit akan terpaksa ditanggung. Hubungan kekeluargaan juga akan retak.
Setiap makhluk telah ditentukan Allah s.w.t. rezeki mereka, maka yang tidak kita dapat bukanlah rezeki kita walaupun pada dasarnya adalah hak kita. Dan hak yang kita tidak dapat didunia ini tentunya ada balasan setimpal diakhirat nanti.



Umrah atau Haji?

Manakahkah yang lebih afdal dilakukan, mengerjakan umrah dahulu kemudiannya haji ataupun mengerjakan haji dahulu kemudiannya umrah?

Haji adalah wajib dan umrah wajib sudah termasuk dalam haji. Mengerjakan haji adalah perlu diutamakan terlebih dahulu kerana ianya adalah salah satu dari Rukun Islam. Walaubagaimanapun jika berkemampuan, tidak menjadi kesalahan untuk mengerjakan umrah terlebih dahulu dengan niat untuk mengerjakan haji kemudiannya atau sementara menunggu giliran untuk menunaikan haji dengan syarat umrah yang dikerjakan tidak mendatangkan mudarat kepada haji yang akan dikerjakan (tidak dapat mengerjakan haji kerana wang yang disimpan telah habis dibelanjakan untuk umrah).



Pelajar berkahwin

Ustaz, saya seorang pelajar tajaan kerajaan yang sedang belajar di luar negara. saya ada dua persoalan mengenai kahwin. sebenarnya, kami pelajar tajaan kerajaan di luar negara tidak digalakkan untuk mendirikan rumahtangga di luar negara. Masalahnya, kami telah cukup umur dan kebanyakkan kami telah mempunyai pasangan pilihan. Apabila ini berlaku ada kalangan kami yang mengambil jalan mudah dengan duduk bersama dan melakukan makhsiat. saya tak ingin berbuat demikian kerana takut akan bala dari Allah s.w.t. Apakah hukum perkara ini? soalan saya yang kedua ialah apakah hukumnya apabila pasangan yang telah mendirikan rumahtangga menggunakan kondom demi menjaga kontrak dengan kerajaan? Terima kasih, ustaz. wassalam.

Hukum pernikahan itu tetap sah sekiranya cukup syarat-syarat nya. Walaubagaimanapun perlu diingat bahawa terdapat perjanjian antara pelajar dan pihak pemberi biasiswa dimana telah dipersetujui dan ditandatangani bersama. Melanggar perjanjian juga dilarang oleh ugama seperti maksud hadith dibawah ini:

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a katanya: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas.

Cuba renongkan secara mendalam dan kaji sebab sebenarnya perkahwinan itu. Apakah cukup umur itu sudah cukup untuk menjustifikasikan perkahwinan tersebut? Atau ianya hanya kerana nafsu sahaja dan ugama dijadikan alasan. Apakah pernah dibayangkan perasaan ibu bapa yang begitu mengharap kejayaan anaknya tiba-tiba berkecai kerana ternyata anaknya tidak menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran. Walaupun kebenaran diberi, ianya mungkin kerana terpaksa, iaitu kerana sayangkan anak atau kerana ugutan anak.

Perjanjian melibatkan orang lain. Kebenaran dan restu ibu bapa juga melibatkan orang lain. Tetapi nafsu dan perasaan adalah hak kita. Mengawal nafsu tidak melibatkan orang lain. Sekiranya benar kita beriman dan ingin mengelak dari bala Allah s.w.t., maka kita perlu kuat menahan nafsu dan keinginan syahwat. Menjadi munafik dan derhaka kepada ibu bapa (termasuk menyusahkan hati mereka) juga akan menjemput bala Allah s.w.t.. Lebih-lebih lagi jika menghasut orang lain (pasangan kita) untuk menjadi munafik dan menderhaka kepada ibu bapanya.

Adalah lebih baik disimpan dulu niat tersebut sehingga habis pembelajaran. Jangan dibandingkan dengan yang lebih lemah imannya dari kita tetapi lihat lah yang lebih baik. Mengapa ada orang yang boleh tidak berkahwin ketika belajar dan juga tidak pernah mengerjakan perbuatan maksiat sedangkan kita terlalu lemah dengan godaan syaitan.

Memakai kondom atau a'zal (menahan mani dari masuk kedalam rahim) adalah harus sekiranya mengandung boleh mendatangkan mudarat syarie kepada wanita tersebut. Menjaga kontrak mungkin tidak boleh digolongkan dalam mudarat syarie. Ia lebih kepada bersubahat melakukan pengkhianatan kepada satu perjanjian.



Solat sunat ketika khutbah Jumaat

Apakah hukumnya bagi orang yang mengerjakan sembahyang sunat ketika khatib sedang membaca khutbah, sedangkan sebelum khatib membaca khutbah, diingatkan oleh bilal barangsiapa yang berkata "DIAM" sekalipun, akan luput pahala sembahyang jumaatnya.

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a katanya: Ketika Nabi s.a.w sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya: "Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatulmasjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah s.a.w bersabda: Bangun dan sembahyanglah!

Dari hadith itu, jelas bahawa sembahyang sunat ketika khatib membaca khutbah tidak meluputkan pahala Jumaat.



Solat Jumaat

Saya adalah seorang penuntut di Korea.....dan masalah saya ialah mengenai sembahyang jumaat. Oleh kerana waktu yang tidak mengizinkan saya tidak berkesempatan untuk solah jumaat di masjid. Saya telah menanyakan ustaz yang kebetulan ade di korea ini..dan beliau telah menjawab mengenai masalah saya. Adakah saya ini di kategorikan sebagai munafik kerana tidak menunaikan solah jumaat 3 kali berturut. Dan semasa saya hendak solah zuhur sebagai ganti jumaatnya, saya difahamkan oleh seorang kawan yang beragama islam tetapi mazhabnya lain, dan bangsa lain mengatakan bahawa sekiranya hendak menunaikan zuhur sebagai ganti jumaat , beliau difahamkan tidak boleh berjemaah. Jadi kami hanya solah bersendirian.

Sila rujuk siri 2. Sekiranya tidak menepati syarat-syarat wajibnya solat Jumaat, maka tidak dikira munafik.

Memang ada pendapat yang mengatakan begitu, tetapi jika Jumaat tidak wajib, maka tiada salahnya mengerjakan Zuhur secara berjemaah. Cuma ada satu pendapat yang solat zuhur itu perlu dilambatlah sedikit selepas masuk waktu untuk menghormati waktu khutbah.

Saya ingin merujuk kembali mengenai Solat Jumaat pada Siri 2 lalu. Apakah perlu bagi pelajar tersebut mengerjakan pula Solat Zuhur jika dia turut sama mengikuti Solat Jumaat tersebut.

Perlu dikerjakan sembahyang zuhur itu kerana fardunya tidak gugur mengikut Mazhab Syafie.

Walaubagaimanapun sekiranya beliau bertaklik untuk menuruti (dengan ilmu dan bukan semata-mata ikutan tanpa pengetahuan) mazhab lain yang tidak menentukan bilangan cukup untuk Solat Jumaat, maka beliau tidak perlu mengerjakan sembahyang zuhur lagi. Kita digalakkan bertaklik mengikuti mazhab anak tempatan ketika bermusafir dengan syarat kita tahu apa yang kita lakukan itu mengikut cara dan kaifayat yang sebetulnya mengikut mazhab mereka. Imam Syafie pernah mengimamkan sembahyang subuh di Baghdad yang penduduknya bermazhab Hanafi tanpa membaca qunut. Apabila ditanya oleh makmum mengapa beliau tidak membaca qunut yang menjadi sunat muakad di dalam mazhabnya, maka jawab Imam Syafie, beliau menghormati makmum yang kebanyakan bermazhab Hanafi.



Solat dilaluan

Apakah hukumnya bagi mereka yang bersembahyang samada solat sunat atau solat fardu di laluan orang, contohnya di hadapan pintu.

Sah dari segi hukum tetapi tidak baik dari segi akhlak. Walaubagaimanapun bersembahyang ditempat yang pasti dilintasi orang adalah dilarang sebagaimana hadith berikut yang menyebut:

Diriwayatkan daripada Abu Juhaim r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sekiranya orang yang melintasi di hadapan orang sembahyang itu tahu betapa besar dosanya nescaya lebih baik dia berhenti selama 40 dari melintas di hadapan orang sembahyang. Abu An-Nadri berkata: Aku tidak pasti adakah baginda mengatakan 40 hari, 40 bulan atau tahun.

Dari itu untuk mengelakkan dari mendatangkan dosa kepada orang yang melintas, maka janganlah bersembahyang ditempat laluan orang.



Solat dengan sarung

Kebiasannya, umat Islam di Malaysia gemar bersembahyang dengan memakai kain sarong, maka apabila sampai ketika melakukan sujud, kadang-kadang kain sarong yang dipakai terselak (akibat tiupan angin) hingga menampakkan bahagian pelipat/belakang lutut, adakah sembahyangnya masih sah atau di kira batal.

Sah sekiranya sipemakai tidak menyedari auratnya terdedah (seperti memakai kain koyak tanpa disedari). Sekiranya orang lain melihat auratnya maka sembahyangnya batal dan orang yang melihat itu wajib memberitahu sipemakai yang sembahyangnya batal. Sekiranya kita syak pula bahawa dengan bentuk badan kita, gemuk dibetis misalnya, akan menyebabkan terdedahnya aurat, maka jauhilah dari memakai sarung.



Pergaulan di pejabat

Ustaz, saya mempunyai masalah untuk menegur rakan sepejabat saya yang tidak menjaga adab sopan pergaulan antara lelaki dan perempuan. Mereka bukanlah bercinta tetapi mereka sering bergurau perkara-perkara lucah, bersentuh-sentuh yang 'berlebihan'. Seperkara lagi mengenai rakan-rakan sepejabat yang tidak solat. Bagaimana pula pendekatan yang terbaik untuk mengajak mereka pergi ke surau dan bersembahyang.

Harap ustaz dapat berikan panduan, apakah langkah yang berkesan dapat saya lakukan kerana disebabkan perkara ini, saya berasa cukup tidak tenang di tempat kerja.

Islam telah menggariskan tatalaku pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Terdapat batas-batas yang perlu dijaga. Bergurau secara berlebihan boleh membawa kepada fitnah. Bergurau mengenai perkara-perkara lucah dan sentuhan berlebihan boleh digolongkan dalam kategori mukaddimah zina.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Israa' Ayat 32 : "Dan jangan kamu hampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."

Dari ayat itu, menjadi tangungjawab kepada kita untuk mencegah mungkar.

Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka dia hendaklah menegah kemungkaran itu dengan tangannya (iaitu kuasanya). Jika tidak mampu, hendaklah ditegah dengan lidahnya. Kemudian kalau tidak mampu juga, hendaklah ditegah dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman.

Kembali kepada soalan ini, apa yang boleh dibuat ialah sekiranya kita mempunyai kuasa dalam pejabat itu, maka kita boleh mengadakan peraturan kerja yang mendatangkan perasaan malu sekiranya mereka membuat perkara-perkara melampaui batas antara lelaki dan perempuan. Misalnya kawasan kerja berasingan, poster-poster peringatan (contohnya ayat diatas), menganjurkan ceramah-ceramah ugama oleh ustaz-ustaz yang terkenal dengan kehadiran yang diwajibkan dan sebagainya.

Sekiranya kita tidak mempunyai kuasa dalam pejabat itu cubalah nasihatkan mereka secara lembut, supaya tidak melakukan perkara sumbang itu lagi. Kadang-kadang mereka ini lupa bahawa apa yang dilakukan itu bertentangan dengan kehendak ugama. Ini boleh disebabkan oleh godaan syaitan yang mengubah sedikit demi sedikit kelakuan mereka tanpa mereka sedari. Adalah tanggungjawab kita yang sedar ini untuk menegur mereka. Teguran ini akan menyedarkan mereka hendaknya dan kembali kepangkal jalan sebelum terlambat iaitu sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 7, yang bermaksud:

(Dan kerana keingkaran mereka itu), Allah s.w.t. mematerikan hati hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada penutupnya; dan bagi mereka disediakan azab seksa yang amat besar.

Ketika itu tiada lagi daya kita kecuali dengan kehendak Allah s.w.t.

Sekiranya segalanya masih tidak berhasil, maka langkah seterusnya ialah berdoa kepada Allah minta diberikan hidayah kepada mereka agar sedar dan meninggalkan semua perkara tersebut. Kita juga perlu mengawal diri dari terjebak sama dengan perbuatan mereka. Jadikan mereka contoh buruk untuk meneguhkan iman kita. Berdoalah kepada Allah agar dijauhkan kita dari menjadi seperti mereka secara sedar ataupun tidak. Disamping itu jangan berputus asa dari berdakwah kepada mereka, intailah peluang yang diberikan Allah untuk kita memperbaiki keadaan. Sesungguhnya pertolongan Allah itu datang tanpa disangka-sangka. InsyaAllah.

Dan sekiranya hati terasa terganggu dengan keadaan ini, ingatlah akan maksud Ayat 139 Surah Ali Imran yang bermaksud:

Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.



Jemputan bukan Islam

Saya telah dijemput untuk menghadiri makan tengah hari di rumah seorang penganut Hindu, bolehkah saya makan menggunakan peralatan pinggan/gelas dan makan makanan yang didakwanya halal?

Masyarakat Malaysia sekarang ini telah menjadi prihatin terhadap kehendak dan pantang masyarakat lain. Sebagai contoh masyarakat Melayu akan masak lauk ayam tambahan kerana tahu antara jemputan mereka ada yang berugama hindu yang tidak boleh makan daging lembu. Dari itu, mengunjungi rumah kawan yang tidak berugama Islam sebagai tanda menghormati kawan dan tanpa niat mengikhtiraf ugama mereka adalah harus. Dengan keperihatinan masyarakat Malaysia, mungkin kawan anda telah meminta orang Islam menyediakan dan menghidangkan makanan (caterer) untuk anda. Jika tidak, berterus teranglah dengan beliau dan makan hanya makanan yang tidak mendatangkan syak seperti kacang, air kotak dan sebagainya. Diharapkan mereka faham kehendak ugama kita sebagaimana perlunya kita memahami kehendak ugama mereka.

B atau V?

Bagaimanakah sebutan huruf BA yang betul.Sejak kebelakangan ini saya ada mendengar sebutan huruf huruf BA yang betul ialah dengan sebutan huruf V Bermakna bacaan BISMILLAH ialah VISMILLAH.Wujudkah bacaan seperti ini.

Jika mengikut cara bacaaan Hafs, sebutan huruf ba' yang dibaris diatas adalah "ba" dan bukannya "va". Jika dilihat dari segi makhrajnya, huruf ba' adalah jenis huruf bibir yang mana menyebutnya memerlukan kedua bibir bertemu. Oleh kerana untuk menyebut "va", kedua bibir tidak bertemu, maka sebutan itu tidak betul. Walaubagaimanapun, tidak diketahui jika terdapat dalam kiraat lain yang membenarkan sebutan ini. Perlu diingat, terdapat 40 kiraat yang diikhtiraf dan 10 darinya diikhtiraf dalam solat. Di Malaysia, bacaan Hafs adalah bacaan yang diterima pakai maka eloklah digunakan hukum bacaan tersebut.



Sutera Tiruan

Adakah haram bagi kaum lelaki memakai kain sutera tiruan?

Tidak. Memakai sutera tiruan tidak haram bagi lelaki kecuali dengan niat supaya orang menyangka bahawa ianya asli dan untuk bermegah-megah. Sila rujuk soalan dan jawapan dalam siri 2 terdahulu.



Tali Leher Sutera

Saya bekerja disebuah syarikat swasta di KL. Pemakaian tali leher adalah dimestikan. Kemusykilan saya adalah, apa hukumnya memakai tali leher sutera semasa sembahyang ? Yang kedua, abang saya telah meninggal dunia. Apakah amalan yang saya boleh buat untuk membantu beliau dialam kubur ?

Jika sutera yang dipakai itu adala sutera asli, maka sembahyang itu tidak sah. Lihat jawapan diatas.

Doa dan sedekah adalah antara amalan yang boleh dibuat untuk di sampaikan pahala kepada yang sudah mati. Sedekah yang berupa kebajikan kepada masyarakat adalah diutamakan, seperti membina telaga untuk kegunaan awam dan diniatkan kepada simati, maka selagi orang menggunakannya, pahala tetap akan bertambah kepadanya.

Sabda Rasulallah: Terputus semua amalan anak adam dipintu kubur kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan (ibu bapanya).

Dari itu pilihlah yang mana antara tiga tersebut. Jika abang anda pernah mengajar anda sesuatu ilmu, maka ajarkanlah pula kepada orang lain supaya ianya dimanfaatkan. Sekiranya Allahyarham ada anak, maka didiklah supaya menjadi anak yang soleh. Dan sedekah sebagaimana yang tersebut diatas.



Memakan khinzir

Apakah hukum memakan khinzir dalam keadaan darurat?

Memakan khinzir atau babi hukumnya adalah haram walaupun didalam keadaan darurat. Walaubagaimanapun kelonggaran diberikan sekiranya dengan tidak memakannya, akan membawa maut. Ketika itu memakannya dibolehkan hanyalah sekadar menjaga nyawa dan bukan untuk mengenyangkan.



Zakat pendapatan

Gaji pokok bulanan saya ialah RM2,500 dan gaji bersih (setelah ditolak pelbagai potongan gaji seperti pinjaman rumah dan kenderaan) ialah RM700 sebulan. Dengan wang sebanyak inilah saya gunakan untuk perbelanjaan harian menanggung isteri dan dua orang anak dan kadang-kadang saya terpaksa meminjam dari kawan-kawan untuk mencukupkan perbelanjaan saya. Saya tidak mempunyai simpanan kecuali di KWSP. Adakah saya masih diwajibkan membayar zakat ?
Sekiranya wajib, saya terpaksa meminjam lagi untuk menjelaskan zakat tersebut. Apa pandangan ustaz tenteng masalah saya ini?

Secara kasarnya anda tidaklah wajib membayar zakat. Tetapi sekiranya dilihat kepada panduan berzakat yang dikeluarkan oleh Pusat Zakat Selangor, panduan perbelanjaan yang dibenarkan adalah seperti berikut:

  • Perbelanjaan Diri Sendiri (RM 5,000 setahun)
  • Perbelanjaan Isteri (RM 3,000 setiap isteri setahun)
  • Perbelanjaan Anak (RM 800 setiap anak setahun)
  • Pemberian Wajib (Ibu bapa, nafkah - jumlah sebenar)
  • Lain-lain (KWSP, Tabung Haji dsb - jumlah sebenar)

Walaupun perbelanjaan tersebut hanyalah sebagai panduan tetapi boleh diambil sebagai purata perbelanjaan selesa rakyat Malaysia kelas sederhana. Mungkin ada perkara yang kita terlebih belanja, atau berbelanja melebihi kemampuan kita. Kita biasa lihat ada orang yang gajinya kurang dari satu ribu ringgit tetapi masih mampu menanggung anak yang ramai dan boleh pula menunaikan zakat (ramai kakitangan kerajaan dalam golongan ini). Dan kalau kita fikirkan apabila kita tidak pernah ingkar membayar cukai pendapatan yang diwajibkan oleh kerajaan tetapi tidak dapat membayar zakat yang diwajibkan oleh Allah sedangkan sekiranya kita berzakat, jumlah yang sama akan dikecualikan dari cukai.

Marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki ekonomi kita untuk melengkapkan Islam kita dimana zakat adalah rukun Islam keempat. Berkat nya rezeki bergantung kepada cara kita mendapatkannya dan cara kita membelanjakannya. Berzakat itu mempunyai nikmat tersendiri jika dilakukan dengan ikhlas dan biasanya akan diganti oleh Allah dengan rezeki yang bertambah



Fadilat Tarawih

Saya ingin tahu apakah pahala sembahyang terawih pada setiap hari pada bulan ramadhan.Dan apakah cara hendak memberitahu jiran saya yang membawa perempuan dan tidur di rumahnya.

Sila rujuk Kuliah Ilmu atau ikut link ini.

Nasihatkanlah dengan lembut sekiranya terdaya, atau hubungi pihak berkuasa ugama untuk diambil tindakan.



Masalah menyeru solat

Ustaz saya mempunyai masalah untuk menyakinkan kawan saya betapa pentingnya solat, tetapi pada awalnya mereka menunjukkan tanda-tanda postif, tetapi kemudian harinya pula saya dapati, beliau tidak turun untuk bersolat. Dalam hati saya beliau sengaja mempermain-mainkan solat, adakah benar mereka yang memainkan solat ini Allah s.w.t. akan menyempitkan hidup mereka dan apakah pandangan ustaz mengenai hukum berkat atau tidak berkat hidup orang yang meninggalkan solat. Bagaimana pula hukum orang yang solat tetapi tidak berterusan, contohnya subuh, zohor dan Asar tetapi solat lain dia tidak lakukan bagi mereka cukup dengan solat ini mendekatkan diri mereka dengan Allah s.w.t. dan sekadar memenuhi syarat sebagai umat yang bernama Islam. Adakah mereka ini malas atau sekadar beranggapan pada dasarnya hidup ini hanya berpandukan logik dan tidak perlu fikir banyak-banyak kerana yang penting "ENJOY".... tua baru beramal. Adakah benar Allah s.w.t. menyayangi anak-anak ketika mudanya ia beramal dan amat membenci mereka yang tua baru untuk beramal.

Berdakwah adalah penuh dengan cabaran. Kadang-kadang kita berasa syukur kerana menang tetapi pada ketika lain kita amat kecewa apabila kalah. Tetapi kekecewaan tidak sepatutnya membawa kepada putus asa. Hanya Allah s.w.t. yang memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakinya dan kita hanya disuruh berusaha. Teruskanlah usaha anda dan berdakwahlah secara berhikmah.

Solat memberi kekuatan jiwa kepada pelaku nya. Ketenteraman setiap kali solat yang khusu' dapat membina hati yang kental dan kukuh dari segala masalah. Sekarang ini dengan persekitaran yang amat menekan, solat adalah jalan keluar yang paling berkesan. Mungkin kerana ini lah maka dikatakan meninggalkan solat itu akan menyempitkan hidup atau tidak berkat hidupnya, kerana walaupun zahirnya mewah dan lega namun jiwa rohaninya tertekan dan kosong.

Begitulah juga keadaannya dengan orang yang mendirikan solat secara bermusim. Yang didirikan akan diberikan pahala jika betul syarat-syaratnya dan yang ditinggalkan masih berdosa dan akan tertanggung diatasnya sehinggalah diselesaikan.

Nasihatkanlah mereka dan berdoalah supaya Allah s.w.t. memberikan hidayah kepada mereka dan semuga solat yang dilakukan ini sebagai permulaan kepada solat yang lengkap. Mereka selalunya tidak boleh ditegur secara kasar kerana akan memberontak dan tidak akan mengerjakan solat lansung. Maka gunakanlah hikmah dalam menasihati mereka. Seperti mengajak mereka berjemaah setiap kali kita hendak bersolat. Biar bunyinya seperti bergurau tetapi mungkin suatu hari mereka akan mengikut. Cara ini juga dapat mengingatkan mereka akan waktu solat yang kadang-kadang mereka terlupa.

Ramai yang berhajat untuk beramal ketika tua, masalahnya kita sendiri tidak tahu apakah ada tua untuk kita. Apakah berpadanan untuk enjoy didunia yang sementara ini dengan membayar derita di akhirat yang kekal nanti? Secara logiknya juga, segala yang dilarang oleh ugama itu adalah semua perkara yang memabawa keburukan kepada kita. Minum arak, zina, rasuah dan lain-lain lagi jika bukan ugama yang melarang sekalipun, memang wajar kita tinggalkan. Semua manusia yang berfikiran waras akan bersetuju dengan kenyataan ini. Beramal ketika muda adalah lebih baik kerana kita mempunyai masa yang banyak untuk mengerjakannya dan dengan tenaga yang cukup. Amalan kita juga tidak hanya tertumpu kepada ibadat khusus (sembahyang, puasa dsb.) semata-mata, namun dapat juga kita beramal dalam bidang-bidang yang lain seperti kemasyarakatan, muamalah, dan sebagainya.



Masalah Makanan

Saya ada masalah megenai makanan apa yang halal dimakan. Boleh kita memakan makanan yang pada asalnya halal tetapi dimasak di tempat yang sama dengan makanan yang haram. Contohnya di Mcdonald, di mana burger ikan dan burger-burger yang lain di masak dengan minyak yang sama dan juga di tempat yang sama. Dan bolehkah kita memakan daging yang bukan di sembelih oleh orang Islam, ini kerana saya mendapat tahu yang kita boleh memakan daging yang di sembelih oleh ahli-ahli kitab. Tetapi memandangkan, ahli-ahli kitab pada masa sekarang mengubah kitab mereka mengikut suka mereka, masih bolehkah kita memegang pada hukum ini. Bolehkah kita memakan makanan seperti biskut yang mengandungi bahan-bahan yang tidak halal kerana saya ada terbaca yang kita boleh memakannya kerana ia adalah samar. Dan jika boleh, tolong senarai bahan-bahan yang dianggap tidak halal.

Sila rujuk Siri 3 untuk makanan yang diragui halalnya. Perlu diingat bahawa adalah lebih baik kita tinggalkan yang was-was itu. Sekiranya pasti bahawa minyak gorengan itu telah bercampur najis maka tinggalkanlah kecuali untuk menjaga nyawa. Sila rujuk siri 4 untuk jawapan kepada masalah sembelihan. Memakan benda yang samar hukumnya, dibolehkan, hanya sekiranya tiada pilihan lain dan memakan benda yang hukumnya haram hanya dibolehkan untuk menjaga nyawa.



Sempadan waktu sembahyang

Semasa saya sedang sembahyang Zohor terdengar azan menandakan masuknya waktu Asar. Semasa itu, saya masih lagi didalam rakaat pertama. Adakah sembahyang Zohor saya itu terbatal dan perlukah saya mengulanginya lagi?

Mengikut mazhab Syafie solat itu dikira sah jika dapat lengkap satu rakaat didalam waktunya. Ini berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah yang bermaksud "Barangsiapa mendapatkan satu rakaat dari solat, berarti ia telah mendapatkan keseluruhan solat itu". Maka jika sebelum sujud, solat itu dikira belum lengkap satu rakaat.



Masalah Puasa yang tertinggal

Ustaz, isteri saya masih belum menggantikan puasa pada tahun yang lepas. Masaalahnya, dia sekarang sedang berbadan dua dan tidak dapat berpuasa kerana selalu muntah.

Soalan : Bolehkah dia menggantikan puasa itu selepas dia bersalin ? Yakni mencampurkan puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas dengan puasa yang akan ditinggalkan pada tahun ini ?

Boleh tetapi puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas hendaklah diganti dan juga dikenakan fidyah.

Adakah dia perlu mengandakan hari yang perlu diganti ? Dia masih ada 2 hari yang perlu diganti untuk puasa pada tahun lepas. Jika dia melambatkan gantian sehingga selepas Ramadhan adakah dia perlu mengganti 4 hari puasa untuk dua hari yang ditinggalkan pada tahun lepas.

Tidak, dia hanya perlu menggantikan 2 hari dan membayar fidyah untuk dua hari itu sahaja. Jika dia gagal juga untuk menggantikan puasanya pada tahun itu, maka di perlu menggandakan fidyahnya sahaja iaitu fidyah untuk empat hari dan begitulah seterusnya jika masih gagal sehingga Ramadhan yang berikutnya. Setiap langkahan Ramadan dikenakan fidyah sebanyak jumlah hari yang belum diganti. Fidyah yang dikenakan adalah satu cupak beras untuk satu hari diberikan kepda fakir miskin.

Adakah dia perlu membayar fidyah untuk puasa yang ditinggalkan pada tahun lepas ?

Ya. Sila lihat jawapan diatas.

Apakah fidyah yang perlu dibayar ?

Secupak beras untuk satu hari yang ditinggalkan.

Bagaimana hendak membayar puasa yang telah ditinggalkan, tetapi tidak tahu banyaknya hari yang ditinggalkan sejak beberapa tahun lepas.

Perlu dianggarkan jumlah harinya dan dibuat kiraan seperti dibawah. Dalam membuat anggaran, lebihkanlah supaya yakin bahawa semua puasa yang tertinggal dapat diganti.

Tahun 94 dianggarkan tidak berpuasa selama 10 hari. Tetapi selepas Ramadhan telah diganti sebanyak 3 hari, berbaki sebanyak 7 hari. Ramadhan 95 tertinggal sebanyak 10 hari dan diganti pula sebanyak 5 hari selepas Ramadhan. Ditahun ini kita kena bayar fidyah sebanyak 7 cupak beras diatas 7 hari (tahun 94) yang belum diganti itu. Sehingga Ramadhan 96 kita masih tidak menggantikan puasa tersebut. Maka tahun 96 ini kita kena bayar fidyah sebanyak 12 cupak beras iaitu 2 cupak untuk puasa 94 dan 10 cupak untuk puasa 95. Jumlah puasa yang perlu diganti adalah 12 hari.

Sekiranya kita tertinggal puasa dan tidak pernah menggantikannya seperti berikut:

1994 - tertinggal 15 hari
1995 - tertinggal 20 hari fidyah 94 -- 15 cupak
1996 - tertinggal 20 hari fidyah 94 -- 15 cupak, 95 -- 20 cupak = 35 cupak
1997 - tiada tertinggal puasa, (selepas ramadhan) kena ganti 55 hari dan kena beri fidyah sebanyak 35 cupak (dari diatas) campur 15 cupak (94), 20 cupak (95), 20 cupak (96) = 90 cupak

Zakat

Penjelasan yang mengatakan bahawa wajip bayar zakat walaupun anda tidak berniaga. Saya memerlukan penjelasan.

Zakat pendapatan yang diwajibkan disetengah-setengah negeri adalah berpandukan kepada ijma' ulama' di negeri tersebut. Walaupun pendapatan itu diperolehi bukan dari perniagaan, tetapi pada dasarnya masih terdapat hak untuk ditunaikan zakat diatasnya sama seperti pendapatan dari hasil tanaman dan ternakan. Maka dengan itu negeri-negeri tersebut telah menetapkan satu nisab dimana sekiranya pendapatan seseorang itu setelah ditolak perbelanjaan asas, jumlahnya melebihi nisab, maka wajib keatas mereka mengeluarkan zakat sebanyak 2.5% dari jumlah yang lebih itu.

Sila berhubung dengan Jabatan Ugama dikawasan anda untuk mendapatkan nisab bagi tahun ini.



Pergaulan suami-isteri

Apakah hukum isteri di dalam pantang membantu atau membenarkan suaminya merancap. Adakah haram suami menghisap buah dada isterinya ?

Mengeluarkan mani dengan tangan itu hukumnya haram kecuali dengan tangan isteri.

Menghisap buah dada isteri bukan untuk mengenyangkan perut hukumnya harus. Sering diperkatakan bahawa sekiranya tertelan susu dari buah dada isteri, maka isteri tersebut telah dikira sebagai ibu susuan yang haram keatasnya nikah. Pendapat ini adalah salah kerana ibu susuan ialah seorang wanita yang telah menyusukan seseorang bayi sekurang-kurangnya sebanyak lima kali kenyang.



Tarawih 20 atau 8?

Seorang kawan saya dengar ceramah menyatakan bahawa sembahyang sunat terawih adalah 20 rakaat bukan 8, adakah kah ini benar.

Menurut riwayat ahli hadith, Rasullullah s.a.w. bersembahyang tarawih sebanyak lapan rakaat bersama orang ramai di masjid pada malam ke 23, 25 dan 27. Setelah itu Baginda s.a.w. tidak lagi berjamaah dalam tarawih kerana bimbang ianya menjadi wajid dikemudian hari. Ada sesetengah riwayat pula mengatakan setelah mereka selesai sembahyang di masjid, mereka menyambungnya dirumah pula untuk menjadi 20 rakaat. Pada zaman Sayyidina Omar, beliau telah mengumpulkan jemaah yang bersembahyang bertaburan sendirian di masjid untuk berjemaah dan mengerjakan 20 rakaat. Ketika itu tiada seorangpun sahabat yang membantah, maka di buat kesimpulan bahawa 20 rakaat itu tidak menjadi salah.

Jadi terpulanglah kepada individu untuk memilih samada untuk mendirikannya sebanyak 8 atau 20 rakaat kerana kedua-duanya dibolehkan. Dari segi logik akal memanglah 20 lebih baik, akan tetapi sekiranya dibuat secara tergopoh gapah, maka kesempurnaannya boleh dipersoalkan. Ketidak tepatan tajwid dalam solat boleh membawa kepada dosa.



Memakai rantai.

Assalamualaikum ustaz. Soalan saya ialah, apakah hukum bagi seorang lelaki Islam memakai rantai (tidak kira sama ada ia emas, perak, tali, benang kasar dan lain lain)?

Haram bagi lelaki memakai emas. Bagi benda-benda lain, sekiranya memakai itu untuk meniru perempuan atau meniru pakaian keugamaan ugama lain (seperti gelang yang dipakai oleh Hindu) ianya juga haram, dan sekiranya untuk azimat, ianya syirik.



Hantu Cermin

Saya ada mendengar cerita bahawa HANTU DARA atau setengah orang memanggil HANTU CERMIN sedang hangat diperkatakan sekarang ini. Dan ada pula yang mengiyakan kewujudannya dengan terbuktinya beberapa kematian bunuh yang melibatkan anak-anak dara. Kadangkala cerita-cerita seperti ini mula menakutkan saya dan adik-adik malah kawan-kawan lain turut merasakannya. Soalan saya ialah syirikkah bila kita mempercayainya hingga mengganggu pada perasaan iaitu "takut"..manalah tahu ia menjelma pula di hadapan kita. Terima kasih.

Sejauhmana kebenaran cerita ini, tidaklah dapat kita pastikan, tetapi tidak mustahil ianya benar-benar berlaku. Ilmu sihir dan ilmu hitam memang wujud sejak zaman dahulu lagi. Banyak kisah-kisah nabi yang kita tahu mempunyai elemen-elemen ini yang digunakan oleh pihak kafir untuk menentang para anbiya. Apabila tidak berjaya, maka mereka tuduh pula para anbiyalah yang sebenarnya ahli sihir.

Pun begitu, sebagai umat Islam yang bertekad bahawa tiada sesuatu apapun yang lebih berkuasa dari Allah s.w.t., maka adalah tidak wajar kita mentakuti makhluk ciptaanNya. Aqidah yang kita pegang merupakan suatu yang patut kita kasihi dan sayangi, maka wajarlah kita jaga aqidah itu dengan seberapa cermat yang mungkin.

Walaupun sebagai manusia yang lemah, perasaan takut tidak dapat kita hilangkan begitu saja, namun, perasaan takut ini dapat kita lawan dengan perasaan takut yang lebih kuat. Misalnya, kita takut untuk melompat menyeberangi sebuah parit, tetapi sekiranya kita tidak lompat, ada seekor binatang buas yang akan membaham kita. Oleh kerana perasaan takutkan binatang buas itu lebih kuat, maka kita adapat melupakan takut kita untuk melompat parit tersebut.

Oleh itu, mari lah kita kuatkan takut (takwa) kita kepada Allah s.w.t. supaya hidup kita kembali tenang, dengan hilangnya takut kepada yang selainNya. Sekiranya ditakdirkan kisah ini benar dan ia muncul dihadapan anda, ingatlah bahawa dia juga makhluk dan tiada mampu mengatasi Allah s.w.t.. Berbagai cara telah diajarkan oleh Rasullullah s.a.w. bagaimana untuk menghalau syaitan, seperti membaca ayat kursi dan sebagainya. Yang paling penting ialah keyakinan kepada Allah s.w.t. yang tidak berbelah bagi.
Allahua'lam.



Solat

Buat pengetahuan ustaz ,saya sekarang tengah melanjutkan pelajaran di luar negara... masalah saya ialah berhubung dengan waktu kuliah saya pada semester ini yang menyebabkan saya tidak sempat mengerjakan ibadat solat fardu. Jadi soalan saya ialah adakah cara lain yg terbaik yg boleh saya lakukan bagi mengatasi masalah saya ni selain dari menqadakkan solat fardu itu.?

Solat itu perlu dikerjakan juga pada waktunya. Sila rujuk jawapan siri-siri terdahulu yang telah menjawab tentang persoalan ini.



Maksiat dibulan Ramadhan

Ustaz,saya cuma nak tanya kenapa manusia masih lagi melakukan maksiat dibulan ramadhan sedangkan kita tahu bahawa syaitan telah dikurungkan (diikat). dan bagaimana cara mengatasinya.

Terdapat beberapa pendapat dalam mentafsirkan perkataan 'diikat' diatas. Ada pendapat yang mentafsirkan sebagai kurangnya ruang kearah kejahatan dan ada pendapat yang mengatakan Iblis laknatullah (sumber kejahatan) diikat secara fisikal. Walau apapun, hati-hati manusia yang telah sebati dengan kejahatan tidak perlu bimbingan syaitan untuk melakukan maksiat. Maka kerana itulah masih terdapat manusia yang melakukan maksiat dibulan Ramadhan. Perkara ini dapat diatasi dengan menambahkan ibadat kepada Allah s.w.t. dengan seikhlas-ikhlasnya. Ibadat ini dapat mentarbiyahkan hati untuk menjadi cenderung kepada kebaikan dan benci kepada maksiat.



Saf sembahyang Jemaah

Kebiasaanya pada waktu sembahyang Jumaat jemaah akan melimpah sehingga keluar dari masjid. Masalah saya adakah sah Jumaat seseorang itu jika safnya terputus dari jemaah yang berada di dalam masjid.

Antara syarat-syarat sah jemaah adalah seperti berikut:

  • Tidak berdiri dihadapan imam kecuali ketika bersolat di keliling Kaabah.
  • Mengetahui dengan pasti segala perbuatan imam, samada dengan cara melihat atau mendengar walaupun dengan bantuan orang lain (makmum dihadapannya) kecuali diantara imam dan makmum itu terpisah oleh sungai atau jalan atau jarak yang terlalu jauh.

Oleh itu sekiranya perkara diatas dipenuhi maka tidak jadi halangan bersembahyang diluar masjid sekalipun. Walaubagaimanapun untuk lebih afdal, datanglah awal untuk merebut saf yang paling dekat dengan imam.

Nafkah Batin

Apakah hukum islam atas suami yang tidak memberi nafakah batin kapada isteri yang satu selama lebih lima tahun?

Hukumnya adalah haram dan suami itu berdosa sekiranya dilakukan dengan sengaja. Sekiranya terhalang oleh sebab fizikal, seperti sakit, peperangan dan sebagainya tidaklah berdosa. Isteri itu pula berhak menuntut fasakh dengan mengadu hal kepada pihak kadhi. Tetapi jika terhalang oleh sebab-sebab fizikal tadi maka bersabar adalah lebih baik bagi isteri tersebut



Zihar

Jika kita menziharkan (menyamakan bahagian tubuh isteri dengan ibu) isteri kita dengan ibu maka ia menjadi haram bagi si suami untuk meyentuh isteri... , dan bagaimana pula jika kita menziharkan isteri kita dengan muhrim kita atau orang yang haram dinikahi seperti adik , emak saudara dan lain - lain .

Zihar ialah menyamakan bentuk tubuh isterinya dengan tubuh ibunya. Ini berdasarkan ayat AlQuran surah Al Mujadalah ayat 2 yang bermaksud
"Orang-orang yang menziharkan isteri mereka dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka. Dan sesungguhnya mereka memperkatakan sesuatu yang mungkar dan dusta. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf lagi maha Pengampun."

Setelah diselidiki dari rujukan yang terhad, tidak ditemui nas yang mengatakan zihar juga jatuh keatas muhrim selain ibu. Walaubagaimanapun AnNur akan terus mencari , jika ada, dalam soal ini. Sehingga itu eloklah dijauhkan dari menzihar walaupun bukan dengan ibu kerana tiada faedahnya menyamakan isteri kita dengan orang lain. Orang yang melafazkan zihar, wajib membayar fidyah sama seperti orang yang melakukan persetubuhan disiang hari ramadhan iaitu memerdekakan hamba atau berpuasa dua bulan berturut-turut atau sekiranya tidak mampu, wajib memberi makan kepada 60 orang miskin.



Hudud

Di dalam islam kita di wajibkan memerangi orang kafir jika mereka memusuhi islam .. bagaimana pula dengan keadaan di negara kita ini .. di mana apabila kita ingin melaksanakan hukum hudud dan di tentang oleh golongan bukan islam ... dan secara tak langsung ia merupakan satu penentangan kepada islam ... adakah kita wajib mmerangi mereka supaya patuh kepada undang undang islam ... dan bagaimana pula dengan orang islam sendiri yang menentang dan mengatakan bahawa hukum hudud tidak layak di gunakan pada masa kini dan tak sesuai dengan masyarakat kita yang berbagai kaum ....

Satu persoalan yang perlu ditanya terlebih dahulu adalah apakah orang kafir berkenaan telah diberikan penerangan secukupnya berkenaan hukum hudud. Sekiranya setelah penerangan sejelasnya diberikan tetapi mereka masih berdegil, maka kita wajib memerangi mereka. Sekiranya penentangan mereka itu tanpa ilmu , maka adalah tidak wajar untuk kita memerangi mereka sebaliknya wajib kita memberikan penerangan secukupnya supaya mereka jelas tentang hudud tersebut.

Seperti keadaan diatas, sekiranya muslim ini menentang kerana kejahilan atau tidak sampai ilmu kepadanya, maka kita wajib menjelaskan kepada mereka, akan tetapi jika dengan ilmu dia menentang, maka beliau telah dikira murtad.



Rukun Islam

Rukun - rukun seperti rukun solat/puasa/zakat dan haji banyak kita boleh perolehi maklumatnya,tetapi susah nak cari secara detail mengenai syahadah.
Dengan itu saya berharap ustaz dapat menerangkan lebih detail. minta maaf atas susunan bahasa yang tidak baik

Syahadah adalah rukun Islam pertama yang terbahagi kepada dua bahagian iaitu penyaksian kepada Allah s.w.t. dan pengikhtirafan kerasulan Muhammad Rasullullah s.a.w.. Secara ringkas, penyaksian kepada Allah s.w.t. terbahagi kepada dua pula iaitu uluhiyah dan rububiyah. Uluhiyah ialah menetapkan pendirian atau aqidah bahawa Allah s.w.t. yang mencipta semua makhluk yangmana seluruh makhluk adalah dibawah kekuasaan Allah s.w.t. dan seluruh ciptaanNya itu adalah urusanNya.

Rububiyah pula ialah mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t.. Kita menafikan tuhan lain selain Allah s.w.t.. Disini boleh dilihat kepada susunan ayat 'La ilah' iaitu 'tiada tuhan yang berhak disembah' diletakkan diawal syahadah dimana penafian ini dianggap mengosongkan hati dari segala macam 'ilah' sebelum 'illalLah' iaitu 'melainkan Allah' atau pengisian dengan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.. Dengan itu kita menetapkan pendirian dan aqidah bahawa hanya Allah s.w.t. yang berhak disembah, hanya Allah s.w.t. yang berhak kita minta sesuatu, bertawakkal dan tiada kuasa yang mengatasi kuasa Allah s.w.t..

Pengikhtirafan Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasullullah pula menolak ideologi-ideologi bawaan manusia lain selain daripadanya. Menolak hadith menjadikan kita menolak Rasul dan termasuk dalam golongan yang murtad kerana syahadahnya terbatal. Syahadah adalah suatu tajuk yang amat menarik untuk dipelajari dan didalami, maka ingin kami syorkan supaya anda mendapatkan guru yang boleh anda berinteraksi secara terus untuk bertanyakan hal ini supaya dapat difahami dengan lebih mudah, jelas dan lebih tepat.



Mandi wajib

Kalau mandi wajib perlu tak masuk air dalam teliga

Wajib didalam cuping sahaja bukan dalam lubang telinga dan cukup diratakan dengan jari tanpa perlu mencurah air kedalam telinga itu. Sebagaimana lubang hidung, air wajib diratakan dibahagian luar/zahir sahaja.



Al-Quran dan wuduk

Budak yang belum baligh boleh tak pegang quran tanpa wuduk

Budak yang belum baligh tidak dita'lif (beban)kan dengan dosa. Maka tidak ada dosa dianatas mereka. Walaubagaimanapun adalah menjadai tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak tersebut untuk menghormati Al-Quran sesuai dengan martabatnya sebagai kalam Allah s.w.t.. Begitu juga ulamak dahulu telah mengasingkan juz Amma untuk dibukukan menjadi mukaddam untuk memudahkan anak-anak belajar Al-Quran tanpa perlu membawa Al-Quran yang sebenar. Pun begitu orang tua dahulu amat menitikberatkan kemuliaan Mukaddam untuk melatih anak-anak untuk menghormati Al-Quran.



Haid

Berapakah jangka masa haid perlu berhenti untuk saya mandi wajib

Sebaik sahaja diyakini bahawa haid itu sudah kering, maka melambatkan mandi adalah berdosa. Jangkamasa yang sebenarnya adalah bergantung kepada setiap individu dimana lain orang lain jangkamasanya.



Sumpah

Suami saya sering apabila ingin saya membuat atau meninggalkan sesuatu perbuatan, selalu menyuruh saya bersumpah untuk memlakukannya atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Contoh, "sumpah awak tak buat lagi. Cakap sumpah demi Allah awak tak buat lagi" "Ok..ok bang, saya sumpah demi Allah." Ustaz, apakah hukum dan pendapat ustaz tentang perbuatan suami saya ini. Dan hukum sumpah saya. Setahu saya sumpah mesti dilaksanakan. Tolong terangkan ustaz.

Perbuatan bersumpah adalah tidak digalakkan dalam Islam terutamanya yang menggunakan nama Allah s.w.t. (demi Allah, Wallah, Watallah, wabillah dsb) dan juga Al-Quran.
Dalam kes anda, mungkin suami anda ingin memastikan yang anda melakukan sesuatu yang baik dan untuk meyakinkannya maka beliau meminta anda bersumpah. Contohnya untuk memastikan anda berhenti mengambil duitnya tanpa minta (contoh sahaja), maka disuruhnya anda bersumpah tidak akan melakukannya lagi. Sumpah itu adalah jatuh kepada anda dan sekiranya dilanggar, maka wajib keatas anda untuk membayar kifarah sumpah. Sekiranya perkara yang disuruh bersumpah oleh suami anda itu adalah perkara tidak baik (maksiat kepada Allah), maka nasihatkanlah dia kerana sumpah seperti juga nazar, bukanlah perkara gurauan dalam Islam. Cuba elakkan dengan cara baik dari melakukan sumpah yang begitu.



Akikah

Saya ni anak dah tiga , seorang perempuan dua lelaki, akikah seorang pun belum, yang tua dah berumur 6 tahun. soalan saya jika saya nak buat akikah keatas anak anak saya bolehkah saya mengupah orang memasakan dan menghidangkan, saya cuma bayar upahnya. Saya bercadang untuk membahagikan kerumah anak yatim, bagaimana caranya, dan apakah hukumnya di atas kelewatan akikah yang menyatakan 7 hari, 40hari dan ada juga buku-buku agama yang saya baca mengatakan bila-bila masa saja sebelum baligh.

Hukum aqiqah adalah sunat bagi yang mampu. Menjalankan ibadat aqiqah seeloknya dilakukan selepas tujuh hari anak tersebut lahir, sebagaimana sabda Rasullullah SAW "Anak yang baru lahir menjadi terhutang sehingga disembelihkan baginya aqiqah pada hari ketujuh dari hari lahirnya, dan di hari itu juga, hendaklah dicukur rambutnya dan diberi nama." Riwayat Ahmad dan Tarmidzi. Walaubagaimanapun, ulamak berpendapat bahawa aqiqah boleh juga ditunaikan selagi anak itu belum baligh. (Tidak ditemui pendapat yang mengatakan 40 hari.) Ibadat aqiqah itu letaknya pada penyembelihan yang diniatkan aqiqah untuk anak tersebut kerana Allah. Maka yang penting di sini adalah ketika penyembelihan tersebut, tukang sembelih (biasanya diwakilkan oleh ibubapa anak) meniatkan bahwa sembelihan itu adalah untuk tujuan aqiqah anak yang bernama sekian-sekian. Setelah itu tidak menjadi masalah jika daging tersebut hendak diupah kepada orang lain (yang boleh dipercayai) untuk memasak dan mengagihkan daging tersebut. Beberapa perkara yang perlu diberi perhatian berkenaan dengan aqiqah antaranya :

  • mengagihkan daging yang telah dimasak bukan daging mentah
  • mengagihkan hanya kepada orang Islam
  • mengurangkan potongan tulang seberapa mungkin dengan harapan supaya kuat dan tegap tulang anak tersebut..
  • memasak dengan melebihkan manis dengan harapan supaya manis akhlak anak tersebut.
  • menjaga supaya lebihan sembelihan tersebut tidak dimakan binatang.

Aqiqah untuk anak lelaki ialah dua ekor kambing dan anak perempuan seekor kambing. Seekor lembu boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian (sama dengan tujuh ekor kambing). Dari itu pastikanlah bahawa orang yang hendak diupah itu faham akan kehendak-keheandak ibadat aqiqah itu.



Dam dalam umrah

Alhamdulillah. saya telah dapat menyempurnakan ibadat umrah bersame keluarga. Kemusykilannye ketike saya selesai melakukan ibadat tawaf saya terus melakukan sembahyang sunat di Hijir Ismail dan kemudiaanye pergi ke Mutazam untuk meminta doa (tempat mutajab). Masalahnya saya terpegang kelambu Kaabah yang wangi kerana terdapat winyak wangi.Sedangkan dalam keadaan ihram kita tidak boleh berwangi-wangian. Saya telah membayar dam sebanyak 8 riyal saudi.

Memakai bau-bauan ketika dalam ihram adalah salah satu perkara yang dilarang dalam ihram yang membawa kepada dam sekiranya dilakukan juga. Dam yang dikenakan adalah dam tahyir dan takdir iaitu boleh dipilih dari salah satu barang yang ditetapkan seperti berikut:

1.    menyembelih seekor kambing

2.    bersedekah kepada enam fakir miskin sebanyak dua cupak setiap seorang.

3.    berpuasa tiga hari.

(perkara diatas perlu dilakukan ditanah suci)

Ada pendapat yang menyatakan sekiranya tidak sengaja atau lupa dalam melakukan perkara mewah, seperti memakai pakaian berjahit, memakai bauan, menutup kapala dan sebagainya, dam tidak dikenakan. Tetapi sekiranya terlupa atau tidak sengaja dalam melakukan kemusnahan seperti mencabut bulu, rambut, memburu binatang, mencabut tumbuhan dan sebagainya, dam perlu juga dibayar. Jika mengikut pendapat ini saudara tidak dikenakan dam kerana tidak sengaja.



Masalah dalam tawaf

Apa hukumnya bercakap kepada seorang kawan ketika sedang melakukan tawaf di Kaabah... Selain itu, apa hukumnya mencium kelambu kaabah yang wangi di muntazam setelah selesai melakukan tawaf rukun dalam keadaan ihram.

Salah satu dari syarat-syarat tawaf adalah dengan niat ibadat setiap masa dalam tawaf itu.Tidak sah sekiranya betujuan mencari kawan atau sebagainya. Dalam masalah yang ditanya, sekiranya bercakap itu tidak mengubah niat tawaf tersebut dan tidak membuat diri kita hilang dari ibadah itu maka tidak mengapa, contohnya menjawab salam. Tetapi sekiranya sebaliknya, bercakap itu menghilangkan kekusyukan kita atau menghilangkan tumpuan kita kepada ibadat tawaf itu, maka pusingan tawaf tersebut batal dan perlu diulang pusingan tersebut (perlu ditambah jumlah pusingan).



Menghisap zakar Suami

Apakah hukum isteri menghisap zakar suami samada isteri dalam haid ataupun tidak.

Tiada hukum khusus dalam memperkatakan hal ini. Imam Malik berpendapat tiada salahnya jika dengan berbuat begitu dapat memuaskan nafsu suami. Ini kerana pada pendapat beliau tujuan bersetubuh itu adalah untuk memuaskan nafsu secara halal. Walaupun begitu dari segi akhlaknya, agak tidak kena kerana disamping mejadi alat kelamin, zakar juga adalah tempat keluar najis yang menjijikkan. Sedang mulut adalah salah satu bahagian suci yang perlu dijaga kebersihannya. Memasukkan sesuatu yang jijik kedalam sesuatu yang suci secara lansung mencemar kesucian tersebut. Tambahan lagi sekiranya yang jijik itu kepunyaan orang lain. Ini tidak bertepatan dengan konsep toharah dalam Islam. Sebagai suami, perlulah ada rasa timbangrasa dan kepekaan dalam menjaga maruah isteri. Banyak perlakuan sex yang secara lansung dan tidak lansung menjatuhkan maruah isteri seolah-olah mereka hanyalah seperti satu alat. Perlakuan sex yang kebanyakannya berasal dari barat tidaklah bertepatan dengan adat dan budaya kita. Jauhilah sebolehnya supaya keharmonian rumahtangga dapat dijaga dengan baik.



Kulit dibawa sembahyang

Apa pandangan ustaz mengenai dompet dan tali pinggang kulit di pakai semasa sembahyang. Apakah hukumnya.

Semua kulit kecuali yang daripada kulit khinzir dan anjing, adalah bersih setelah dibasuh sehingga hilang 'ain'nya. Oleh yang demikian, hukum memakainya adalah harus.



Alkohol

Benarkah alkohol yg terdapat didalam minyak wangi tidak boleh dibawa semasa sembahyang? dan saya ingin tahu alkohol diperbuat dari apa bahan asasnya. Sebab ada yg berpendapat alkohol yg terdapat didalam minyak wangi boleh di bawa semasa sembahyang.

Terdapat khilaf dalam hal ini. Setengah berpendapat bahawa semua yang mempunyai unsur arak (alkohol) adalah haram, samada di minum atau dipakai. Setengah yang lain mengkatogerikan arak hanya kepada minuman yang memabukkan. Dan kerana minyak wangi bukan pada adatnya dibuat minuman, maka ianya tidak haram. Lebih lebih lagi dengan kemajuan sains yang mendapati bahawa semua tumbuhan mempunyai unsur alkohol seperti etanol metanol dan sebagainya. Sedangkan kebanyakan minyak wangi berasal dari tumbuhan.



Puasa

Saya ada kemusykilan mengenai dengan ibadah puasa. Iaitu saya ada mendengar bahawa seseorang yang didalam musafir adalah makruh berpuasa. Sila ustaz jelaskan.

Makruh berpuasa sekiranya dengan berpuasa itu akan mendatangkan mudarat kepada kita tidak kira dalam musafir atau tidak. Contohnya perempuan mengandung, ibu yang menyusukan anak dan sebagainya. Walaubagaimanapun puasa yang ditinggalkan itu wajib diganti pada waktu lain. Berpuasa dibulan Ramadhan mempunyai kelebihan yang amat tinggi berbanding dengan bulan lain, maka eloklah bersusah payah sedikit dan tidak terlalu mudah meninggalkannya. Dalam keadaan zaman ini, musafir tidak sesusah dulu, dan jika susah sekalipun tetapi kita masih dapat meneruskan puasa, pasti ketika berbuka nanti, nikmat yang kita rasakan tidak sama dengan puasa dihari biasa (tanpa banyak ujian).



Mimpi

Suatu petang saya telefon Ibu saya dirumahnya untuk bertanya khabar ibu saya memberitahu dia bermimpi anak saya yang sulung yang baru berumur 2 1/2 tahun jatuh kedalam perigi yang dipenuhi air. Ibu saya telah bernazar di masjid kampung hulu (di Melaka) tiba tiba anak saya muncul dipermukaan air lalu ibu saya mencium cucu nya. Apakah makna mimpi ibu saya itu

Mimpi adalah mainan tidur. Banyak aspek yang boleh mempengaruhi mimpi. Terlalu memikirkan sesuatu perkara sebelum tidur juga boleh menyebabkan ianya terbawa kedalam mimpi. Mimpi ibu anda ini juga mungkin kerana terlalu rindukan cucunya yang mengkin dah lama tidak dibawa balik kekampung.

Walaubagaimanapun terdapat juga unsur-unsur lain yang mempengaruhi mimpi ini. Contohnya godaan syaitan dan petunjuk Allah s.w.t.. Akan tetapi, bagi kita orang awam ini, adalah terlalu susah untuk membezakan yang mana satu antara keduanya. Ingatkan kembali kisah Nabi Ibrahim yang bermimpi menyembelih anaknya. Baginda sebagai seorang nabi sekalipun tidak yakin pada mulanya yang mimpi baginda itu dari Allah s.w.t..

Untuk peringkat orang awam ini, ada beberapa garispanduan yang boleh diambil dalam menangani mimpi-mimpi ini:

  • Membuat persedian tidur - seperti membaca doa tidur, Surah-surah Al-quran dan sebagainya untuk mengawal diri dari godaan syaitan.
  • Tidak cuba menta'wilkan mimpi tersebut kerana dibimbangi mendatangkan syirik seperti bertenung nasib.
  • Mengucapkan 'Nauzzubillahi min zalik' apabila tersedar dari mimpi buruk.
  • Mengucapkan 'Alhamdulillah' apabila tersedar dari mimpi baik.
  • Tidak menghebahkan mimpi kita kepada orang lain kerana takut mendatangkan fitnah.

Sekiranya mimpi buruk mengganggu fikiran, berdoalah, seperti bersembahyang hajat, berkiamullail dan sebagainya untuk meminta kepada Allah s.w.t. supaya diberikan kembali ketenangan hati.



Hubungan Mertua

Apakah hukumnya ibu mertua yang cemburu akan menantu perempuannya dan menceritakan keburukan atau perkara yang tidak dia senangi tentang menantunya itu kepada saudara-mara sehingga mereka memandang serong terhadap menantunya itu? Apakah hukumnya jika perkara yang diceritakan itu adalah perkara yang buruk tetapi tidak benar? Apakah nasihat ustaz tentang ibu mertua/ibu yang membeza-bezakan layanan diantara menantu/anak?

Saya lebih suka menjawab soalan ini dengan tidak memberi sebarang hukum, kerana hukuman dalam bab ini memerlukan keterangan yang jelas untuk mempastikan apakah hukum yang sebenarnya. Walaubagaimanapun akuilah disebalik cemburu itu ada baik dan ada buruknya. Mana lebih banyak di antara yang baik dengan yang buruk adalah terpulang kepada kita menilainya. Sekiranya kita yakin dan bertawakkal kepada Allah tidak ada sebab kita risau dengan sifat cemburu. Dalam soalan ini isu "menceritakan keburukan atau perkara yang tidak dia senangi tentang menantunya itu kepada saudara-mara sehingga mereka memandang serong terhadap menantunya itu" merupakan suatu fitnah. Dalam islam Fitnah adalah lebih dahysat (besar dosanya) dari membunuh. Jika perkara yang diceritakan itu adalah perkara yang buruk atau baik,sama ada benar tidak tidak benar maka ianya masih diistilahkan sebagai fitnah.

Nasihat saya berkenaan dengan hubungan dengan Ibu mertua; Ingatlah bahawa apabila seseorang lelaki beraqad nikah dengan seseorang perempuan, ibu atau bapa mertua mempunyai taraf yang sama dengan ibu dan bapanya sendiri, begitu juga dengan anak perempuan yang telah berkahwin. Oleh itu Janganlah ada dikalangan anak-anak ini yang sekali-kali mendurhakai ibu bapanya. Dalam hidup sehari-harian dirumah bergaul dengan ibu dan bapa sendiri saya yakin semua pihak pernah rasa terkilan dan tidak bersetuju dengan keputusan dan nasihat atau tingkahlaku ibu bapa, namun sebagai anak tidak boleh menyanggah/ melawan tindakan ibu bapa sendiri tanpa akhlak. Islam mengajar kita caramana bermuamalah dengan anak-anak, caramana bergaul dengan orang tua dan caramana bergaul dengan handai taulan.

Berkenaan dengan ibu mertua yang membeza-bezakan layanan diantara menantu/anak menantu, merupakan suatu ketidakadilan. Walaupun adil itu tidak semestinya sama rata dari segi pemberian kasih sayang atau lainnya.

Bagi menghadapi masalah ini.
Coba kita selidik diantara kita dengan ibu mertua siapakah yang mempu dan boleh berubah sikap (diperbetulkan). Sekiranya ibu mertua sudah memang bersikap begitu, sebagai anak menantu kita mestilah bersabar serta taat dan menghormati mereka. Persoalan mereka berkhianat kepada anak menantu, Allah s.w.t. ada untuk menilai dan membalasnya sekiranya benar mereka bersalah, sekiranya tidak, yakinlah pada janji dan ketentuan Ilahi. Sekiranya kita sayang Allah s.w.t., Allah s.w.t. akan sayang pada kita, sebaliknya jika kita tidak sayang (menjaga amanah Allah s.w.t.) sesungguhnya azab Allah s.w.t.lah yang paling pedih.



Suami Curang

Sebelum kami berkahwin, suami saya mempunyai beberapa orang teman wanita dan begitu juga saya. Suami saya sering menceritakan tentang mereka kepada saya dan dia tetap menghubungi mereka walaupun kami telah berkahwin. Gambar mereka pun masih disimpan setelah kami berkahwin. Sesekali dia akan menelefon mereka di pejabat dan bila hari raya dia akan menghantar kad ucapan kepada mereka tanpa pengetahuan saya dan mereka juga akan membalas kad ucapan beliau. Saya merasa tertipu dan amat marah dengan perbuatan suami saya. Apakah hukumnya suami yang berkelakuan begini? Walaupun sekarang ini beliau tidak lagi membuat perkara diatas saya sukar untuk mempercayainya dan saya akan cepat mensyakinya jika berlaku sesuatu yang mencurigakan. Saya berharap ustaz dapat memberi pandangan dengan panjang lebar. Terima kasih

Jika seseorang suami atau isteri yang telah berkahwin menyimpan lagi gambar kekasihnya, maka ia dikatakan sebagai curang. Suami hendaklah bertanggungjawab penuh kepada isterinya sebaliknya isteri pua hendaklah taat sepenuhnya kepada suami. Oleh kerana hal di atas, tidaklah menjadi mustahil jika sekiranya diantara suami isteri yang seperti di atas saling curiga mencurigai, ini adalah kerana kesetiaan mereka masih belum benar-benar mutlak. Untuk itu saya nasihatkan agar rapatkanlah diri kepada Allah s.w.t. dan jangan sampai lupa akan tanggungjawab kita kepadaNya. Berkat kita patuh kepada Allah s.w.t., Allah s.w.t. memberi jalan bagaimana menguruskan rumahtangga yang sebenarnya. JIka kita ikut perintah Allah s.w.t., Allah s.w.t. perintahkan isteri taat kepada suami, Allah s.w.t. perintahkan suami sayang kepada isteri dan bertanggungjawab kepada keluarga. Dengan itu, sebagai umat Islam kita akan merasai nikmat kebahagiaan terserbut, Insya Allah. Walau bagaimanapun selagi perceraian belum berlaku, tuan/puan mempunyai peluang untuk memperbaiki kadaan dengan kembali ke Islam dari sudut niat berumah tangga sehinggalah ke arah kehidupan sehari-hari. Semoga penjelasan ini dapat memuaskan hati semua pihak. Yang baik dari Allah s.w.t. yang tidak baik atas kelemahan saya, harap maaf,wassalam.

Zakat Pinjaman

Jika seseorang itu meminjam duit daripada bank untuk di simpan didalam ASB, wajibkah dia mengeluar zakat? Jika wajib bagaimana kiraannya? Adakah duit bank yang dipinjam daripada bank itu wajib dizakat sekali?

Pelaburan, baik di ASB (perbincangan tidak mengenai urusniaga ASB) atau dimana-mana pelaburan lain adalah dianggap sebagai perniagaan. Maka wajib dikeluarkan zakat perniagaan walaupun ianya adalah pinjaman. Ini kerana duit pinjaman itu dikira hak kita. Kiraannya adalah seperti perniagaan biasa iaitu wajib apabila cukup haul dan nisab. Haulnya adalah satu tahun dari tarikh mula melabur/meniaga dan nisabnya bergantung kepada negeri dimana duit itu disimpan. Sila rujuk kepada Jabatan Agama negeri saudara. Jumlah yang perlu dikeluarkan adalah satu per empat puluh (2.5%) dari jumlah keseluruhan (modal + untung).



Masalah Hadas Besar

Apakah hukumnya seorang mukmin yang ketika itu dalam keadaan berhadas besar memotong rambut atau kuku?. Apakah rambut atau kuku itu masih dikira berhadas selepas beliau mengangkat hadas ( mandi )?

Kuku dan rambut tersebut mengikut mazhab Syafie, masih berhadas dan perlu dibawa mandi bersama. Munurut ulama', anggota yang berhadas ini akan menuntut hak mereka ketika dipadang masyhar nanti.



Antara Adat dan Agama

Sebenarnya saya ingin bertanya mengenai Adat dan Agama dimana agak mengelirukan saya. Saya berasal dari Kuching Sarawak dan akan melangsungkan perkahwinan dalam bulan Oktober 1997.Saya ingin Ustaz huraikan mengenai hak si suami dan adat di mana mengikut adat, si suami mesti tinggal di rumah ibu mertuanya (iaitu rumah si isteri).sekiranya si isteri tinggal dirumah pihak lelaki, kononnya masyarakat akan berfikiran serong yang si perempuan mengikut sisuami tampa restu ibubapa.Issue ini akan berterusan sehinggalah sisuami membeli rumah sendiri. Bagi saya, saya mampu untuk membeli rumah tetapi saya masih merasa pelik mengapa perkara ini masih hidup difikiran kaum masyarakat melayu terutama golongan Tua.

Dalam soal ini, kebijaksanaan suami adalah penting. Adat yang bercambah dari dulu adalah amat payah untuk diubah kecuali dengan hikmah. Sekiranya tiada masalah dari pihak keluarga lelaki maka adalah tidak salah untuk mendiami rumah mertuanya. Tetapi sekiranya dengan mendiami rumah mertua itu sisuami telah menderhaka kepada ibu bapanya atau meninggalkan tanggungjawabnya (seperti menjaga adik-adik dan sebagainya) maka suami tersebut adalah berdosa. Tanggapan masyarakat adalah tidak penting jika dibandingkan dengan hukum Allah s.w.t.. InsyaAllah sedikit demi sedikit ianya akan berubah dan mejurus kearah yang baik sekiranya kita berusaha dari sekarang. Contohnya sepuluh tahun lalu, sekiranya berkahwin tanpa sanding, masyarakat akan menyatakan bahawa pengantin perempuan itu janda. Kemudian apabila ada golongan yang memulakan perkahwinan tanpa sanding, mereka dicap sebagai 'dakwah' tetapi tidak dianggap seburuk 'janda', dan sekarang alhamdulillah perkahwinan tanpa sanding dikira biasa. InsyaAllah suatu masa nanti jika kita terus menentang budaya ini, perkahwinan dengan persandingan akan dipandang serong pula oleh masyarakat.



Wuduk Suami Isteri

Mengapakah suamiisteri batal air sembahyang (Wuduk) sedangkan mereka sudah menjadi suami isteri yang sah(mukhrim) yang menghalalkan jimak ?

Suami isteri asalnya adalah ajnabi iaitu halal bernikah. Maka kerana itulah terbatal wuduk apabila tersentuh. Sedangkan muhrim azali (adik-beradik dan sebagainya) dari asalnya telah haram nikah keatas mereka.



Sujud Imam

Kami sekeluarga bersolat Maghrib secara berjemaah dengan bapa saya sebagai imam setiap hari. Namun, saya meragui sujud imam kerana hanya kedua-dua ibu jari kaki sahaja yang mencecah sejadah. Oleh itu, sujudnya tidak sempurna dan oleh itu, rukun solat tidak disempurnakan juga. Saya pernah menasihatkan beliau mengenai masalah ini dan telahpun membetulkan kesalahannya. Namun, setelah beberapa lama dia telah kembali kepada cara asalnya yang salah itu, mungkin kerana telah menjadi suatu kebiasaan dan beranggapan kesalahannya itu dapat dimaafkan. Oleh kerana meragui solat bapa saya, saya mengambil keputusan untuk tidak berniat mengikut imam. Walaupun saya bersolat dibelakang imam, namun niat saya adalah sebagai bersembahyang bersendirian. Saya berbuat sedemikian agar tidak menyinggung perasaan bapa saya sekiranya saya bersembahyang berasingan bersendirian. Adakah solat imam saya sah kerana tidak sempurna sujudnya? Adakah sah solat saya apabila berniat sembahyang bersendirian, namun berdiri dibelakang imam?

Solat imam itu sah walaupun sujudnya tidak sempurna. Sujud yang sempurna memerlukan perut ibu jari kaki memcecah tempat sujud (sejadah, lantai dsb.). Keadaan ini seolah-olah jari kaki itu menunjuk kearah kiblat.

Solat anda sah tetapi fadilah jemaah tidak anda dapat. Tiada salah mengikut imam yang tidak sempurna sujudnya kerana solatnya masih sah. Tegurlah berulang kali supaya kita dapat melakukan solat yang sempurna bersama-sama. Gunakan cara yang berhikmah dalam menegur bapa anda dan jika perlu, tunjukkan email ini.



Segan solat

Sekali sekala bila keluar ke "shopping mall" di sini (US), tiada surau atau tempat untuk sembahyang, so kitorang sembahyang duduk atas kerusi kerana segan, boleh ke ustaz?

Boleh. Sekiranya semua syarat sah sembahyang diikuti. Ini untuk mengelakkan dari timbulnya fitnah dari orang lain yang mungkin mengatakan Islam itu menyusahkan. Tetapi kalau dapat sembahyanglah dengan sempurna kerana itu lebih afdal. Atau cari masa yang sesuai untuk shopping yang tidak mejangkau waktu sembahyang. Utamakanlah sembahyang dari perkara lain.



Kencing berdiri

Di sini tiada jamban cangkung, jadi saya terpaksa kencing berdiri dengan menjaga percikan serta beristibrak (serta yakin kesemua najis telah keluar dari saluran kemaluan) dan beristinjak menggunakan tisu. Adakah berdiri ini harus? Adakah istinjak saya sah? Perlu ke tisu tersebut di gumpal keras suyapa boleh ia di kategorikan di bawah beristinjak dengan benda keras (cth: batu, tanah liat atau kayu).

Kencing berdiri itu harus jika kena pada tempatnya seperti dikawasan berbahaya yang boleh mendatangkan mudarat jika duduk. Walaubagaimanapun, perlu diingat bahawa satu percikan kecil sahaja yang terkena pada pakaian kita diibaratkan dapat menghidupkan seekor lipan bara yang boleh menyengat kita semula. Saya percaya masih ada alternatif lain seperti menanggalkan seluar dan kencing duduk atau mencangkung diatas tandas itu. Cara ini biasa dilakukan walaupun tiada siapa yang mahu menceritakannya kepada orang lain.
Istinjak tidak memerlukan sesuatu yang keras kerana yang pentingnya adalah kasarnya permukaan itu. Tidak sah beristinjak dengan buluh yang keras kerana licin permukaannya. Juga haram beristinjak dengan sisa makanan kerana masih boleh dimakan oleh binatang. Begitu juga haram beristinjak dengan tulang yang menjadi makanan jin. Tisu boleh digunakan dengan diberikan perhatian supaya resapan najis ditisu itu tidak mengotori bahagian tangan pula. Ini dengan mengkiaskan tisu itu sejenis dengan kayu atau batu.

Perbezaan Mazhab

Bolehkah ustaz senaraikan perbezaan fahaman diantara mazhab - mazhab yg terdapat di dalam Islam.

Perbezaan antara mazhab hanyalah didalam perkara-perkara khilafiah. Setiap pendapat dari setiap mazhab tersebut mempunyai nas dan hujah sahihnya sendiri dan tidak pula bercanggah dengan mazhab lain. Sebagai contoh, batal wuduk dengan sentuhan antara kulit lelaki dan wanita (kecuali kuku dan rambut) dimana mengikut syafie - batal, maliki - tidak sekiranya tanpa menaikkan syahwat.



Halal/haram keju

Saya ingin mendapatkan kepastian tentang kedudukan halal/haram keju. Kalau diperhatikan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat keju yang tertera di bungkusan-bungkusan keju, 90% menyatakan pemakaian bahan bernama "rennet" iaitu sejenis enzim yang diperolehi daripada intestine anak lembu. Soalan saya adalah samada dengan penggunaan "rennet" ini, keju berkenaan halal di makan. Tidak dinyatakan bagaimana caranya bahan "rennet" ini diperolehi. Jika diperhatikan juga kebanyakkan daripada bungkusan-bungkusan keju ini dicopkan perkataan halal, sungguhpun bukan berlogokan "halal" daripada Pusat Islam.

Sekiranya enzim berkenaan diambil ketika lembu itu hidup, maka ianya halal kerana ianya berasal dari binatang yang halal (seperti meminum susunya). Sekiranya diambil setelah ianya mati, maka sekiranya tanpa disembelih, hukumnya halal. Tetapi jika disembelih (secara Islam) maka ianya halal.

Logo halal yang tidak dari Pusat Islam adalah tidak boleh dibuat panduan.



Masalah bersuci

Saya sekarang sedang belajar di USA.Pakaian saya ada tersentuh hidung anjing. Kalau mengikut hukum, ia perlu dibersihkan dengan menggunakan air bercampur tanah. Masalahnya sekarang, saya menghadapi kesukaran untuk mencari tanah kerana saya tinggal di kawasan bandar.Adakah sebarang alternatif lain? Tolong jelaskan juga jenis-jenis tanah yang dibenarkan dan yang ditegah untuk tujuan tersebut.

Jika benar-benar tiada tanah, maka boleh digunakan air yang banyak dan sabun sehingga hilang 'ainnya. Walaubagaimanapun ini hanya setelah diusahakan sedaya upaya untuk mendapatkan tanah liat tetapi tidak berhasil. Dibandar sekalipun mungkin ada pokok yang ditanam yang boleh diambil tanahnya barang secubit dua. Tanah itu hendaklah dari jenis tanah liat dan bukan pasir atau lumpur dan bukan juga tanah yang bercampur najis atau berbau busuk.



Zakat kepada ibu bapa.

Tuan, saya ingin meminta jasa baik tuan untuk mendapatkan penjelasan mengenai satu kemusykilan berkenaan zakat. Ada 8 Asnaf golongan yang layak menerima zakat. Kemusykilan saya, bolehkah saya mengeluarkan zakat pendapatan saya kepada kedua ibu-bapa saya, atas dasar kedua ibu-bapa saya itu tergolong di dalam golongan salah satu dari 8 Asnaf iaitu "Asnaf Miskin". Untuk pengetahuan tuan, ibu-bapa saya hidup di kampung berdua, bapa berumur 73 tahun, ibu berumur 58 tahun, dan bapa tiada pekerjaan sejak 10 tahun lalu. Mereka menyara perbelanjaan harian dengan wang bulanan yang dikirim oleh saya dan kakak saya.

Zakat tidak sah jika diberikan kepada orang yang dibawah tanggungjawab kita. Ibubapa adalah menjadi tanggungjawab anak untuk memberi bantuan baik dari segi kewangan maupun dari segi tenaga. Tidak boleh dikategorikan seseorang itu miskin sekiranya mempunyai anak yang mampu kecuali ditinggalkan atau tidak dihiraukan oleh anaknya, dimana dalam kes yang sebegini anak tersebut tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang anak yang pernah dilahirkan, dibesarkan, dijaga, dididik oleh ibubapanya satu ketika dulu.



Ciri-ciri binatang Korban

Saya ingin bertanya ustaz mengenai lembu / kambing yang boleh dijadikan korban. Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada lembu / kambing tersebut seperti umurnya atau kesihatannya.

Syarat-syarat binatang korban adalah seperti berikut:

  • Cukup umur
    • Kambing
      • satu tahun lebih atau telah bersalin gigi
    • Lembu Kerbau
      • dua tahun lebih
    • Unta
      • lima tahun lebih
  • Tidak cacat
    • buta
    • tempang
    • tiada telinga
    • putus ekor
    • teralu kurus
    • lain-lain kecacatan yang meng'aibkan.

Syiah

Adakah cara untuk kita mengenali yang seseorang itu berfahaman syiah. Adakah boleh kita dari golongan sunnah wal jamaah mengimamkan orang dari golongan syiah. Akhirnya adakah orang-orang dari golongan syiah itu dikira islam/muslim.?

Syiah boleh dikenali dari pegangan mereka, diantaranya seperti pendapat bahawa Solat Jumaat itu tidak wajib kerana tidak difardukan Allah s.w.t. ketika mi'raj dan ada juga berpegangan sehingga jatuh murtad seperti mempercayai bahawa Saiyidina Ali itu sebenarnya nabi. Mengimamkan mereka tidak menjadi salah kecuali kita tidak boleh berimamkan mereka sekiranya pegangan mereka hingga ketaraf murtad. Selain golongan yang murtad, mereka masih berugama Islam.



Masalah Dividen Bank

Saya pernah bertanya kepada seorang ustazah tentang dividend yang saya perolehi melalui simpanan saya dalam bank. Beliau mengatakan bahawa wang tersebut sebenarnya adalah hak kita kerana kita dianggap sebagai rakan kongsi kepada bank.Walau bagaimanapun,disebabkan nilai wang keuntungan yang diberikan kepada kita terlalu sedikit yaini tidak memadai dengan keuntungan yang dibuat oleh bank maka adalah lebih baik wang itu digunakan untuk kepentingan agama ie. kita tidak menggunakannya untuk perbelanjaan peribadi.Alasan ini kurang jelas bagi saya atau saya kurang puas hati dengan jawapan ini.

Sekiranya wang tersebut juga di anggap riba',apa yang perlu saya lakukan sekiranya "saya telah terlanjur menggunakan wang tersebut untuk perbelanjaan peribadi saya". Saya harap ustaz dapat menjawab soalan saya terutamanya bahagian akhir soalan,dengan seberapa jelas ie. tidak semestinya panjang dan terperinci.

Pendapat ulama' Fiqah mengatakan bahawa wang riba itu tidak boleh digunakan untuk peribadi samada sendiri atau peribadi lain (disedekah kepada orang lain untuk kegunaan peribadi). Samada digunakan untuk kegiatan ugama ataupun tidak, ianya hendaklah untuk kegunaan masyarakat dan orang ramai (contoh: membina jalan, longkang, tandas awam dsb). Sekiranya terlanjur maka hendaklah diganti jumlah tersebut dengan wang lain dan disalurkan untuk kegunaan diatas.



Beberapa masalah Solat dan ilmu

  • Apakah kelebihan solat sunnat awabin..?
    • Diantara kelebihan sunat awabin:
      • Senang menjawab soalan mungkar nangkir
      • Senang mengucapkalimah syahadah ketika sakaratul maut.
      • Mati dalam husnul khatimah.
  • Apabila saya solat hati dan fikiran saya selalu diganggu dengan bayangan salib dan macam-macam lagi. Banyak surah-surah pendinding telah saya baca tetapi masih diganggu lagi.
    • Antara cara yang dapat dilakukan dalam menghindarkan gangguan dalam solat adalah:
      • mengelakkan dari makan makanan yang syubahat
      • memahami makna setiap bacaan dalam solat.
  • Apakah yang dimaksudkan oleh Junjungan Nabi kita "Carilah ilmu sampai kenegeri cina"
    • Hadith tersebut menunjukkan betapa pentingnya ilmu. Ianya perlu dicari walau kemana sekalipun. Begitu juga dengan sebuah lagi hadith yang bermaksud " Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahat", yang mana ilmu perlu dituntut sepanjang masa.
  • Sekiranya kita terlupa atau tertidur hingga terlepas menunaikan solat isyak bagaimana kita nak ganti solat isyak...?
    • Solat yang tertinggal (apa waktu sekalipun) hendaklah disegerakan menggantikannya. Ada pendapat ulamak, sekiranya tertinggal kerana terlupa atau tertidur maka sunat disegerakan solat qado tersebut, manakala sekiranya sengaja ditinggal, maka wajib disegerakan qadonya.



Masalah Wuduk berkasut

Saya pernah dengar yang bila kita ada wuduk kemudian kita pakai setokin atau kasut, dan setelah itu wuduk kita batal dan kita belum buka lagi kasut atau setokin tersebut, kita boleh ambil wuduk dengan cara biasa tetapi apabila sampai kepada membasuh kaki, tidak perlu membuka kasut/setokin tersebut; hanya cukup sekadar menyapu air di atas kasut sebagai syarat membasuh kaki. Dan wuduk kita sah. Bilakah cara wuduk ini hukumnya "harus"?. Adakah ia hanya di bolehkan dalam keadaan tertentu?. Jika ya, dalam keadaan apa?. Bolehkah mengambil wuduk seperti diatas walaupun tiada keuzuran pada diri atau keadaan. Untuk pengetahuan ustaz: Oleh kerana di universiti saya tiada surau, saya terpaksa mengambil wuduk di tandas awam dan adalah agak sukar untuk membasuh kaki. Begitu juga di dalam kapalterbang. Atau apabila tandas tersebut tiada air panas di musim sejuk.

Kasut yang dibenarkan adalah dari jenis yang tidak boleh dimasuki air seperti apa yang dinamakan muza atau kaus. Dengan kasut ini, memadai dengan menyapu bahagian atas dan bawahnya sahaja tanpa perlu membukanya. Dan untuk solat, jika diragui kesuciannya, bolehlah dibuka. Tiada syarat dari segi keadaan atau keuzuran selain dari yang disebutkan itu.



Berkunjung keparti

Bolehkah seorang islam pergi ke "party" atau keramaian yang pesertanya minum minuman keras walaupun dia tidak minum. Atau bolehkah seorang islam masuk ke dalam "bar", contohnya kerana diajak oleh pensyarahnya di universiti dimana dia belajar, walaupun di hanya minum oren atau sebagainya.

Hukumnya haram jika meredai perbuatan mereka yang mungkar itu iaitu dengan tidak menegur terutamanya sekiranya mereka itu muslim. Harus sekiranya untuk pengetahuan dan niat untuk memperbetulkan perbuatan mereka.



Masalah Waktu Sembahyang

Di USA ada dua cara untuk mengira masa sembahyang. Mana satu patut saya ikut dan yang mana yang digunakan di Malaysia. Atau adakah perkara ini khilaf. ( Sila rujuk website http://www.uwm.edu/cgi-bin/bashir/salat.cgi ).

Sebagai pengikut mazhab Shafii, hendaklah kita mengikuti cara kiraan Syafii jika tidak mengganggu masyarakat setempat. Sekiranya kebanyakan masyarakat setempat menggunakan cara Hanafi, maka tidak salah sekiranya mengikuti cara mereka sebagai tanda hormat dan persaudaraan Islam. Kedua-dua mazhab itu adalah dari golongan empat mazhab yang diikhtiraf sebagai Ahli Sunnah waljamaah. Perbezaan kiraan hanya pada waktu asar sahaja (jika tidak silap).



Bersalaman

Apa patut seorang lelaki islam buat jika seorang perempuan bukan islam menghulurkan tangan untuk bersalam.

Menyentuh kulit wanita yang ajnabi dengan ketiadaan berlapik hukumnya haram bagi lelaki dan wanita tersebut samada wanita itu muslim atau kafir. Elakkanlah dari berlaku, dan sebagai lelaki keputusan untuk menyentuh atau tidak adalah ditangan anda.



Aurat wanita

Soalan aurat perempuan. Bagaimana dengan tangan dari pergelangan tangan (bukan hanya tapak tangan) dan kaki dari buku lali serta bawah dagu (sempadan muka ?).

Aurat wanita adalah keseluruhan tubuh kecuali muka dan dua tangan. Had bagi tangan adalah dari pergelangan tangan ke hujung jari termasuk tapak dan belakang tangan. Had bagi muka adalah dari hujung dagu (dibawah dagu adalah dikira aurat.) sampai keumbi rambut dibahagian atasdan anak telinga kanan ke anak telinga kiri. Buku lali dan kaki adalah sebahagian dari aurat. Aurat perempuan diluar sembahyang adalah sama dengan aurat didalam sembahyang.



Nisab Zakat

Apakah nisab zakat wang simpanan untuk tahun ini.

Nisab bagi setiap negeri di Malaysia adalah kiraan nilai emas sebanyak 25 mayam harga semasa. Kadar zakat yang wajib dikeluarkan adalah satu per empat puluh (2.5%) dari jumlah kesemua simpanan. Sila rujuk kepada Jabatan Ugama berdekatan tempat tinggal anda. Haulnya adalah selama 12 bulan kamariah.



Masalah Air liur Basi

Adakah air liur basi najis.

Air yang keluar ketika tersengguk/terlalai tidur adalah air dari mulut. Hukumnya tidak najis. Tetapi air yang keluar ketika tidur berbaring, hukumnya adalah najis kerana ianya berasal dari maidah (perut besar).



Masalah alkohol

Adakah alkohol najis.

Alkohol yang memabukkan adalah haram dan najis. Oleh kerana ada perselisihan pendapat para ulamak berkenaan masalah alkohol dalam minyak wangi, maka eloklah dijauhkan dari menggunakannya kerana perkara yang was-was itu eloklah ditinggalkan.



Masalah Gambar dan ukiran

Apakah hukum mengambil gambar dengan kamera. saya tahu yang melukis gambar atau membuat patung manusia dan binatang adalah haram.

Membuat patung yang cukup sifat untuk hidup adalah haram. Melukis dan menangkap gambar dengan kamera adalah harus sekiranya tidak membuka aurat atau dalam keadaan aib.



Masalah Mandi Wajib

Saya keliru , ada yang mengatakan ambil wuduk dulu baru mandi wajib dan ada yang mengatakan mandi dulu kemudian ambil wuduk.

Mengambil wuduk sebelum mandi wajib adalah sunat. Walaubagaimanapun sekiranya tidak berlaku perkara-perkara yang membatalkan wuduk dari ketika kita berniat mandi wajib itu maka dengan sendirinya hadas kecil kita terangkat, iaitu dengan terangkatnya hadas besar.

Sekiranya kita ambil wuduk dulu, kita tidak dibenarkan menyentuh kemaluan kita sedangkan saya rasa was-was samada air yang disiram samada rata ataupun tidak...!

Untuk mengelakkan rasa was-was, mandilah dengan memakai kain basahan. Sentuhan berlapik tidak membatalkan wuduk.

Bersanding dan makan beradat

Apakah hukum Islam tentang bersanding bagi meraikan pengantin yang baru berkahwin serta apakah hukum makan beradat yang kebiasaannya dilakukan di hadapan para tamu?

Bersanding adalah sunat sekiranya mengikut cara yang dibuat oleh Rasulullah kepada Saidina Ali. Antaranya ianya dilakukan dalam bilik yang tertutup dan disaksikan hanya oleh kaum keluarga. Aurat perempuan tersebut juga dijaga.




Berkahwin dengan jin

Apakah hukumnya jika seorang manusia berkahwin dengan golongan jin, dan sebagaimana yang saya tahu allah telah menjadikan manusia untuk manusian , jin dengan jin , binatang dengan binatang . Dan adakah ini salah satu dosa besar.

Sekiranya jin tersebut jin Islam, dan menepati segala rukun niqah, maka perkahwinan itu sah. Walaubagaimanapun perkara sebegini (niqah, qadam dan sebagainya) perlulah dielakkan.




Beberapa masalah hubungan suami isteri

Apakah hukumnya bagi orang yang mengamalkan onani ... dan bagaimana pula bagi seorang suami yang terpaksa melakukan onani di ketika isterinya kotor.

Mengeluarkan mani dengan tangan adalah haram dari segi hukum kecuali dengan tangan isteri.

Apa hukum orang yang melancap? Saya ada mendengar sesetengah pendapat mengatakan melancap adalah harus jika tidak dapat mengawal perasaan dan bimbang takut akan berzina. apa pandangan ustaz?

Haram. Islam menetapkan cara lain yang lebih baik untuk mengawal syahwat iaitu dengan berpuasa dan mengurangkan makan makanan yang berzat.

Soalan saya apa hukumnya jika seorang suami meyetubuhi isterinya melalui dubur utk kepuasan suami dan isteri..? Apakah hukum nya jika si isteri menelan benih suaminya semasa mennghisap zakar suami?

Menyetubuhi isteri melalui dubur (liwat) adalah haram. Benih tersebut adalah suci tetapi perbuatan menghisap zakar suami adalah ditegah.



Masalah sembahyang jamak

Saya difahamkan bahawa sembahyang jamak dilakukan jika kedua-dua waktu sembahyang adalah dalam perjalanan,contohnya zohor dan asar. Jika saya sempat sembahyang zohor di rumah, dan kemudian berjalan jauh dan akan tiba di destinasi masa waktu maghrib, bolehkah saya terlebih dahulu sembahyang jamak takdim, iaitu dibawa asar ke zohor semasa melakukan solat zohor di rumah?

Tidak boleh. Sembahyang jamak hanya boleh dilakukan setelah memulakan perjalanan dan tidak boleh dilakukan dirumah.

Saya sedang belajar di luar negeri di mana ketika musim sejuk jarak antara solat adalah sangat rapat. Contohnya zohor dan asar. Saya tinggal di kawasan kampung dan jauh dari bandar. Untuk ke bandar, saya pasti akan tertinggal menunaikan solat. Memandangkan di sini tiada masjiïd yang saya temui, bolehkah saya membuat sembahyang jamak? Setakat ini saya hanya menqada'kan sembahyang yang tertinggal tetapi berasa tidak sedap hati kerana saya tahu, saya akan tidak sembahyang sepenuhnya pada hari dimana saya akan keluar ke banïdar, sedangkan dalam Islam, qada' hanyalah dengan alasan terlupa atau tertidur sahaja.

Cubalah cari masa yang tidak melibatkan waktu sembahyang untuk kebandar kecuali jarak bandar itu melebihi dua marhalah dimana sembahyang jamak dibolehkan.

Seringkali perjalanan di sini (USA) memakan masa yang lama dan melebihi jarak dua marhalah. Persoalan yang ingin saya kemukakan disini ialah mengenai solat Jamak dan Qasar. Adakah masih dibolehkan seseorang itu untuk melakukan solat tersebut walaupun pada itu, individu tersebut (musafir) telahpun sampai di bandar tempat dia tinggal tetapi menunaikan sembahyang tersebut di tempat yang bukan di rumahnya, i.e di Masjid. Soalan kedua pula, mengenai arah Qiblat. Jika seseorang itu tidak pasti arah mana Qiblat, tetapi masih mahu menunaikan solat dan tidak ada satu benda pun yang boleh membantu untuk dia mengetahui arah qiblat, i.e tidak mempunyai kompas dan ragu-ragu dengan arah cahaya matahari (qiblat di sini, USA, bukan anggaran ke arah matahari terbenam). Maka adakah sah solatnya jika dia tunaikan juga solat tanpa mengambil kira arah tetapi ditetapkan dalam hatinya yang arah yang diambilnya adalah betul.

Boleh, tetapi untuk waktu itu sahaja. Iaitu sekiranya pada waktu zuhor dia masih dalam perjalanan dan sukar untuk berhenti, maka bolehlah dia mengerjakan sembahyang jamak takhir walaupun dirumah. Sah sembahyangnya dengan niat mengadap kiblat, setelah tiada cara lain untuk menentukan arah yang sebenar.




Solat di tempat awam

Saya seringkali menghadapi kesukaran melakukan solat disini, terutama ketika saya berada jauh daripada tempat tinggal saya (saya pelajar di US). Jadi, saya memilah untuk sembahyang di mana sahaja yang saya fikirkan sesuai. Tempat yang selalu menjadi pilihan saya selalunya tempat yang tersorok (kalau boleh). Dan ada juga saya sembahyang di kaki lima. Soalannya Ustaz, adakah sah solat saya itu padahal berkemungkinan tempat tersebut pernah dilalu benda najis (seperti anjing) dan adakah sah jika saya hanya melapik hanya pada tempat sujud, yakni dengan menggunakan sapu tangan. Dan apa pula tindakan yang patut saya buat jika sapu tangan saya itu diterbangkan angin. Sebelum ini, saya hanya meneruskan solat saya apabila berhadapan dengan situasi begini. Harap Ustaz dapat perjelaskan.

Sembahyang itu sah sekiranya tiada kesan (ain) najis dikawasan tempat sembahyang itu. Bagaimanapun perlu diingat bahawa kita juga perlu mengelakkan fitnah dimana sekiranya tempat itu tidak wajar dijadikan tempat sembahyang (seperti dikaki lima yang kotor) maka carilah tempat yang lebih sesuai. Alas sujud hanyalah sunat dan tidak membatalkan sembahyang sekiranya diterbangkan angin.

Meninggalkan Solat.

Meninggalkan sembahyang fardhu adalah haram hukumnya. Bagaimanapun sembahyang yang ditinggalkan itu wajib diqadhokan. Apakah hukumnya seseorang yang meninggalkan sembahyang dengan niat akan mengqadhokannya?

Haram meninggalkan sembahyang fardu dengan sengaja.




Ramalan Cuaca dan ahli nujum

Ramalan cuaca & ramalan tukang nujum. Adakah hukum mempercayai yang dua ini sama? Saya tahu yang mempercayai tukang nujum itu haram. Macammana kita sebagai seorang islam patut laku/fikir tentang ramalan cuaca ini. Untuk pengetahuan ustaz, hampir setiap hari saya membaca ramalan cuaca untuk membuat keputusan tentang keesokan harinya (bawak payung, bawa keluarga berjalan dsb). Walaubagaimanapun dalam hati saya, saya tahu yang ramalan cuaca itu tidak 100% tepat. Untuk pengetahuan ustaz, ramalan cuaca disini (US) boleh tahan juga tepatnya. Setahu saya ramalan cuaca berdasarkan kajian/pemerhatian saintifik dan bukan ramalam semata-mata.(mungkin ada kaitan tentang permerhatian hukum alam/physic/ hukum sebab-musabbab Allah s.w.t., jadi tidak berdosa mempercayainya? contoh: kalau baling bola ke atas, jadi kita boleh percaya ia jatuh ke bawah dari segi hukum alamnya. Tetapi kita tahu ini tidak semestinya jika Allah kehendaki. Wallahualam)

Ramalan cuaca adalah berbeza dari bertenung nasib. Ini kerana ramalan cuaca adalah berpandukan ilmu sebagaimana yang disebutkan, tetapi bertenung nasib adalah menggunakan sihir dan syirik mempercayainya.



Antara Sembahyang Dirumah dan Dimasjid

Mana lebih afdal antara suami sembahyang bersama isteri dirumah atau suami berjemaah di masjid sedang isteri bersembahyang seorang dirumah.

Suami adalah lebih afdal berjemaah masjid. Isteri pula lebih afdal sembahyang dirumah walaupun seorang. Sekiranya perempuan itu rupawan maka hukum bersembahyang dimasjid baginya adalah makruh.



Pendapatan Egen Insuran

Apakah hukumnya dengan pendapatan yang diperolehi oleh seseorang ejen Insuran dimama Syarikat insuran tersebut adalah syarikat insuran Barat.

Haram sekiranya insuran tersebut bertentangan dengan hukum Islam (insuran nyawa, melibatkan riba, penindasan dsb). Sekiranya insuran tersebut berlandaskan hukum Islam maka sekiranya ia jujur dalam menjalankan tugasnya, upah dari jualan tersebut adalah halal.



Samak Tayar Kereta

Perlukah kita menyamak tayar kereta kita apabila ianya dikencing oleh anjing ataupun terlanggar najis anjing.

Perlu tapi tak wajib. Ini kerana najis itu berkemungkinan akan terkena kepada kita atau pakaian kita sekiranya tidak disamak.



Antara Untung dan Riba

Saya ingin bertanyakan Ustaz apakah perbezaan antara "keuntungan" dan "Riba". Perbezaan yang manakah yang menentukan halal dan haramnya kedua perkara diatas?

Keuntungan adalah halal tetapi riba adalah haram. Sekiranya saya membeli sebuah kereta dengan harga RM10,000 dan menjualnya kepada anda dengan harga RM15,000, maka RM5,000 itu adalah keuntungan perniagaan saya. Sekiranya sayajual tunai RM15,000 tetapi anda ingin membayar secara ansuran, maka saya tetapkan harga RM20,000 maka Rm5,00 itu adalah keuntungan saya dan RM5,000 selebihnya adalah riba yang haram hukumnya.



Direct Selling

Saya telah dijemput menghadiri satu penerangan Perniagaan yang cepat mendapat keuntungan dengan cara direct selling ... dalam tempuh lapan bulan. Seseorang perlu menjadi ahli dan membeli barangan tersebut dengan membayar 1/10dari harga barangan tersebut dan kemudian mencari 5 orang lagi ahli dan selepas itu saya tidak perlu lagi berbuat apa-apa . Tugas seterusnya akan dilakukan oleh peserta yang 5 orang tadi.. dansaya menunggu saja keuntungan/bonos dan saya akan dapat barangan tersebut dengan tidak payah membayar lagi.Apa pendapat Ustaz berkenaan perniagaan ini dan apa hukumnya.

Hukumnya halal apabila keuntungan/bonos itu dikira sebagai upah atau hadiah dari syarikat kerana anda telah mendapatkan jurujual kepada syarikat. Walaubagaimanapun perlulah dikaji terlebih dahulu secara mendalam supaya dapat ditentukan tiada unsur-unsur penganiayaan dalam struktur perniagaan tersebut, sepertimana yang terdapat dalam sistem piramid.




Sembahyang Jumaat

Sahkah ataupun tidak sah seseorang itu bersembahyang di jumaat di tingkat bawah masjid. Untuk pengetahuan ustaz, masjid tersebut mengandungi tingkat bawah, tingkat satu dan tingkat bawah. Dan kalau sembahyang tak sah macamana pula kalau masjid itu penuh, maksud saya jika tingkat satu dan tingkat dua penuh. Adakah lantai bawah boleh digunakan?

Sekiranya syarat-syarat sembahyang Jumaat itu dipenuhi, maka sembahyangnya sah. Tetapi sekiranya syarat-syarat jemaah tdak dipenuhi, maka dia tidak akan mendapat pahala jemaah tetapi sembahyangnya masih sah. Oleh itu datanglah awal untuk mendapatkan tempat terafdal iaitu disaf terhadapan.



Ciuman terakhir buat jenazah

'Dari Allah s.w.t. kita datang dan padaNya kita akan kembali'
Setelah disempurnakan mandi jenazah maka dipanggillah ahli keluarga yang terdekat untuk menatap dan selalunya akan mencium dahi yang meninggal itu..persoalannya.. siapa yang boleh menyentuh/menciumnya... kerana ada suara-suara dibelakang yang mengatakan mayat itu didalam keadaan berwudhu'..maka sekiranya isteri,anak menantu (lelaki bagi jenazah perempuan dan sebaliknya)dan yang bukan muhrim melakukannya maka terbatallah wudhu' jenazah berkenaan dan jenazah akan dikebumikan tanpa wudhu'.

Sesiapapun tidak dihalang dari mencium jenazah. Tidak timbul persoalan wudhu jenazah terbatal kerana apabila seorang anak adam itu meninggal maka hilanglah tanggungjawabnya. Walaubagaimanapun, sekiranya yang mencium itu bukan mahramnya, maka wudhu pencium itu terbatal.

http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/himpunankemusykilanagama.htm/BAck.gif

 

 

No comments:

Post a Comment