Friday, 22 November 2013





Angkasawan Amerika Tidak Sampai Ke Bulan Bukanlah Soal Yang Mengelirukan Dan Tidak Mustahil

Saudara Pengarang,

Merujuk kepada bantahan yang didedahkan melalui ruangan ini pada 21 Oktober 2002, saya selaku peminat Ceramah Agama Radio Perak, seperti juga saudara Pencinta Kebenaran, Kampung Banjar, Air Tawar, Perak sentiasa mengikuti ceramah-ceramah agama yang disiarkan melalui Radio Perak.  Dari kenyataan Tuan Penceramah (Radio Perak – Kisah Isro’ wal Mi’raj) menyentuh tentang angkasawan-angkasawan Amerika tidak sampai ke bulan, bukanlah perkara yang mengelirukan atau mustahil.  Ramai di kalangan cerdik pandai yang menolak kenyataan tersebut dan tidak kurang para alim ulamak juga membuat kenyataan terbuka menolak kenyataan tentang sampainya angkasawan-angkasawan tersebut.  Oleh itu tidaklah wajar kenyataan yang dibuat oleh Tuan Penceramah Radio Perak(AlFadhil Ustaz Hassan Abdul Latiff) tersebut dipandang begitu serius dan mengelirukan.  Itu adalah pendapat beliau, dan ada baiknya kalau saudara Pencinta Kebenaran menghubungi langsung Tuan Penceramah tersebut meminta bukti-bukti yang kukuh di atas kenyataan beliau, dari begitu cepat melatah dan meminta Radio Perak agar memantau ceramah-ceramah yang bakal disiarkan. Dari kenyataan dan bantahan saudara Pencinta Kebenaran, seolah-olah beliau yakin dan cukup teliti dan kenyataan angkasawan-angkasawan ke bulan itu adalah benar dan semua orang mesti percaya (seperti beliau) dan terima kenyataan tersebut. Siapa yang tidak percaya maka orang tersebut dikatakan “mengelirukan” dan dicap pula menolak kepesatan dan pembangunan teknologi moden. Sains dan teknologi memang tidak bercanggah dengan Islam dan semua orang Islam tahu perkara ini kerana teknologi itu sendiri sebahagian dari Islam malah mengikut Dr. Maurice Baucale membahagikan Sains kepada dua bahagian iaitu Sains Yang Aneh (Exotic Science) iaitu AlQuran dan Sains Yang Tidak Aneh (Non Exotic Science) Ilmu  pengetahuan sejagat yang AlQuran nyatakan, “....Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit”(Al-Isro’:85). Saudara Pencinta Kebenaran ada menyatakan, “Malah jika mengerti dari sudut tasauf, kita akan faham bahawa manusia naik ke bulan pun adalah dengan kekuasaan dan izin Allah……”  Saya suka membetulkan, sebenarnya bukan dari sudut tasauf tetapi dari sudut Hukum Aqal dan Ilmu Mantiq yang berbeza dengan Hukum Syara’. Sebelum kita hendak menggunakan sesuatu istilah lebih-lebih lagi istilah syara’, eloklah kita belajar dahulu dan benar-benar memahami, kemudian barulah kita gunakan istilah berkenaan. Jangan main ‘hemtam-kromo’ akhirnya orang akan nampak kebodohan dan kedangkalan ilmu kita, sebaliknya kitalah yang jahil dan jumud hukum-hakam.

Disini saya membawa saudara Pencinta Kebenaran dan pembaca sekelian untuk mengikuti satu penganalisaan yang telah disiarkan dalam majalah ‘Al Islam’ keluaran Januari l984 (KDN: 0062/84 bil:1 Tahun ke:11/84) yang ditulis oleh Drs. Yahaya Mohamed. Kenyataan yang ditulis adalah seperti berikut:



PERNAHKAH ANGKASAWAN-ANGKASAWAN AMERIKA
 SAMPAI KE BULAN?

Dalam tahun-tahun 1980an ini, seringkali dapat didengar melalui radio dan televisyen, turut sama dibaca dari suratkhabar dan majalah tentang berita kejayaan angkasawan-angkasawan Russia dan Amerika Syarikat.  Semenjak angkasawan pertama Yuri Cagarin berjaya ditembak ke angkasa lepas kedua-dua negara itu tidak putus-putus dari masa ke semasa cuba menonjolkan kehandalan masing-masing.

Misalnya, Russia telah sanggup menghantar seorang angkasawati Valentina Tereshkova ke angkasa lepas dalam tahun 1963 dan disusuli pula dengan angkasawati kedua, Svetlana Savitskaya.  Amerika Syarikat telah menyahut cabaran itu walaupun 20 tahun ketinggalan dengan Dr.Sally Ride dan beliau adalah seorang awam yang ditonjolkan oleh pihak Amerika. Russia pula membalas dengan menghantar seorang angkasawan bangsa Vietnam iaitu Pham Tuan. Demikianlah halnya kedua-dua pihak ini senantiasa hendak mengketengahkan keupayaan masing-masing .  Antara usaha-usaha ini, terdapatlah apa yang dikatakan kejayaan dua orang angkasawan Amerika Syarikat, menjejakkan kaki di permukaan bulan.


Apakah pandangan orang-orang Islam terhadap pendaratan di bulan itu?  Semasa berita itu masih panas lagi, iaitu dalam bulan Julai-Ogos, l969 ada seorang dua tokoh agama Islam memberikan pendapat.  Pendapat yang diberikan itu tidak pula menampakkan butir-butir yang konkrit dan meyakinkan.  Bagi penulis, kita tidak boleh berpura-pura bahawa penerbangan di angkasa lepas ini tidak berlaku.  Ianya akan berterusan lagi dari semasa ke semasa.  Oleh itu penulis, dalam kertas ini bercadang hendak membincangkan hal itu dari tiga sudut: sains, logik dan agama.

 

ASPEK SAINS


Pertama: seorang pakar kaji bintang British pernah memberi pendapat tentang kemungkinan atau tidak kemungkinan manusia mendarat di permukaan bulan.  Pendapat ini tersiar dalam satu keluaran majalah bulanan tahun 1955. Nama Majalah itu ialah THE SCIENCE DIGEST.  Antara kata-kata beliau ialah seperti berikut:

Bulan tidak mempunyai liputan udara seperti dunia.  Dari itu beribu-ribu serpihan angkasa(micrometeorites) senantiasa berterbangan di permukaan bulan tanpa berhenti-henti.  Di permukaan dunia serpihan angkasa ini juga banyak datang menyerang tetapi liputan udara padat dunia telah menggeselkan ketul-ketul kecil itu hingga menjadi debu.  Fenomena yang sangat jelas ialah tahi bintang yang dapat dilihat oleh sesiapa sahaja.

Di permukaan bulan adalah dianggarkan bagi  tiap-tiap satu kaki persegi bilangan serangan angkasa ialah lebih kurang 15.  serpihan-serpihan angkasa ini deras seperti peluru dan akan dapat mengoyakkan pakaian angkasawan yang paling tebal.  Dengan kata-kata lain, kalaupun seorang angkasawan itu menjejakkan kakinya dengan selamat di permukaan bulan, pakaian angkasanya akan koyak di beberapa tempat dan dia akan mati di situ juga.

Sungguh aneh, kerana sepertimana yang dilihat dalam filem pendaratan ke permukaan bulan dalam Projek Apollo, Neil Amstrong dan Edwin E.Aldrin beraksi begitu lama tanpa diserang oleh serpihan angkasa walaupun sekali, walaupun seketul!

Kedua: Kenyataan berikut pula dipetik dari THE MC GRAW-HILL ENCYCLOPEDIA OF SPACE, terbitan The Mc Graw Hill Book Company, New York, 1968, hal.8.

Geologist reported that the rocks are of igneous origin and similar…..to much of Earth’s materials.

(Pakar-pakar kajibumi melaporkan bahawa batu-batu(yang dibawa balik kononnya dari bulan oleh Neil Amstrong itu) adalah serupa dengan batu-batu yang terdapat di dunia.


Sepatutnya, seperti yang ditulis oleh Robin Kerrod dalam bukunya PURNELL’S CONCISE ENCYCLOPEDIA OF SCIENCE, Poulton, Britain, 1974, hal. 184:-


……the composition of Moon rocks content is different from that of Earth.  Moon rocks contain larger quantities of such elements as chromium, titanium and uranium, which are very rare on Earth.


(Kandungan batu-batu bulan adalah berbeza dari batu-batu di dunia.  Batu-batu bulan mengandungi begitu banyak unsur-unsur seperti kromium, titanium dan uranium, yang mana sangat jarang terdapat di dunia.


Nah! Bagaimana kedudukan pembaca sekarang terhadap berita yang kini tercatat dalam sejarah bahawa angkasawan-angkasawan pada 20 Julai 1969 telah sampai ke bulan.

 

ASPEK LOGIK



Pernah tersiar dalam sebuah keluaran suratkhabar SUNDAY MAIL, terbitan New Straits Times, Malaysia, bulan September 1978, sebuah esei yang menuntut seluruh umat manusia jangan percaya dengan kejayaan Projek Apollo itu.  Antara sebab-sebab yang diberikan ialah seperti berikut:

 

(1)                        Amerika Syarikat telah mencurahkan berjuta-juta dollar sehari selama 10 Tahun  dalam rancangan Angkasa Lepas mereka.(Khasnya bagi Projek Apollo sahaja USD50 ribu juta telah dibelanjakan.)  Sekiranya rakyat Amerika tidak ditunjukkan sesuatu kejayaan yang maha hebat seperti pendaratan di bulan, sudah tentu seluruh rakyatnya menunjuk perasaan dan akan menuntut  supaya pentadbiran negara digulingkan dan segala rancangan Angkasa Lepas dihentikan.

(2)                        Angkasawan-angkasawan itu memang telah terbang keluar ke angkasa lepas (melebihi 10 batu dari permukaan bumi ) tetapi tidak benarlah mereka sampai ke bulan. Filem-filem televisyen yang dianggap sebagai  “bukti” itu  sebenarnya ialah rakaman filem yang dibuat semasa mereka berlatih di padang pasir Nevada.

 
Demikianlah dua sebab-sebab yang logik untuk kita sebagai pembaca harus fikirkan.  Perkara-perkara itu telah dikeluarkan oleh seorang pakar sains keturunan Perancis yang bertugas di N.A.S.A.(Pentadbiran Angkasa Lepas dan  Penerbangan Kebangsaan Amerika), setelah menceritakan hal tersebut kepada seorang wartawan, beliau pun meletakkan jawatan dan pulang ke Paris.

Disini penulis ingin menambah.  Dengan kemajuan perfileman dewasa ini, segala-gala yang mustahil boleh digambarkan.  Berbagai rupa kamera-trik, tipu helah dan teknik penggambaran boleh digunakan hingga filem-filem TV  yang digambarkan dalam bilik  boleh kelihatan seolah-olah sebagai berlaku di angkasa lepas.  Misalnya: Star Trek, Battlestar of Galactica, StarWars, Jason of the Star Command, Buck Rogers in the Twentieth Century, malah membawa kepada siri-siri kartun seperti Superman,War of the Planets, Ultraman, dan sebagainya. Kita sedar bahawa Filem-filem tersebut tidak dilakunkan di angkasa lepas malah hanya di dalam studio, tidakkah kesedaran yang sama boleh diberikan kepada filem pendaratan angkasawan-angkasawan itu di bulan?


Lagipun kalau pihak angkasawan Amerika yang berjaya mendarat di bulan mengapakah pihak Amerika juga yang sibuk menjadi saksinya? Mengikut lunas-lunas logik kalau satu pihak yang berjaya, biarlah pihak lain yang menjadi saksi; barulah boleh dipercayai oleh pihak ketiga.  Dalam hal ini, penulis sehingga ini belum berjumpa walau pun satu ayat dari pihak Russia yang mengakui angkasawan-angkasawan Amerika itu telah berjaya sampai ke bulan!

 

ASPEK AGAMA


Ada dua perkara yang dipegang oleh umat Islam sebagai sumber utama perundangan dan rujukan iaitu AlQuranul Karim dan Hadist Nabi s.a.w..  Di dalam AlQuran banyak terdapat keterangan-keterangan tentang angkasa lepas, tentang matahari bulan, bintang-gemintang dalam uslub yang tinggi dan tersirat secara ilmiah.  Demikian juga beribu hadist Nabi s.a.w. ada menyatakan tentang demikian dan di antaranya hadist mengenai peristiwa Isro’ wal Mi’raj Baginda Besar Nabi s.a.w. Hadist itu antara lain bermaksud:

 
…….apabila Jibril dan Rasulullah s.a.w. sampai ke pintu langit pertama, mereka telah disapa oleh Malaikat yang mengawal di situ.  Siapa kamu? Aku Jibril.  Siapa bersama kamu itu? Muhammad. Adakah dia mendapat kebenaran dari Allah naik ke sini? Ya. kalau begitu naiklah.  Apabila Jibril dan Rasulullah s.a.w sampai ke pintu langit kedua. Mereka disapa lagi oleh Malaikat yang mengawal di situ. Siapa kamu? Aku Jibril.  Siapa bersama kamu itu? Muhammad. Adakah dia dapat kebenaran dari Allah naik ke sini? Ya. Kalau begitu naiklah…….


Melihat kepada kenyataan Hadist di atas, menunjukkan betapa rapinya langit di kawal oleh para malaikat.  Langit adalah tempat yang suci yang mana kita hadapkan tapak tangan kita semasa berdoa.  Hanya insan yang suci sahaja seperti Baginda Besar Nabi s.a.w.  di benarkan Allah naik ke sana. Kedudukan Nabi s.a.w. sebagai Nabi lagi Rasul terakhir dianugerahkan Allah dengan keistimewaan dan dibawa oleh Allah sendiri untuk ke persada Hadheratul Quddus Allah swt.

 
Di dalam Surah AlMulk: Ayat 5 yang bermaksud: “ Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang dan Kami jadikan bintang-bintang itu alat pelempar syaithan, dan Kami sediakan bagi mereka siksa neraka yang menyala-nyala.”


Nah, begitu jelas keterangan bunyi ayat tersebut betapa di langit terdekat pun kalau ada para syaithan yang cuba menerobos maka mereka akan dilempari.  Sungguh pelik dan ajaib bahawa ketiga-tiga angkasawan Amerika itu dapat menembusi langit tanpa disedari oleh Malaikat yang mengawalnya.  Kalau benar pun mereka sampai dekat pintu langit tentulah mereka akan dihancurkan oleh para Malaikat.  Penulis sedar dikalangan umat Islam sendiri terdapat mereka yang terus mempercayai tanpa menyelidik dengan lebih jauh, dan ada pula yang masih ragu-ragu dalam menerima dan menolak, dan ada pula yang tidak percaya langsung dengan kenyataan tersebut. Walaupun Russia mendahului Amerika 20 tahun ke hadapan dalam projek angkasa lepas, namun Russia pernah mengistiharkan bahawa mereka tidak bertujuan hendak menghantarkan angkasawan-angkasawan mereka ke bulan.  Kenapa?????? Dan lagi setelah berjaya angkasawan-angkasawan Amerika mendarat ke bulan buat pertama kalinya, tidak ada susulan sesudah itu. Bahkan mengikut logiknya, kalau pertama kalinya berjaya, maka susulan dan turutan berikutnya akan lebih mudah, namun terhenti sehingga kini, mengapa?????? – Yang Lebih Mencintai Kebenaran... ABU RAMADHAN.

 

Oleh: DR MUHAMAD LUTFI SAIFUDDIN
DAMANSARA  -  Kuala Lumpur

Suntingan: Hj.Hassan bin Abdul Latiff

No.116, Lorong Mahsuri Tujuh,

Bandar Bayan Baru

11950 PULAU PINANG


 

No comments:

Post a Comment