PENCERAHAN:
Apakah
hudud hanya untuk orang Islam?
Sebagaimana dijangkakan, isu
hudud terus dimainkan oleh parti pemerintah di dalam usaha mereka menawan negeri-negeri
di dalam pilihan raya atau pilihan raya kecil yang lepas atau pun yang akan
datang . Maka, hudud kini menjadi senjata utama kelompok sekular di dalam usaha
mereka mempertahankan lagi sistem sekular yang mereka terapkan selama ini.
Alangkah beraninya mereka mempermainkan hukum Allah dengan cubaan
memperdebatkan isu ini, bukannya berusaha untuk menerapkannya, walhal mereka
adalah golongan yang memerintah, yang mana di bahu merekalah terletaknya
kewajiban untuk menerapkan hududullah.
Ini dari satu pihak. Di pihak
yang lain, pembangkang kini dilihat tersepit dengan perangkap yang dipasang
geng sekular, sehingga banyak kenyataan terpaksa dikeluarkan oleh mereka untuk
'menentang' propaganda jahat pihak sekular di dalam mempermainkan isu ini. Sedikit sebanyak, pakatan pembangkang yang
merangkumi parti kafir DAP terpaksa membuat keputusan di dalam usaha kompromi
mereka. Jumlah pengundi kafir yang ada
di mana tempat yang terlibatkan pilihan raya mesti diambil kira, selain
'hubungan mesra' sesama pakatan yang mesti dijaga. Inilah masalah yang melanda
apabila berpakat atau kompromi dengan kelompok kufar dan sekular. Maka
perjuangan dan hukum Allah juga turut menjadi bahan kompromi.
Setelah diasak dari segenap
penjuru oleh parti sekular pemerintah, maka keluarlah kenyataan yang amat
menghiris hati umat Islam lainnya apabila hudud dikatakan bukanlah menjadi
keutamaan pembangkang. Luka pedih di hati terus berdarah apabila hudud
dikatakan pula hanya untuk orang Islam dan tidak terkena kepada orang kafir.
Semua kenyataan ini timbul apabila hukum Allah itu ingin dilaksanakan tertakluk
kepada syarat bahawa ia 'mesti difahami dan diterima' oleh orang kafir terlebih
dahulu. Apabila hati orang kafir dijaga lebih dari menjaga hukum Allah, maka
terkebelakanglah hukum Allah dan hati orang kafir menjadi keutamaan. Alasan
'maslahat' biasanya diberikan, walhal tidak akan pernah ada maslahat apabila
hukum Allah dipinggirkan.
Sesungguhnya pelaksanaan hukum
Allah ke atas umat manusia tidak ada kompromi sedikit pun. Ia wajib dan
wajiblah adanya sampai bila-bila pun dan di mana pun.
Malangnya apabila bercakap
tentang pelaksanaan hukum Allah, umat Islam terjatuh ke dalam kecelaruan yang
amat dalam, apabila mereka berkata ia hanya akan dilaksanakan apabila orang
kafir sudah faham dan bersedia. Walhal semasa kuffar penjajah datang ke negara
kita dan menerapkan hukum kufur mereka, kuffar penjajah tidak pernah bertanya
apakah orang Islam sudah bersedia atau tidak untuk menerima hukum kufur. Kuffar
penjajah tidak pernah tanya dan tidak pernah peduli orang Islam terima atau
tidak atau bersedia atau tidak, mereka hanya terus menerapkan sahaja hukum
kufur mereka. Anehnya, bila umat Islam ingin menerapkan hukum Allah, orang
kafir mesti dipastikan memahami dan bersedia terlebih dahulu. Jadinya, jika
orang kafir tidak pernah faham dan tidak pernah bersedia, maka hukum Allah
tidak akan dapat dilaksanakan sampai bila-bila pun?
Sungguh pedih hati apabila
melihat adanya umat Islam yang cuba mengambil hati orang kafir di dalam
melaksanakan hukum Allah, walau apa alasan mereka sekalipun. Allah SWT telah
berfirman,
هُوَ الَّذِي
أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَى وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ
وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ
“Dia lah Yang telah mengutus RasulNya
(Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk
dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun
orang-orang musyrik tidak menyukainya.” [TMQ At-Taubah (9):33].
Ayat di atas menerangkan dengan
jelas bahawa Islam wajib dizahirkan, walaupun orang kafir membencinya
sekalipun. Dan Islam hanya akan zahir apabila hukum Allah atau hudud Allah
diterapkan. Jadi, alasan bahawa orang kafir tidak faham atau tidak bersedia
langsung tidak boleh diterima, kerana Allah menyatakan, walaupun orang kafir
membencinya sekalipun, Islam wajib dizahirkan.
Bertambah pedih, apabila hudud
Allah hanya dikatakan terkena kepada orang Islam sahaja, manakala orang kafir
tidak terkena hudud. Jika kita adalah pemerintah, dan jika kita tidak
menerapkan hukum Allah, walaupun ke atas orang kafir sekalipun, maka hukum
apakah yang akan kita terapkan ke atas mereka? apakah kita akan menerapkan
hukum selain Allah ke atas mereka, walhal Allah SWT berfirman,
أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ
أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“ Sesudah itu, Patutkah mereka berkehendak
lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? padahal - kepada orang-orang Yang penuh
keyakinan - tidak ada sesiapa Yang boleh membuat hukum Yang lebih pada daripada
Allah.” [TMQ al-Ma’idah (5):50].
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ
فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ
“...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan
apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [TMQ
al-Ma’idah (5):44].
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
“...dan barangsiapa yang tidak
berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang
zalim” [TMQ al-Ma’idah (5):45].
وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
“...dan barangsiapa yang tidak
berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang
yang fasik” [TMQ al-Ma’idah (5):47].
Kepada mereka yang ikhlas semata-mata kerana
Allah dan tidak ta'sub sesama manusia, maka fikirkanlah sebaik-baiknya akan hal
ini. Semoga Allah SWT memberikan antum kesedaran dan kekuatan agar tetap
teguh dengan perjuangan menegakkan agama Allah dan tidak menggadaikan
perjuangan sedikitpun.
Apakah
Orang Kafir Terkena Hukum Islam?
Persoalan sama ada orang kafir
terkena hukum Islam atau tidak sebenarnya tidak pernah timbul dalam benak kaum
Muslimin generasi awal mahupun generasi setelahnya. Kaum Muslimin dahulu
benar-benar faham bahawa satu-satunya hukuman yang wajib ke atas manusia adalah
hukum Allah. Allah adalah Pencipta manusia dan Allah-lah Yang Maha Mengatur dan
Maha Menghukum. Inilah yang difahami dan diterapkan oleh umat Islam
berabad-abad lamanya. Namun, setelah kelemahan berfikir melanda umat Islam dan
negeri-negeri kaum Muslimin satu per satu jatuh ke tangan penjajah kuffar, maka
di negeri-negeri kaum Muslimin ini telah diterapkan sistem kufur/sekular
penjajah. Setelah mereka memberi kemerdekaan kepada negeri-negeri ini, pemimpin
sekular yang telah dilantik oleh kuffar penjajah ini tetap meneruskan
undang-undang kufur penjajah di samping sedikit penerapan undang-undang Islam
dalam hal ibadat dan kekeluargaan sahaja. Hasilnya, kaum Muslimin, termasuklah
golongan ulama telah terbiasa dan ‘terbius’ dengan kefahaman bahawa
undang-undang Islam hanyalah untuk orang-orang Islam sahaja, manakala
orang-orang kafir dibiarkan mengamalkan undang-undang kafir. Betapa
terpesongnya pemikiran di kalangan ulama ini, sehingga ada antara mereka yang
beranggapan bahawa undang-undang kufur (yang dibuat oleh negara) tetap terpakai
ke atas umat Islam manakala orang kafir pula sekali-kali tidak boleh dikenakan
undang-undang Islam ke atas mereka. Apatah lagi di dalam sebuah negara yang
bermasyarakat majmuk, para pemimpin dan ulama yang ada terus ‘dikuasai’ oleh
pemikiran kufur bahawa undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan ke atas
orang-orang kafir, bukan setakat kerana ia tidak terpakai, malah tidak boleh
dilaksanakan kerana perlu ‘menjaga hati’ orang kafir. Inilah di antara kejayaan
kuffar Barat di dalam memasukkan racun sekular mereka ke dalam tubuh umat
Islam.
Setelah sistem demokrasi-pilihan
raya diperkenalkan oleh Barat ke atas negeri-negeri umat Islam dan setiap orang
kafir diberi hak mengundi untuk memilih wakil rakyat, maka para pemimpin dan
ulama Islam terjerat sekali lagi di mana untuk mereka meraih pemerintahan,
mereka mesti mendapat sokongan/undi dari orang kafir, maka ‘hati’ orang kafir
perlu dijaga agar menyokong/mengundi mereka. Oleh sebab sebahagian besar orang
kafir (sekarang) tidak mahu atau tidak suka kepada undang-undang Islam, maka
usaha-usaha dilakukan untuk memberi kefahaman kepada orang kafir bahawa
undang-undang Islam tidak terkena ke atas mereka. Jadi, tidak hairanlah jika
ramai di kalangan umat Islam yang, walaupun sayangkan Islam, namun oleh kerana
sudah lama hidup dalam sistem sekular di mana racun ini sudah menjadi sebati
dalam diri mereka, memahami bahawa hukum Allah ini hanyalah untuk orang Islam
semata-mata, manakala orang kafir tidak terkena hukum Allah, tetapi diberi
alternatif. Mereka menyatakan bahawa perlaksanaan hukum hudud, qisas dan ta'zir
hanya dikenakan ke atas orang Islam sahaja manakala penduduk bukan Islam diberi
pilihan sama ada hendak menerima hukum tersebut atau tetap berhukum dengan
hukum kufur. Untuk menyokong pendapat ini, mereka beristidlal dengan firman
Allah,
فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ وَإِنْ تُعْرِضْ عَنْهُمْ فَلَنْ يَضُرُّوكَ شَيْئًا وَإِنْ حَكَمْتَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِالْقِسْطِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
“Jika mereka datang kepadamu (untuk meminta
keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka, atau berpalinglah
dari mereka. Jika kamu berpaling dari mereka, maka mereka tidak memberi
mudharat kepadamu sedikitpun. Dan jika kamu memutuskan perkara mereka, maka
putuskanlah (perkara itu) di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah
menyukai orang-orang yang adil” [TMQ al-Maidah (5):42].
Mereka seterusnya menafsirkan
ayat ini bahawa Allah memberi pilihan kepada orang kafir sama ada untuk
menerima hukum hudud, qisas dan ta'zir atau memilih untuk berhukum dengan hukum
mereka (hukum kufur). Lafaz “fa in ja’uka fahkum bainahum au a’ridh anhum”
(jika mereka datang kepada mu, maka putuskanlah di antara mereka atau berpaling
dari mereka) mereka tafsirkan sebagai ‘pilihan’ yang diberi kepada ‘orang
kafir’ sama ada untuk berhukum dengan hukum Islam atau pun hukum kufur. Oleh
yang demikian, mereka telah menyatakan bahawa orang kafir yang tinggal dalam
negara Islam tidak terkena hukum Islam, kecuali orang kafir itu sendiri memilih
untuk berhukum dengan hukum Islam.
Mengkaji dengan teliti dari aspek
mafhum, mantuq dan juga asbabunuzul ayat di atas, maka kita dapati bahawa
tafsiran yang dibuat adalah amat salah dan mengelirukan. Dari segi lafaz itu
sendiri, kita memahami bahawa:
(i) Allah memberi pilihan kepada
Rasulullah (sebagai Ketua Negara) bukannya kepada orang kafir; dan
(ii) Pilihan yang diberi itu
adalah sama ada untuk menghukum orang kafir (fahkum) dengan hukum Islam atau
berpaling dari mereka (a’ridh), bukannya pilihan untuk berhukum dengan hukum
Islam atau berhukum dengan hukum kufur. ‘Berpaling’ maksudnya tidak menghukum
(membiarkan) mereka.
Secara ringkasnya dapat kita
simpulkan bahawa ayat ini ditujukan kepada Rasulullah (sebagai Ketua Negara)
dan Allah memberi dua alternatif kepada Rasul sama ada ingin menghukum
kesalahan mereka dengan hukuman Allah atau membiarkan mereka tanpa dihukum.
Untuk menjelaskan lagi perkara ini, kita boleh melihat pandangan beberapa ulama
muktabar berkenaan dengan hukum fiqh yang mereka istinbat dari ayat ini:-
Ibnu Kathir menyatakan: Jika
mereka (orang kafir) datang kepada kamu (iaitu) untuk meminta pengadilan dari
kamu, maka hakimilah antara mereka, atau biarkan mereka. Jika kamu berpaling
daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikit pun. Maka
tidak mengapa untuk kamu tidak mengadili persengketaan di antara mereka kerana
sebenarnya mereka tidak berniat untuk berhukum kepada kamu berdasarkan hak,
tetapi mereka inginkan apa yang sesuai dengan hawa nafsu mereka [Ibnu Kathir,
Tafsir Al-Quran Al-Azhim]. Qusairy menyatakan: Tidak wajib ke atas kita untuk
mengadili di antara mereka bila mereka bukan kafir zimmi tetapi kita boleh
mengadili mereka jika kita mahu [Imam Al-Qurthubi, Al-Jami’li Akhamil Quran].
Sa'id bin Jubair menjelaskan: Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (untuk
meminta keputusan), maka putuskanlah (perkara itu) di antara mereka atau
berpalinglah dari mereka. Dalam ayat ini Allah memberikan keluasan bagi seorang
hakim untuk memilih antara memutuskan perkara mereka atau tidak menghukum, dan
membiarkannya terkontang-kanting [Ibnu Jawzi, Nawasikhul Qur’an].
Dari aspek asbabun nuzul ayat di
atas, kita akan lebih memahami maksud ayat tersebut dengan benar apabila
melihat kepada sebab penurunan ayat ini di tambah dengan memahami
kedudukan/aspek geo-politik orang kafir (Yahudi) yang disebutkan di dalam ayat tersebut.
Imam Sayuthi menjelaskan,
“Seorang lelaki dari suku Yahudi
di Fadak telah berzina, lalu orang-orang Fadak menulis surat kepada Yahudi di
Madinah supaya bertanya kepada Muhammad Sallallahu ‘alihi wa Sallam tentang
hukum orang yang berzina itu. Jika Muhammad memerintah untuk disebat, maka
terimalah, tetapi jika Muhammad memerintah untuk direjam, maka tolaklah. Orang
Yahudi bertanya dan Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pun menjawab akan
mereka, lalu sebagaimana dinyatakan di dalam hadis, turunlah ayat “Jika mereka
datang kepadamu, maka hukumlah mereka atau berpaling dari mereka” [Imam
Sayuthi, Tafsir Jalalain & Kitab Lubabunuqul Fi Asbabinuzul].
Kita perlu memahami bahawa Fadak
adalah sebuah kota di utara Hijaz, tidak jauh dari Khaibar dan berada di luar
dari Daulah Islam Madinah. Jauhnya 2-3 hari perjalanan menaiki unta dari
Madinah. Kota ini sekarang telah ditukar namanya kepada Kampung Huwayyit
(berkedudukan di luar Madinah). Jarak sebenar antara Madinah (24°27’U, 39°37’T)
dan Huwayyit (25°35’U, 40°22’T) lebih kurang 150 km dengan pengukuran secara
rentas. Berdasarkan hal ini, kita perlu faham bahawa Yahudi yang dimaksudkan
dalam ayat di atas bukan Yahudi dari kafir zimmi (kafir yang tinggal dalam
Daulah Islam) tetapi mereka adalah dari kelompok Yahudi yang tinggal di luar
Madinah (bukan warganegara Daulah). Dengan kata lain, ayat di atas adalah
khusus untuk kes kafir warga asing yang ingin berhukum dengan hukum Islam,
bukannya ayat berkenaan kafir warganegara Daulah (kafir zimmi).
Di sini satu lagi kesalahan pihak
yang menafsirkan ayat di atas apabila mereka tidak melihat akan fakta ini.
Hukum ke atas kafir zimmi (kafir warganegara Daulah) berbeza dengan hukum ke
atas kafir yang bukan warganegara Daulah. Oleh itu, adalah satu kesalahan fatal
apabila menjadikan ayat ini sebagai dalil untuk menunjukkan bahawa kafir yang
tinggal dalam negara (zimmi) tidak terkena hukum Allah. Kafir zimmi,
sebagaimana yang akan kami terangkan nanti, adalah terikat dengan hukum Islam,
tidak sebagaimana kafir yang bukan warganegara. Bagi kafir yang tinggal di luar
Daulah Islam, tetapi mereka ingin berhukum dengan hukum Daulah (hukum Allah),
maka Ketua Negara boleh memilih untuk menghukum mereka (dengan hukum Allah),
atau membiarkan mereka (tidak menghukum). Tetapi Ketua Negara sekali-kali tidak
dibenarkan menghukum mereka mengikut hukum mereka/kufur. Jika kita menghukum
mereka mengikut hukum kufur, maka ini adalah satu dosa dan keharaman kerana
kita telah berhukum bukan dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah. Seseorang
itu boleh menjadi kafir, zalim atau fasik sekiranya tidak memutuskan hukum
dengan apa yang Allah telah turunkan (lihat Surah al-Maidah [5]:44, 45 &
47).
Dalam banyak ayat lain lagi,
Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan bahawa haram bagi orang Islam untuk
memutuskan hukum selain dengan Kitabullah. FirmanNya,
فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ عَمَّا جَاءَكَ مِنَ الْحَقِّ
“Maka putuskanlah perkara atas
mereka menurut apa yang Allah turunkan (hukum Islam), dan janganlah kamu
mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran (hukum Islam) yang
telah datang kepadamu” [TMQ al-Maidah (5):48].
Allah juga berfirman,
إِنَّا أَنْزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ وَلَا تَكُنْ لِلْخَائِنِينَ خَصِيمًا
“Sesungguhnya Kami telah
menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu menghukum
antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” [TMQ an-Nisa
(4):105].
Ayat-ayat ini berbentuk umum dan
ada ayat yang mana Allah menggunakan lafaz “manusia” yang menerangkan kepada
kita bahawa, dalam keadaan kita mengadili sesuatu kes atau ingin menghukum,
maka hukum Allah-lah satu-satunya hukum yang wajib dilaksanakan ke atas semua
manusia (bukannya ke atas orang Islam sahaja) dan langsung tidak ada
kebenaran/perintah dari Allah untuk kita (orang Islam) berhukum atau menghukum
manusia dengan hukum selain hukum Allah.
Kafir
Zimmi Wajib Terikat Dengan Hukum Islam
Kewajiban melaksanakan hukum Islam
ke atas kafir zimmi merupakan satu perkara yang teramat jelas di dalam Islam.
Tidak ada khilaf di kalangan ulama tentangnya dan kafir zimmi yang telah hidup
di dalam Daulah Islam selama lebih 13 abad pun mematuhi hal ini. Kita perlu
memahami bahawa hukum Islam adalah hukum Negara, bukannya hukum ke atas
individu Muslim sahaja. Contoh yang mudah sahaja seperti hukum potong tangan
untuk si pencuri – ini adalah hukum negara di mana tidak kiralah sama ada
pencuri itu Muslim atau kafir, maka wajib dipotong tangannya. Begitu jugalah
dengan hukum rompak, bunuh, judi, riba, rogol, zina dan sebagainya. Hukum Islam
adalah hukum yang wajib diterapkan oleh pemerintah ke atas setiap warganegara.
Di dalam kehidupan Daulah Islamiyyah, orang-orang kafir zimmi (sesuai dengan
akad zimmah dengan Negara Daulah) hanya dibolehkan menjalankan hukum-hakam yang
berhubungan dengan akidah, ibadah, makanan, perkahwinan, kematian dan
sejenisnya menurut hukum-hakam agama mereka, asalkan tidak menampakkan
syi'ar-syi'ar agama mereka di hadapan kaum Muslim. Namun, dalam perkara yang
menyangkut hukum-hakam umum iaitu mua’malat dan uqubat (hudud, qisas, ta’zir
dan mukhalafat), maka atas mereka (orang-orang kafir zimmi) diterapkan
hukum¬-hakam Islam sepenuhnya. Sebenarnya kedudukan mereka sebagai warganegara
Daulah Islamiyah adalah sama dengan kaum Muslimin dari aspek hak dan
tanggungjawab sebagai warganegara. Surah al-Maidah (5):48 dan juga an-Nisa
(4):105 di atas sudah cukup menunjukkan bahawa hukum-hukum Islam itu wajib
dilaksanakan ke atas seluruh warga negara, sama ada Muslim mahupun kafir zimmi.
Teramat salahlah pandangan yang
menyatakan bahawa kafir zimmi tidak terikat dengan hukum Islam. Sungguh jauh
dari kebenaran pandangan ini dan teramat ganjil sekali. Apa tidaknya, istilah
dan pengertian ‘zimmi’ itu sendiri bermaksud “perlindungan yang diberikan
kepada mereka kerana ketundukan mereka kepada hukum-hakam Daulah (hukum
Islam)”. Status ‘zimmi’ (perlindungan) diberikan kepada mereka sebagai balasan
dari ‘jizyah’ yang mereka bayar kepada Daulah. Dan jizyah ini adalah hukum
Islam, bukan hukum kufur. Jadi, bayaran jizyah yang dikenakan ke atas kafir
zimmi ini adalah terlalu jelas dan nyata dan secara automatiknya menunjukkan
kepada kita bahawa kafir zimmi wajib mengikut atau tunduk kepada hukum Islam.
Dengan kata lain, jika kafir zimmi tidak tertakluk kepada hukum Islam, maka
tidak perlulah mereka membayar jizyah. Dan hal ini demi Allah sesungguhnya
tidak akan terjadi (kerana kafir zimmi wajib membayar jizyah dengan maksud
mereka wajib tunduk kepada hukum Islam). Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,
قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ
الْآَخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ
دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ
عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ
“Perangilah orang-orang yang tidak
beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula
tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak
beragama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab
(kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar jizyah dengan keadaan
tunduk patuh” [TMQ at-Taubah (9):29].
Apabila orang-orang kafir zimmi
menolak untuk dihukumi dengan hukum-hakam Islam, maka Khalifah wajib memaksa
mereka untuk tunduk. Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam pernah menulis
surat kepada penduduk Najran yang beragama Nasrani, dengan kalimat yang amat
tegas sekali, di mana sabda baginda, “Sesungguhnya siapa saja di antara kalian
yang melakukan transaksi (jual beli) dengan riba, maka tidak ada lagi
perlindungan (zimmah) atasnya.” Kedudukan penduduk Najran waktu itu adalah
sebahagian dari Daulah Islamiyyah. Selain ini, terdapat banyak hadis yang jelas
menunjukkan bahawa orang-orang kafir yang hidup di dalam Daulah Islam adalah
dihukum menurut hukum Islam atas kesalahan yang telah mereka lakukan. Dalam
sebuah hadis riwayat dari Anas, “Seorang Yahudi telah menyepit kepala seorang
perempuan dengan dua buah batu. Kemudian ditanyakan kepadanya siapakah yang
melakukannya? Ia menjawab, ‘sifulan atau sifulan’ dengan menyebut nama seorang
Yahudi. Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam bertanya, ‘Apakah engkau telah
menyepit kepalanya?’ Yahudi itu akhirnya mengakui perbuatannya. Kemudian
Rasulullah Sallallahu ‘alihi wa Sallam memerintahkan untuk menyepit kepala
Yahudi itu dengan dua buah batu (iaitu membunuhnya)”. Dalam riwayat Muslim
disebutkan, “...maka ia dibunuh lantaran ia datang kepada Nabi dengan
menyerahkan jiwanya”
Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim,
“Bahawa Rasulullah Sallallahu
‘alihi wa Sallam telah pun menghukum rejam dua orang Yahudi. Kedua-dua itu
sebelum berzina telah merasai persetubuhan melalui perkahwinan di dalam
agamanya”.
Imam Nawawi dalam Minhaj
At-Thalibin menyatakan, “Dan had (hudud) untuk penzina muhsan, mukallaf yang
merdeka adalah rejam. Syarbini berkomentar menjelaskan ungkapan ini, “..kerana
Nabi telah merejam dua orang Yahudi sebagaimana diriwayatkan dalam Sahihain,
dalam tambahan riwayat Abu Daud, ‘mereka berdua adalah muhsan’. Tambahan lagi,
akad zimmah adalah syarat untuk melaksanakan hudud ke atas zimmi, bukan kerana
statusnya muhsan” [Nihayat Muhtaj VII:427].
NATIJAH
Wahai kaum Muslimin! Teramat
banyak dan nyata sekali dalil di dalam Al-Quran dan juga Al-Hadis yang
menunjukkan bahawa hukum Islam terpakai ke atas orang kafir. Adalah wajib ke
atas pemerintah menghukum pesalah ini dengan hukum Allah. Orang kafir yang
berzina, mencuri, membunuh, makan riba dan sebagainya wajib dihukum dengan apa
yang telah Allah turunkan. Teramat jelas juga berdasarkan Quran dan Sunnah
bahawa menghukum orang kafir berdasarkan undang-undang kufur adalah haram dan
berdosa dan merupakan satu kemaksiatan kepada Allah. Konsep dualisme
hukum/undang-undang yang ada sekarang adalah sama sekali bercanggah dengan nas
kerana Allah sama sekali tidak membenarkan umat Islam untuk memutuskan hukum
dengan selain hukumNya. Hukum Allah wajib diambil dan dilaksanakan sebagaimana
yang Allah perintahkan, bukannya diambil atau dilaksanakan berdasarkan kehendak
atau apa yang disukai oleh orang kafir. Janganlah sekali-kali kita sebagai umat
Islam terjerat dengan sistem kufur-sekular yang ada sehingga kita mengambil
hukum Allah sebagai alat untuk mengambil hati orang-orang kafir. Ingatlah akan
firman Allah,
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ
اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ
بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا
يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ
النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
“ Dan hendaklah Engkau menjalankan hukum di
antara mereka Dengan apa Yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah Engkau
menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak
memesongkanmu dari sesuatu hukum Yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.
kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka
ketahuilah, Hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka Dengan sebab setengah dari
dosa-dosa mereka; dan Sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah
orang-orang Yang fasik.” [TMQ al-Ma’idah (5):49].
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Pandangan 4
Mazhab Berkenaan Kewajipan Penerapan Hudud kepada Kafir Dzimmi (Siri 4 - Qazaf)
Mazhab
Syafie
Jika seorang yang akil-baligh, mukthar (secara sukarela,
tanpa paksaan) Muslim atau kafir yang terikat dengan undang-undang Islam; tanpa
mengira samada dianya murtad, zimmi atau muâhid, dengan salah menuduh zina
terhadap orang yang muhsan (yang bukan anaknya), hudud akan dikenakan
keatasnya. [Muhazzab II: 272]
Pandangan ini sesuai dengan pengarang Nihayah Muhtaj [VII :
435], begitu juga pengarang Mughni Muhtaj [IV : 155] ungkapan dari Muhazzab ini
disokong oleh kedua mereka ini.
Abu Syujaj berkata (dipotong tangan pencuri ) dan dikomentar
oleh Syarbini, termasuk pencuri Perempuan, meskipun Zimmi ataupun Hamba. (Iqna
Syarbini, ms 534)
Mazhab
Hambali
Pendirian Mazhab ini dalam kes ini adalah jelas sekali;
Jika zimmi melakukan benda yang dilarang dalam agama mereka
seperti zina, mencuri, qazhaf atau bunuh, mereka akan dikenakan had (Al-Mughni
X: 199-200)
Ibn Qudamah menambah; Hudud juga dikenakan kepada zimmi
walaupun mereka melakukan di luar Negara Islam. Sebagaimana yang dikatakan oleh
Syafie, tetapi berbeza dengan Ashabu raâyi (Imam Hanafi), tidak dikenakan hudud
kerana meereka duduk dalam negeri yang tidak ada had. (Al-Mughni X:203)
Menurut
Al-Kashshaf Qinaâ :
Barangsiapa yang melakukan qazhaf dengan menunjukkan isyarat
yang dapat difahami...walaupun dalam luar negara Islam ...dikenakan had 80 kali
sebatan.
(Kashshaf al Qina VI: 104)
Mazhab Maliki
Saya bertanya: Jika orang kafir zimmi melakukan pertududuhan
(zina) ke atas Muslim, adakah mereka akan dihukum dengan hadd qazaf pada
pandangan Imam Malik? Dia menjawab ya, mereka akan disebat 80 sebatan. (Al-Mudawwanah
Al-Kubra 2:379)
Imam Quthubi memberi komentar...sama dengan zimmi, jika
mereka melakukan qazaf, mereka akan disebat 80 kali dengan hudud, jika mereka
mencuri akan dipotong tangan, dan jika mereka membunuh mereka akan dibunuh. (Tafsir
Qurthubi: 7:402-403)
Mazhab
Hanafi
Dikenakan hukuman Hudud (Qazaf)
seorang yang merdeka atau hamba; zimmi atau wanita, melakukan Qazaf terhadap
orang yang merdeka, baligh dan berakal, dan menjaga diri dari berzina (Hasyiyyah
Raddul Mukhtar)
SusunJalur
Diteksi oleh: Ust Hj. Hassan Abdul Latiff (Abu Assiddiqqie)
No comments:
Post a Comment